Gelaran: Bapa Sejarah Sains Lahir: sekitar 980 M atau 370 H Wafat: 1037 M atau 428 H
Mazhab: Ismaili Etnik: Tajik Rantau: Parsi Bidang: Perubatan, Astronomi, Etika, Logik,Matematik, Metafizik, Falsafah, Fizik,Sains,teologi Karya: Alqanun fi altibb, Kitab al-Shifa, Al Najat
Pengaruh: Omar Khayyám, Ibnu Rushd, Thomas Aquinas, Albertus Magnus Diilhami: Aristotle, Al-Farabi Abu Ali Al-Hussain Ibn Abdullah Ibn Sina atau dikenali sebagai Avicenna di dunia barat merupakan salah seorang pakar sains dari Iran yang hidup antara tahun 980 - 1037 M.
Sejarah dan latar belakang
Ibnu Sina dilahirkan pada tahun 370 Hijrah bersamaan dengan 980 M.
Pengajian peringkat awalnya bermula di Bukhara dalam bidang bahasa dan
sastera. Selain itu, beliau turut mempelajari ilmu-ilmu lain seperti
geometri, logik, matematik, sains, fiqh, dan perubatan.
Walaupun Ibnu Sina menguasai pelbagai ilmu pengetahuan termasuk falsafah
tetapi beliau lebih menonjol dalam bidang perubatan sama ada sebagai
seorang doktor ataupun mahaguru ilmu tersebut.
Ibnu Sina mula menjadi terkenal selepas berjaya menyembuhkan penyakit
Putera Nub Ibn Nas al-Samani yang gagal diubati oleh doktor yang lain.
Kehebatan dan kepakaran dalam bidang perubatan tiada tolok bandingnya
sehingga beliau diberikan gelaran al-Syeikh al-Rais (Mahaguru Pertama).
Kemasyhurannya
melangkaui wilayah dan negara Islam. Bukunya Al Qanun fi al-Tibb telah
diterbitkan di Rom pada tahun 1593 sebelum dialihbahasakan ke dalam
bahasa Inggeris dengan judul Precepts of Medicine. Dalam jangka masa
tidak sampai 100 tahun, buku itu telah dicetak ke dalam 15 buah bahasa.
Pada abad ke-17, buku tersebut telah dijadikan sebagai bahan rujukan
asas diuniversiti-universiti Itali dan Perancis. Malahan sehingga abad
ke-19, bukunya masih diulang cetak dan digunakan oleh para pelajar
perubatan.
Ibnu Sina juga telah menghasilkan sebuah buku yang diberi judul
(Remedies for The Heart) yang mengandungi sajak-sajak perubatan. Dalam
buku itu, beliau telah menceritakan dan menghuraikan 760 jenis penyakit
bersama dengan cara untuk mengubatinya. Hasil tulisan Ibnu Sina
sebenarnya tidak terbatas kepada ilmu perubatan sahaja. Tetapi turut
merangkumi bidang dan ilmu lain seperti metafizik, muzik, astronomi,
philologi (ilmu bahasa), syair, prosa, dan agama. Penguasaannya dalam pelbagai bidang ilmu itu telah menjadikannya seorang
tokoh sarjana yang serba boleh. Beliau tidak sekadar menguasainya
tetapi berjaya mencapai tahap kemuncak (zenith) iaitu puncak
kecemerlangan tertinggi dalam bidang yang diceburinya.Di samping menjadi puncak dalam bidang perubatan, Ibnu Sina juga
menduduki kedudukan yang tinggi dalam bidang ilmu logik sehingga digelar
guru ketiga. Dalam bidang penulisan, Ibnu Sina telah menghasilkan
ratusan karya termasuk kumpulan risalah yang mengandungi hasil sastera
kreatif.
