Gelaran: Bapa Sejarah Sains Lahir: sekitar 980 M atau 370 H Wafat: 1037 M atau 428 H
Mazhab: Ismaili Etnik: Tajik Rantau: Parsi Bidang: Perubatan, Astronomi, Etika, Logik,Matematik, Metafizik, Falsafah, Fizik,Sains,teologi Karya: Alqanun fi altibb, Kitab al-Shifa, Al Najat
Pengaruh: Omar Khayyám, Ibnu Rushd, Thomas Aquinas, Albertus Magnus Diilhami: Aristotle, Al-Farabi Abu Ali Al-Hussain Ibn Abdullah Ibn Sina atau dikenali sebagai Avicenna di dunia barat merupakan salah seorang pakar sains dari Iran yang hidup antara tahun 980 - 1037 M.
Sejarah dan latar belakang
Ibnu Sina dilahirkan pada tahun 370 Hijrah bersamaan dengan 980 M.
Pengajian peringkat awalnya bermula di Bukhara dalam bidang bahasa dan
sastera. Selain itu, beliau turut mempelajari ilmu-ilmu lain seperti
geometri, logik, matematik, sains, fiqh, dan perubatan.
Walaupun Ibnu Sina menguasai pelbagai ilmu pengetahuan termasuk falsafah
tetapi beliau lebih menonjol dalam bidang perubatan sama ada sebagai
seorang doktor ataupun mahaguru ilmu tersebut.
Ibnu Sina mula menjadi terkenal selepas berjaya menyembuhkan penyakit
Putera Nub Ibn Nas al-Samani yang gagal diubati oleh doktor yang lain.
Kehebatan dan kepakaran dalam bidang perubatan tiada tolok bandingnya
sehingga beliau diberikan gelaran al-Syeikh al-Rais (Mahaguru Pertama).
Kemasyhurannya
melangkaui wilayah dan negara Islam. Bukunya Al Qanun fi al-Tibb telah
diterbitkan di Rom pada tahun 1593 sebelum dialihbahasakan ke dalam
bahasa Inggeris dengan judul Precepts of Medicine. Dalam jangka masa
tidak sampai 100 tahun, buku itu telah dicetak ke dalam 15 buah bahasa.
Pada abad ke-17, buku tersebut telah dijadikan sebagai bahan rujukan
asas diuniversiti-universiti Itali dan Perancis. Malahan sehingga abad
ke-19, bukunya masih diulang cetak dan digunakan oleh para pelajar
perubatan.
Ibnu Sina juga telah menghasilkan sebuah buku yang diberi judul
(Remedies for The Heart) yang mengandungi sajak-sajak perubatan. Dalam
buku itu, beliau telah menceritakan dan menghuraikan 760 jenis penyakit
bersama dengan cara untuk mengubatinya. Hasil tulisan Ibnu Sina
sebenarnya tidak terbatas kepada ilmu perubatan sahaja. Tetapi turut
merangkumi bidang dan ilmu lain seperti metafizik, muzik, astronomi,
philologi (ilmu bahasa), syair, prosa, dan agama. Penguasaannya dalam pelbagai bidang ilmu itu telah menjadikannya seorang
tokoh sarjana yang serba boleh. Beliau tidak sekadar menguasainya
tetapi berjaya mencapai tahap kemuncak (zenith) iaitu puncak
kecemerlangan tertinggi dalam bidang yang diceburinya.Di samping menjadi puncak dalam bidang perubatan, Ibnu Sina juga
menduduki kedudukan yang tinggi dalam bidang ilmu logik sehingga digelar
guru ketiga. Dalam bidang penulisan, Ibnu Sina telah menghasilkan
ratusan karya termasuk kumpulan risalah yang mengandungi hasil sastera
kreatif.
Ibnu Sina
Perkara yang lebih menakjubkan pada Ibnu Sina ialah beliau juga merupakan seorang ahli falsafah yang terkenal. Beliau pernah menulis sebuah buku berjudul al-Najah yang membicarakan persoalan falsafah. Pemikiran falsafah Ibnu Sina banyak dipengaruhi oleh aliran falsafah al-Farabi yang telah menghidupkan pemikiran Aristotle. Oleh sebab itu, pandangan perubatan Ibnu Sina turut dipengaruhi oleh asas dan teori perubatan Yunani khususnya Hippocrates.Perubatan Yunani berasaskan teori empat unsur yang dinamakan humours iaitu darah, lendir (phlegm), hempedu kuning (yellow bile), dan hempedu hitam (black bile). Menurut teori ini, kesihatan seseorang mempunyai hubungan dengan campuran keempat-empat unsur tersebut. Keempat-empat unsur itu harus berada pada kadar yang seimbang dan apabila keseimbangan ini diganggu maka seseorang akan mendapat penyakit.