Ibnu Sina
Perkara yang lebih menakjubkan pada Ibnu Sina ialah beliau juga merupakan seorang ahli falsafah yang terkenal. Beliau pernah menulis sebuah buku berjudul al-Najah yang membicarakan persoalan falsafah. Pemikiran falsafah Ibnu Sina banyak dipengaruhi oleh aliran falsafah al-Farabi yang telah menghidupkan pemikiran Aristotle. Oleh sebab itu, pandangan perubatan Ibnu Sina turut dipengaruhi oleh asas dan teori perubatan Yunani khususnya Hippocrates.Perubatan Yunani berasaskan teori empat unsur yang dinamakan humours iaitu darah, lendir (phlegm), hempedu kuning (yellow bile), dan hempedu hitam (black bile). Menurut teori ini, kesihatan seseorang mempunyai hubungan dengan campuran keempat-empat unsur tersebut. Keempat-empat unsur itu harus berada pada kadar yang seimbang dan apabila keseimbangan ini diganggu maka seseorang akan mendapat penyakit.
Setiap individu dikatakan mempunyai formula keseimbangan yang berlainan.
Meskipun teori itu didapati tidak tepat tetapi telah meletakkan satu
landasan kukuh kepada dunia perubatan untuk mengenal pasti punca
penyakit yang menjangkiti manusia. Ibnu Sina telah menapis teori-teori
kosmogoni Yunani ini dan mengislamkannya.
Ibnu Sina percaya bahawa setiap tubuh manusia terdiri daripada empat
unsur iaitu tanah, air, api dan angin. Keempat-empat unsur ini
memberikan sifat lembap, sejuk, panas, dan kering serta sentiasa
bergantung kepada unsur lain yang terdapat dalam alam ini. Ibnu Sina
percaya bahawa wujud ketahanan semula jadi dalam tubuh manusia untuk
melawan penyakit. Jadi, selain keseimbangan unsur-unsur yang dinyatakan
itu, manusia juga memerlukan ketahanan yang kuat dalam tubuh bagi
mengekalkan kesihatan dan proses penyembuhan.
Pengaruh pemikiran Yunani bukan sahaja dapat dilihat dalam pandangan
Ibnu Sina mengenai kesihatan dan perubatan, tetapi juga bidang falsafah.
Ibnu Sina berpendapat bahawa matematik boleh digunakan untuk mengenal
Tuhan. Pandangan seumpama itu pernah dikemukakan oleh ahli falsafah
Yunani seperti Pythagoras untuk menghuraikan mengenai sesuatu kejadian.
Bagi Pythagoras, sesuatu barangan mempunyai angka-angka dan angka itu
berkuasa di alam ini. Berdasarkan pandangan itu, maka Imam al-Ghazali
telah menyifatkan fahaman Ibnu Sina sebagai sesat dan lebih merosakkan
daripada kepercayaan Yahudi dan Nasrani.
Sebenarnya, Ibnu Sina tidak pernah menolak kekuasaan Tuhan. Dalam buku
An-Najah, Ibnu Sina telah menyatakan bahawa pencipta yang dinamakan
sebagai "Wajib al-Wujud" ialah satu. Dia tidak berbentuk dan tidak boleh
dibahagikan dengan apa-apa cara sekalipun. Menurut Ibnu Sina, segala
yang wujud (mumkin al-wujud) terbit daripada "Wajib al-Wujud" yang tidak
ada permulaan.
Tetapi tidaklah wajib segala yang wujud itu datang daripada Wajib
al-Wujud sebab Dia berkehendak bukan mengikut kehendak. Walau
bagaimanapun, tidak menjadi halangan bagi Wajib al-Wujud untuk
melimpahkan atau menerbitkan segala yang wujud sebab kesempurnaan dan
ketinggian-Nya.
Pemikiran falsafah dan konsep ketuhanannya telah ditulis oleh Ibnu Sina
dalam bab "Himah Ilahiyyah" dalam fasal "Tentang adanya susunan akal dan
nufus langit dan jirim atasan.
Pemikiran Ibnu Sina ini telah rnencetuskan kontroversi dan telah
disifatkan sebagai satu percubaan untuk membahaskan zat Allah.
Al-Ghazali telah menulis sebuah buku yang berjudul Tahafat al'Falasifah
(Tidak Ada Kesinambungan Dalam Pemikiran Ahli Falsafah) untuk
membahaskan pemikiran Ibnu Sina dan al-Farabi.
Antara percanggahan yang diutarakan oleh al-Ghazali ialah penyangkalan
terhadap kepercayaan dalam keabadian planet bumi, penyangkalan terhadap
penafian Ibnu Sina dan al-Farabi mengenai pembangkitan jasad manusia
dengan perasaan kebahagiaan dan kesengsaraan di syurga atau neraka.
Walau apa pun pandangan yang dikemukakan, sumbangan Ibnu Sina dalam
perkembangan falsafah Islam tidak mungkin dapat dinafikan. Bahkan beliau
boleh dianggap sebagai orang yang bertanggungjawab menyusun ilmu
falsafah dan sains dalam Islam. Sesungguhnya, Ibnu Sina tidak sahaja
unggul dalam bidang perubatan tetapi kehebatan dalam bidang falsafah
mengatasi gurunya sendiri iaitu Abu Al-Nasr Al-Farabi (al-Farabi).
IBNU SINA – TOKOH PERUBATAN ISLAM.
IBNU SINA yang lebih dikenali di Barat dengan nama Avicenna mempunyai
nama lengkap Abu Ali al- Huseyn bin Abdullah bin Hassan Ali bin Sina.
Beliau merupakan seorang yang berbangsa Parsi. Menurut Ibnu Abi
Ushaybi’ah ia lahir pada tahun 375 H, di desa Afshanah dekat kota
Kharmaitan Propinzi Bukhara Afghanistan.
Pelajaran pertama yang diterimanya pada zaman kanak-kanak adalah
Al-Quran dan sastera yang didapati olehnya secara tidak formal. Ia mula
belajar pada usia 5 tahun. Sementara itu sewaktu berumur 10 tahun ,
beliau telah berjaya menghafal Al-Quran. Pada masa umurnya meningkat 18
tahun Ibnu Sina telah menjadi "Doktor Di Raja". Disamping itu, Ibnu Sina
jiga telah menguasai seluruh cabang ilmu pengetahuan yang ada pada
waktu itu. Ilmu-ilmu agama seperti tafsir, fiqh, perbandingan agama
(ushuluddin), tasawuf dan sebagainya sudah dikuasainya ketika baru
berusia 10 tahun. Pada masa kecilnya, ia dibimbing dan dididik oleh Abu
Abdullah Natili, seorang sahabat karib ayahnya, dan ayahnya sendiri.
Antara bidang ilmu yang berjaya dikuasainya termasuklah dalam bidang
falsafah, kedoktoran, geometri, astronomi, muzik, syair, teologi,
politik, matematik, fizik, kimia, sastera dan kosmologi.
Ensiklopedia Kedoktoran Pertama
Pada usia 21 tahun, ketika berada di Kawarazm, ia mulai menulis karyanya yang pertama yang berjudul "Al-Majmu" yang mengandungi berbagai ilmu pengetahuan yang lengkap.Kemudian ia melanjutkan menulis buku-buku lain.Nama-nama buku yang pernah dikarang Ibnu Sina, termasuk yang berbentuk risalah ukuran kecil, dimuat dan di himpun dalam satu buku besar yang berjudul "Essai de Bibliographie Avicenna" yang dihasilkan oleh Pater Dominican di Kairo.Antara yang terkandung dalam buku tersebut termasuklah buku karangan yang amat terkenal iaitu Al-Qanun Fit – Tibb.
Teori-Teori Anatomi Dan Fisiologi
Teori-teori anatomi dan fisiologi dalam buku-buku beliau adalah
menggambarkan analogi manusia terhadap negara dan mikrokosmos (dunia
kecil) terhadap alam semester sebagai makrokosmos (dunia besar).Misalnya
digambarkan bahawa syurga kayangan adalah bulat dan bumi adalah persegi
dan dengan demikian kepala itu bulat dan kaki itu empat persegi.