Setiap individu dikatakan mempunyai formula keseimbangan yang berlainan.
Meskipun teori itu didapati tidak tepat tetapi telah meletakkan satu
landasan kukuh kepada dunia perubatan untuk mengenal pasti punca
penyakit yang menjangkiti manusia. Ibnu Sina telah menapis teori-teori
kosmogoni Yunani ini dan mengislamkannya.
Ibnu Sina percaya bahawa setiap tubuh manusia terdiri daripada empat
unsur iaitu tanah, air, api dan angin. Keempat-empat unsur ini
memberikan sifat lembap, sejuk, panas, dan kering serta sentiasa
bergantung kepada unsur lain yang terdapat dalam alam ini. Ibnu Sina
percaya bahawa wujud ketahanan semula jadi dalam tubuh manusia untuk
melawan penyakit. Jadi, selain keseimbangan unsur-unsur yang dinyatakan
itu, manusia juga memerlukan ketahanan yang kuat dalam tubuh bagi
mengekalkan kesihatan dan proses penyembuhan.
Pengaruh pemikiran Yunani bukan sahaja dapat dilihat dalam pandangan
Ibnu Sina mengenai kesihatan dan perubatan, tetapi juga bidang falsafah.
Ibnu Sina berpendapat bahawa matematik boleh digunakan untuk mengenal
Tuhan. Pandangan seumpama itu pernah dikemukakan oleh ahli falsafah
Yunani seperti Pythagoras untuk menghuraikan mengenai sesuatu kejadian.
Bagi Pythagoras, sesuatu barangan mempunyai angka-angka dan angka itu
berkuasa di alam ini. Berdasarkan pandangan itu, maka Imam al-Ghazali
telah menyifatkan fahaman Ibnu Sina sebagai sesat dan lebih merosakkan
daripada kepercayaan Yahudi dan Nasrani.
Sebenarnya, Ibnu Sina tidak pernah menolak kekuasaan Tuhan. Dalam buku
An-Najah, Ibnu Sina telah menyatakan bahawa pencipta yang dinamakan
sebagai "Wajib al-Wujud" ialah satu. Dia tidak berbentuk dan tidak boleh
dibahagikan dengan apa-apa cara sekalipun. Menurut Ibnu Sina, segala
yang wujud (mumkin al-wujud) terbit daripada "Wajib al-Wujud" yang tidak
ada permulaan.
Tetapi tidaklah wajib segala yang wujud itu datang daripada Wajib
al-Wujud sebab Dia berkehendak bukan mengikut kehendak. Walau
bagaimanapun, tidak menjadi halangan bagi Wajib al-Wujud untuk
melimpahkan atau menerbitkan segala yang wujud sebab kesempurnaan dan
ketinggian-Nya.
Pemikiran falsafah dan konsep ketuhanannya telah ditulis oleh Ibnu Sina
dalam bab "Himah Ilahiyyah" dalam fasal "Tentang adanya susunan akal dan
nufus langit dan jirim atasan.
Pemikiran Ibnu Sina ini telah rnencetuskan kontroversi dan telah
disifatkan sebagai satu percubaan untuk membahaskan zat Allah.
Al-Ghazali telah menulis sebuah buku yang berjudul Tahafat al'Falasifah
(Tidak Ada Kesinambungan Dalam Pemikiran Ahli Falsafah) untuk
membahaskan pemikiran Ibnu Sina dan al-Farabi.
Antara percanggahan yang diutarakan oleh al-Ghazali ialah penyangkalan
terhadap kepercayaan dalam keabadian planet bumi, penyangkalan terhadap
penafian Ibnu Sina dan al-Farabi mengenai pembangkitan jasad manusia
dengan perasaan kebahagiaan dan kesengsaraan di syurga atau neraka.
Walau apa pun pandangan yang dikemukakan, sumbangan Ibnu Sina dalam
perkembangan falsafah Islam tidak mungkin dapat dinafikan. Bahkan beliau
boleh dianggap sebagai orang yang bertanggungjawab menyusun ilmu
falsafah dan sains dalam Islam. Sesungguhnya, Ibnu Sina tidak sahaja
unggul dalam bidang perubatan tetapi kehebatan dalam bidang falsafah
mengatasi gurunya sendiri iaitu Abu Al-Nasr Al-Farabi (al-Farabi).