Terdapat empat musim dan 12 bulan dalam setahun, dengan itu manusia
memiliki empat tangkai dan lengan (anggota badan) mempunyai 12 tulang
sendi. Hati (heart) adalah ‘pangeran’-nya tubuh manusia, sementera
paru-paru adalah ‘menteri’-nya. Leher merupakan ‘jendela’-nya sang
badan, manakala kandung empedu sebagai ‘markas pusat’-nya. Limpa dan
perut sebagai ‘bumbung’ sedangkan usus merupakan sistem komunikasi dan
sistem pembuangan.
Sementara itu "Canon of Medicine" memuatkan pernyataan yang tegas
bahawa "darah mengalir secara terus-menerus dalam suatu lingkaran dan
tak pernah berhenti" . Namun ini belum dapat dianggap sebagai suatu
penemuan tentang srikulasi darah, kerana bangsa cina tidak membezakan
antara urat-urat darah halus (Veins) dengan pembuluh nadi (arferies).
Analogi tersebut hanyalah analogi yang digambarkan antara gerakan darah
dan siklus alam semesta, pergantian musim dan gerakan-gerakan tubuh
tanpa peragaan secara empirik pada keadaan yang sebenarnya.
Pengaruh Ibnu Sina
Pengaruh Ibnu Sina sebagai seorang failasuf dan doktor perubatan dalam kebudayaan Eropah adalah luas. Buku karangannya al-Qanun Fit- Tibb (Peraturan Perubatan) terdiri daripada 14 jilid, telah dianggap sebagai himpunan perbendaharaan ilmu perubatan. Ilmu perubatan moden banyak mendapat pelajaran daripada Ibnu Sina, dari segi pengunaan ubat, diagnosis dan pembedahan.
Terjemahan Dan Bahan Rujukan al-Qanun Fit- Tibb
Pada abad ke 12 M Gerard Cremona yang berpindah ke Toledo, Sepanyol telah menterjemahkan buku Ibnu Sina ke bahasa Latin. Buku ini menjadi buku rujukan utama di universiti-universiti Eropah hingga 1500 M. Bukunya telah disalin (cetak ) sebanyak 16 kali dan 15 edisi dalam bahasa Latin dan sebuah edisi dalam bahasa Yahudi (Hebrew).Disamping itu buku tersebut turut diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, Perancis , Sepanyol dan Itali . Pada abad ke 16 M , buku ini dicetak 21 kali.
Al-Qanun Fit-Tibb juga digunakan sebagai buku teks kedoktoran di
berbagai universiti di Perancis. Misalnya di Sekolah Tinggi Kedoktoran
Montpellier dan Louvin telah menggunakannya sebagai bahan rujukan pada
abad ke 17 M. Sementara itu Prof. Phillip K. Hitpi telah menganggap buku
tersebut sebagai "Ensiklopedia Kedoktoran".
Penulis- penulis Barat telah menganggap Ibnu Sina sebagai ‘Bapa
Doktor’ kerana Ibnu Sina telah menyatupadukan teori perubatan Yunani
Hippocrates dan Galen dan pengalaman dari ahli-ahli perubatan dari India
dan Parsi dan pengalaman beliau sendiri.
Perintis Pengenalan Penyakit Saraf
Al- Qanun Fit-Tibb telah membincangkan serta mengenegahkan mengenai penyakit saraf. Buku tersebut juga telah mengajar mengenai cara-cara pembedahan dimana telah menekankan keperluan pembersihan luka. Malahan di dalam buku-buku tersebut juga dinyatakan keterangan –keterangan dengan lebih jelas di samping hiasan gambar-gambar dan sketsa-sketsa yang sekaligus menunjukkan pengetahuan anatomi Ibnu Sina yang luas.
Ibnu Sina- Sebagai Seorang Doktor.
Ibnu Sina pernah di beri gelaran sebagai "Medicorum Principal" atau "Raja Diraja Doktor" oleh kaum Latin Skolastik. Antara gelaran lain yang pernah diberikan kepadanya adalah sebagai "Raja Ubat". Malahan dalam dunia Islam, ia dianggap sebagai "Zenith", puncak tertinggi dalam ilmu kedoktoran . Ibnu Sina menjadi "Doktor Di Raja" iaitu doktor kepada Sultan Nuh 11 bin Mansur di Bukhara pada tahun 378 H/ 997 M iaitu ketika beliau berusia 18 tahun. Pada waktu itu penyakit sultan dalam keadaan parah dan tidak ada doktor lain yang berjaya mengubati baginda. Akan tetapi berkat pertolongan Ibnu Sina baginda kembali pulih.
Penemuan-Penemuan Baru
Ibnu Sina dikenali sebagai seorang saintis yang banyak memberikan saham terhadap dunia ilmu pengetahuan melalui penemuan-penemuan barunya. Antara sumbangan beliau adalah di dalam bidang geografi, geologi, kimia dan kosmologi.
Bidang Geografi
Ibnu Sina merupakan seorang ahli geografi yang mampu menerangkan bagaimana sungai-sungai berhubungan dan berasal dari gunung-ganang dan lembah-lembah. Malahan ia mampu mengemukakan suatu hipotesis atau teori pada waktu itu di mana gagal dilakukan oleh ahli Yunani dan Romani sejak dari Heredotus, Aristoteles sehinggalah Protolemaious. Menurut Ibnu Sina " gunung-ganang yang memang letaknya tinggi iaitu lingkungan mahupun lapisannya dari kulit bumi, maka apabila ia diterajang lalu berganti rupa dikarenkan oleh sungai-sungai yang meruntuhkan pinggiran-pinggirannya. Akibat proses seperti ini, maka terjadilah apa yang disebut sebagai lembah-lembah."
Bidang Geologi, Kimia Dan Kosmologi
Sumbangan Ibnu Sina dalam bidang geologi , kimia serta kosmologi
memang tidak dapat di sangsikan lagi. Menurut A.M.A shushtery, karangan
Ibnu Sina mengenaiilmu pertambangan (mineral) menjadi sumber geologi di
Eropah. Dalam bidang kimia , ia juga meninggalkan penemuan-penemuan yang
bermanafaat . Menurut Reuben Levy, Ibnu Sina telah menerangkan bahawa
benda-benda logam sebenarnya berbeza antara satu dengan yang lain.
Setiap logam terdiri dari berbagai jenis. Penerangan tersebut telah
memperkembangkan ilmu kimia yang telah dirintis sebelumnya oleh Jabbir
Ibnu Hayyan , Bapa Kimia Muslim. Sebahagian daripada karyanya yang dapat
dicatat disini adalah daripada :
1. Bidang logika "Isaguji", "The Isagoge", ilmu logika Isagoge.
2. Fi Aqsam al-Ulum al-Aqliyah (On the Divisions of the Rational Sciences) tentang pembahagian ilmu-ilmu rasional.
3. Bidang metafizika , "Ilahiyyat" (Ilmu ketuhanan)
4. Bidang psikologi , "Kitab an-Nayat" (Book of Deliverence) buku tentang kebahagiaan jiwa.
5. Fiad-Din yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin menjadi "Liber de Mineralibus" yakni tentang pemilikan (mimeral).
6. Bidang sastera arab "Risalah fi Asab Huduts al-Huruf" ,risalah tentang sebab-sebab terjadinya huruf.
7. Bidang syair dan prosa "Al-Qasidah al- Aniyyah" syair-syair tentang jiwa manusia.
8. Cerita-cerita roman fiktif , "Risalah ath-Thayr" cerita seekor burung.
9. Bidang politik "Risalah as-Siyasah" (Book on Politics) – Buku tentang politik.
Sumbangan Ibnu Sina
Ibnu Sina telah memperkembangkan ilmu psikologi dalam perubatan dan membuat beberapa perjumpaan dalam ilmu yang dikenali hari ini sebagai ilmu perubatan psikosomatics "psychosomatic medicine". Beliau memperkembangkan ilmu diagnosis melalui denyutan jantung (pulse diagnosis) untuk mengenal pasti dalam masa beberapa detik sahaja ketidak - seimbangan humor yang berkenaan . Diagnosis melalui denyutan jantung ini masih dipratikkan oleh para hakim (doktor-doktor muslim) di Pakistan, Afghanistan dan Parsi yang menggunakan ilmu perubatan Yunani. Seorang doktor tabii dari Amerika (1981) melapurkan bahawa para hakim di Afghanistan, China, India dan Parsi sanggat berkebolehan dalam denyutan jantung di tempat yang dirasai tetapi mutunya yang pelbagai .Ini merangkumi :
Kuat atau denyutan yang lemah.
Masa antara denyutan.
Kandungannya lembap di paras kulit dekat denyutan itu dan lain-lain lagi.
Dari ukuran-ukuran denyutan jantung seseorang hakim mungkin
mengetahui dengan tepat penyakit yang dihinggapi di dalam tubuh si
pesakit.
Ibnu Sina menyedari kepentingan emosi dalam pemulihan. Apabila
pesakit mempunyai sakit jiwa disebabkan oleh pemisahan daripada
kekasihnya , beliau boleh mendapati nama dan alamat kekasihnya itu
melalui cara berikut:
Caranya adalah untuk menyebut banyak nama dan mengulanginya dan
semasa itu jarinya diletakkan atas denyutan (pulse) apabila denyutan itu
terjadi tidak teratur atau hampir-hampir berhenti , seseorang itu
hendaklah mengulang proses tersebut. Dengan cara yang sedemikan , nama
jalan , rumah dan keluarga disebutkan. Selepas itu , kata Ibnu Sina
"Jika anda tidak dapat mengubat penyakitnya maka temukanlah si pesakit
dengan kekasihnya , menurut peraturan syariah maka
buatlah".(Terjemahan). Ibnu Sina adalah doktor perubatan yang pertama
mencatatkan bahawa penyakit paru-paru (plumonary tuberculosis) adalah
suatu penyakit yang boleh menjangkit (contagious) dan dia menceritakan
dengan tepat tanda-tanda penyakit kencing manis dan masalah yang timbul
darinya. Beliau sangat berminat dalam bidang mengenai kesan akal (mind)
atas jasad dan telah banyak menulis berkenaan gangguan psikologi.
Beliau telah menghasilkan 250 buah karya dan masih kekal hingga ke
hari ini dan termasuklah 116 buah karyanya dalam bidang "Ilmu Perubatan.
Banyak karyanya ditulis dalam bahasa Arab dan juga beberapa dalam
bahasa Parsi. "Qanun Fitt Tibb" adalah karyanya yang termasyur , paling
selalu dicetak di Eropah pada zaman "Renaissance". Karya Qanun itu telah
mempunyai pengaruh yang asas dalam ilmu perubatan di Eropah pada zaman
Renaissance dan telah menjadi buku rujukan yang utama di
universiti-universiti Eropah hingga ke abad 17 M.
Kewafatan beliau
Ibnu Sina meniggal dunia di Hamdan ,dalam usia 58 tahun pada bulan Ramadhan 428 H/1037 M .Ia dimakamkan di sana. Dalam rangka memperingati 1000 tanun hari kelahirannya (Fair Millenium) di Tehran pada tahun 1955 M ia telah dinobatkan sebagai "Father of Doctor" untuk selamanya-selamanya , dan di sana (Tehran) telah dibangunkan sebuah monemun sejarah untuk itu. Makam beliau di Hamdan telah di kelilingi oleh makam-makam doktor islam yang lain. Hal ini menyebabkan ahli-ahli ilmu yang terkemudian merasa megah kalau dimakamkan di tanah perkuburan di mana "zeninth" itu dimakamkan.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan