SURAU AL-FURQAN Flora 2 Apartment U5/30 40150 Shah-Alam Selangor

Isnin, 1 Februari 2010

KIAI HAJI HUSAIN HAJI ABBAS – PENGASAS PONDOK DI SIJANGKANG

Koleksi Karya: Allahyarham Ustaz Wan Mohd. Shaghir Abdullah
_______________________________
Tokoh ulama yang dibicarakan ini adalah hasil penyelidikan daripada salah seorang pembentang seminar, iaitu Ustaz Khafidz Soroni, merupakan pensyarah Akademi Islam Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dengan diberi judul Kiai Haji Husain Bin Haji Abbas: Tokoh Ulama Masyarakat Jawa di Selangor.
Sumber penyelidikan terhadap ulama ini juga adalah berdasarkan temu bual pembentang kertas kerja dengan anak ketiga beliau iaitu Haji Muhammad Mahin Haji Husain yang juga pernah berguru dan menadah kitab dengan bapanya sendiri.
Antara perkara yang disentuh oleh pembentang dalam kertas kerjanya adalah mengenai nama, kelahiran, keturunan, pembelajaran dan guru-guru beliau, pondok pengajian, kebolehan beliau sebagai hafiz al-Quran, ahli Falak dan penulisan, sifat-sifat beliau, kisah-kisah karamah beliau, kewafatan dan rumah tangga beliau. Namun dalam ruangan ini hanya memetik beberapa perkara sahaja yang boleh dijadikan sebagai kajian awal mengenai ulama ini.
NAMA & KELAHIRAN
Nama beliau ialah Kiai Haji Husain bin Haji Abbas @ Abdullah Kafi bin Qaribun. Adakalanya beliau meletakkan nama jolokan (kunyah) ‘Abu Bakar’ di awal namanya kerana anak sulungnya adalah seorang perempuan, sebagaimana adat kebiasaan di kalangan orang-orang Arab, dan adakalanya diletakkan gelaran ‘al-sijankani’ di hujung namanya sebagai nisbah kepada kampung Sijangkang.
Beliau dianggarkan lahir pada tahun 1918 atau 1919, kerana beliau kembali ke rahmatullah pada tahun 1981 dalam usia kira-kira 62 atau 63 tahun. Salasilah keturunan beliau tidak dapat dipastikan dengan jelas, kerana beliau tidak suka menceritakan tentang nasab atau asal-usul keturunannya.
Namun diriwayatkan bahawa makam datuknya iaitu Kiai Qaribun yang terletak di Yogjakarta, Indonesia adalah di kawasan perkuburan orang-orang besar dan kuburnya agak berlainan dengan kubur orang biasa kerana lebih besar dan mempunyai ukiran-ukiran yang indah.
GURU-GURU
Sejak kecilnya lagi beliau amat minat dalam menimba ilmu pengetahuan, sehingga menguasai pelbagai bidang ilmu agama. Selain belajar dengan bapanya, beliau juga belajar di beberapa buah pondok pesantren di Tanah Jawa, antaranya Pesantren Lirboyo, Kota Kediri.
Di pesantren tersebut, berkemungkinan beliau pernah mengaji dengan Kiai Haji Abdul Karim (1856-1954) iaitu pengasas pondok berkenaan, serta para penggantinya iaitu Kiai Haji Marzuqi Dahlan (1906-1975) dan Kiai Haji Mahrus Ali (1907-1985).
Beliau juga pernah belajar di Pesantren Termas dan Pesantren Tebuireng dan Pesantren Krapyak, Yogjakarta. Pesantren Krapyak atau Pesantren al-Munawwir diasaskan oleh Kiai Haji M. Moenawwir (1942) yang terkenal sebagai pakar al-Qur’an dan qiraat. Di pondok tersebut juga Kiai Husain tekun mempelajari al-Quran dengan gurunya Kiai Moenawwir dan menghayatinya sehinggalah beliau berjaya menghafaz keseluruhan 30 juzuk al-Quran serta menguasai seni qiraat.
MENDIRIKAN PENGAJIAN PONDOK
Kecintaan beliau terhadap ilmu agama yang sangat tinggi menyebabkan Kiai Husain membuka sebuah pondok pengajian sekitar tahun 1944. Pondok yang didirikan tersebut dikenali sebagai ‘Pondok Kiai Haji Husain Sijangkang’ atau disebut di kalangan masyarakat Jawa sebagai ‘Pondok Kiai Kusin’.
Pondok ini juga disebut sebagai ‘Asrama Haji Husain’ dan ‘Ma’ahad al-Talabah al-‘Abbasiyah’. Dikatakan bahawa kegemilangan pengajian pondok Kiai Husain adalah antara tahun 60-an dan 70-an, namun kemudiannya pupus disebabkan tiada penyambung untuk meneruskannya.
Berkenaan pondok pengajian tersebut turut dibentangkan oleh pembentang lain, dengan judul Kiai Haji Hussin dan Pondok Ma’had al-Talabah al-Abbasiah: Analisis Penubuhan, Peranan dan Sumbangannya Kepada Masyarakat,. Ia merupakan hasil penyelidikan pensyarah-pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) iaitu Prof. Madya Dr. Mohd. Nasran Mohammad dan Ahmad Dahlan Salleh.
Antara yang dibincangkan dalam kertas kerja tersebut adalah mengenai latar belakang pondok, biodata pengasas, perkembangan pondok dan matlamat penubuhan serta sistem pengajian, yang merangkumi sistem pelajaran, cara penyampaian, kitab-kitab yang dipelajari, waktu belajar, undang-undang pondok, sumber kewangan dan masalah pondok.
Namun disebabkan kepadatan ruangan ini, maka hanya beberapa perkara sahaja yang dibicarakan yang dipetik dari kertas kerja tersebut, iaitu:
SISTEM PELAJARAN
Sistem pembelajaran adalah sama seperti sistem pondok-pondok lain di Malaysia, iaitu tiada peperiksaan, tiada kelas tambahan dan tiada sijil dikeluarkan.
Ini kerana objektif penubuhannya adalah untuk melahirkan pelajar yang alim dan mahir dalam bahasa Arab, dengan harapan mereka dapat memimpin masyarakat setempatnya apabila pulang ke kampong masing-masing.
Sebagai pengasas pondok tersebut, maka beliau adalah ketua dalam segala hal. Disebabkan itu segala kitab yang dibaca, disiplin dan perkara yang berkaitan pondok ditentukan sendiri oleh Kiai Hussin.
KITAB-KITAB YANG DIBACA
Pada umumnya kitab yang dibaca dapat dibahagikan kepada dua. Pertama kitab bagi pelajar baru dan kedua bagi pelajar-pelajar lama. Di antara kitab-kitab yang pernah dibaca golongan pertama ialah Matn al-Jurumiyyah (Nahu), Matn al-Taqrib (Fiqh), Matn al-Safinah (Fiqh), Matn Sullam al-Tawfiq (Fiqh), Matn Bina’ (Sorof), Matn al-Arba’in (Hadis), Matn al-‘Izzi (sharaf) dan Muqaddam.
Berikut pula adalah kitab-kitab yang dibaca bagi gologan kedua, iaitu:
  1. Kitab-kitab Nahu, iaitu: Nizam al-‘Umriti, Matn al-Fiyyah, Mutammimah, Syarh Ibn ’Aqil dan lain-lain lagi.
  2. Kitab-kitab Fiqh, iaitu: Syarh al-Bajuri, Fath al-Mu’in, I’anah al-Talibin, al-Iqna’, Nihayah al-Zain, Fath al-Wahhab dan lain-lain lagi.
  3. Kitab-kitab tafsir, iaitu: Tafsir al-Jalalain, Tafsir al-Munir dan kitab-kitab tafsir lain.
  4. Kitab-kitab sharaf, iaitu: Matn al-Bina’, Matn al-Izzi, Matn al-Maqsud dan lain-lain lagi.
  5. Kitab-kitab Hadis, iaitu: Matn al-Arba’in, Mukhtasar Ibn Abi Jumrah, Hadith Bukhari, Hadith Muslim, Mustalah al-Hadith dan lain-lain lagi.
  6. Kitab Akhlak, iaitu: Ta’alim al-Muta’alim.
  7. Kitab-kitab Tasauf, iaitu: Hidayah al-Salikin, Maraqi al-‘Ubudiyyah dan Ihya’ Ulum al-Din.
CARA PEMYAMPAIAN
Cara pertama dipanggil ‘sorokgan’ iaitu selepas guru mengajar, pelajar mestilah membaca seorang demi seorang di hadapannya dengan betul. Kadang-kadang dikehendaki menghafal kalimah tersebut. Cara ini digunakan biasanya kepada pelajar baru.
Cara kedua secara ‘bandungan’ iaitu pelajar dikehendaki memahami kitab yang dibaca oleh kiai dan mencatit makna kalimah. Cara ini digunakan kepada pelajar lama khasnya yang telah membaca kitab-kitab asas.
HAFIZ AL-QURAN
Kiai Husain adalah salah seorang ulama yang menghafal 30 juzuk al-Quran keseluruhannya pada zamannya. Beliau memiliki sebuah mushaf al-Quran kecil bersaiz poket dan sentiasa membawanya bagi mengingati ayat-ayat al-Quran yang dihafalnya. Sebagai seorang hafiz al-Quran, beliau sering mengulang-ulang kelancaran hafalannya, terutama di bulan Ramadan, yang mana beliau akan mengkhatamkan al-Quran dalam solat tarawih.
Beliau juga memberikan ijazah khas al-Quran dengan qiraat Hafs ‘an ‘Asim yang disebut sebagai Syahadah al-Qurianiyyah kepada murid-muridnya yang telah khatam al-Quran dengan beliau.
AHLI FALAK
Kiai Haji Husain juga dikenali sebagai ahli dalam ilmu falak dan mengajarkan ilmu tersebut kepada murid-muridnya. Bahkan pondok yang diasaskan boleh beliau turut mengeluarkan sendiri kalendar tahunan yang mengandungi takwim hijrah yang disertakan dengan kalendar jawa dan waktu solat.
Kalendar tersebut dikeluarkan pada setiap tahun dan masih wujud sehinggalah kini dan masih digunapakai oleh masyarakat Jawa, khususnya di Selangor hingga ke selatan Perak.
PENULISAN
Sebagaimana ulama-ulama lain yang banyak menghasilkan karya dalam penulisan, Kiai Husain juga banyak menghabiskan masanya dengan menyalin kitab-kitab, termasuklah syair-syair, hadis-hadis sehinggalah kitab-kitab yang agak tebal. Bahkan dikatakan sehingga kini sebahagian kitab-kitab yang disalinnya masih tersimpan dengan baik.
Namun, tidak diketahui sebarang karya asli yang dihasilkan oleh beliau. Dalam kajian pembentang tersebut, hanya ditemui sebuah sahaja iaitu, terjemahan Matn Ajrumiyah ke dalam bahasa Jawa yang diselesaikan oleh beliau pada tahun 1348 H dan masih berbentuk tulisan tangan.
KEWAFATAN
Beliau kembali ke rahmatullah pada 11 Zulhijjah tahun 1401 H (1981 M) dan dikebumikan di Perkuburan Islam Simpang Lima, Klang. Beliau pernah menyatakan bahawa beliau tidak mahu melebihi umur NabI Muhammad SAW, dan ditakdirkan beliau menghembuskan nafas terakhir sekitar umur 62 tahun.
Di akhir-akhir hidupnya, beliau juga pernah menyuruh anaknyaMuhammad Mahin untuk membuatkan meja rendah, dengan alasan mudah untuk meletakkan makanan dan menjaganya agar tidak dihurung semut. Namun, beliau menyuruh agar dibuat lebih panjang sehingga ukuran seseorang dapat berbaring atasnya. Dengan takdirnya meja yang tersebut jugalah yang digunakan untuk meletakkan jenazah beliau.
Selain itu, terjadi juga sesuatu yang menghairankan semasa kematian beliau, di mana tarikh di kalendar bertukar menjadi warna hitam, walhal kalendar tersebut dicetak tidak menggunakan dakwat hitam. Namun apabila ditanya kepada pihak percetakan, mereka juga tidak dapat memberi jawapan tentang perkara tersebut.
KETURUNAN
Kiai Haji Husain mendirikan rumah tangga dengan anak perempuan seorang tokoh ulama Jawa yang terkenal di Selangor suatu masa dahulu iaitu Kiai Haji Dahlan bin Haji Hassan Isbath.
Hasil perkahwinan dengan Hajah Darwiyah tersebut, beliau dikurniakan lapan cahaya mata, iaitu Hajah Jamalah, Hajah Fauziah, Haji Muhammad Mahin, Haji Mujib, Hajah Aishah, Hajah Barirah, Hajah Munah dan Hajah Jumanah.

Selasa, 5 Januari 2010

KIAI MUHAMMAD ALI QARIBUN

Pengasas Awal Pondok di Selangor

Koleksi tulisan HAJI WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

Pendahuluan

TOKOH ulama Selangor yang dibicarakan pada kali ini merupakan ulama yang dikenali sebagai pelopor institusi pendidikan pondok di negeri Selangor, sebelum wujudnya institusi pendidikan moden yang wujud kini. Kertas kerja mengenai tokoh ulama ini dibentangkan oleh Ustaz Ahmad Shukri Ghazali pada Seminar Tokoh Ulama Selangor 2008 pada 22 November tersebut, dengan diberi judul, Kiai Muhammad Ali Qaribun: Pengasas Awal Pondok di Selangor.
Perkara-perkara yang dibicarakan dalam kertas kerja tersebut adalah menyentuh tentang latar belakang keluarga, pendidikan, perkhidmatan sebagai askar, pengasas Masjid Sultan Singapura, mendirikan masjid dan pondok di Sijangkang, kitab-kitab pengajian yang diajar di pondok, hubungan Kiai Muhammad Ali dengan ulama dan kerabat Diraja Brunei dan Selangor, karamah beliau dan kewafatan beliau.
Dilihat bahawa maklumat-maklumat berkaitan tokoh ulama yang dibicarakan tersebut wajar ditonjolkan keseluruhannya. Namun disebabkan kepadatan ruangan ini, maka hanya beberapa perkara sahaja yang disentuh, selebihnya akan dilanjutkan pada ruangan akan datang. Perkara-perkara yang dipetik untuk bahagian pertama ini yang diambil dari kertas kerja hasil kajian Ustaz Ahmad Shukri Ghazali (selepas ini disebut sebagai penulis) tersebut adalah mengenai latar belakang keluarga, perkhidmatan beliau sebagai askar, pendidikan dan sejarah beliau mendirikan masjid di Singapura dan Sijangkang.

Latar belakang Keluarga

Nama beliau ialah Kiai Muhammad Ali bin Qaribun bin Suruyan Al-Mentarami, berasal dari Bantul, Mataram (Jogjakarta), Indonesia dan dilahirkan sekitar tahun 1858/1279H. Susur galur keturunan beliau bertemu dengan Sunan Ampel, iaitu salah seorang daripada sembilan Wali Songo yang terkenal di Tanah Jawa.
Beliau mempunyai sembilan adik-beradik, yang terdiri daripada lapan lelaki dan seorang perempuan, iaitu Kiai Abdul Rahman, Kiai Abdul Samad, Kiai Mustafa, Kiai Abbas (Abdullah Kahfi), Kiai Syafei, Kiai Tarmizi dan Mbah Ayu.
Ayah beliau, Kiai Qaribun bin Suriyan merupakan orang penting di Keraton Mataram sekitar tahun 1800an, Dikatakan bahawa ayah beliau adalah pengiring dan pemayung sultan semasa adat istiadat di Istana Keraton. Setelah Kiai Qaribun diangkat menjadi pengiring dan juru payung sultan, beliau mengahwini puteri Sultan Mataram.
Kisah Kiai Qaribun dilantik sebagai juru payung dan pengiring sultan bermula apabila kawasan Mataram khususnya Keraton sudah tidak selamat kerana sering diancam oleh perompak. Pada satu ketika perompak cuba menceroboh kawasan Keraton, lalu Kiyai Qaribun berkata: “Perompak ini seperti anjing”, lantas ia bertukar menjadi anjing. Maka setelah kewafatan juru payung dan juru iring sultan, Kiai Qaribun dilantik menjawat tugas tersebut sehingga akhir hayat. Sehingga kini kebanyakan keluarga Qaribun menetap di daerah Bantul, Mataram (Jogjakarta).
Apabila Kiai Qaribun kembali ke rahmatullah, beliau dikebumikan di Bantul, Mataram (Jogjakarta) bersama-sama kerabatnya dan tertulis di batu nisannya dengan nama Kiai Koribun. Pernah terjadi ketika berlaku gempa bumi di Jogjakarta pada 2007, dikatakan makam Kiai Qaribun tidak mengalami sebarang kerosakan dan keretakan seolah-olah dipelihara dengan baik.
Semasa hidupnya, Kiai Qaribun menyarankan agar tiga orang anak lelakinya yang diketuai oleh Kiai Haji Muhammad Ali, Kiai Abbas dan Kiai Syafie menuju ke Tanah Melayu untuk menyebarkan dakwah Islam di sana.
Kiai Qaribun juga pernah membina sebuah masjid yang dinamakan Masjid Al-Qaribun. Masjid tersebut diperbuat daripada batang kelapa dan putih telur tanpa plaster dan kini masih dalam proses membaik pulih melalui sumbangan cucunya yang berada di Malaysia.

Berkhidmat sebagai Askar

Semasa beliau berada di Johor sekitar tahun 1889, berkemungkinan sebelum mendirikan rumah tangga, beliau pernah berkhidmat sebagai askar hutan atau askar Inggeris menentang pemberontak selama hampir 18 tahun dan dibayar gaji sebanyak $12 setahun.
Semasa beliau mula-mula tiba di Tanah Melayu, iaitu di Johor, beliau tidak tahu berbahasa Melayu dan juga tidak tahu menulis rumi. Disebabkan sikapnya yang suka mengembara, beliau telah diambil oleh Inggeris untuk berkhidmat melawan pemberontak di Pahang. Pihak Inggeris sering berulang alik dari Johor, dan mereka akan bertukar askar dengan Indonesia dan Malaya.
Kadangkala askar Belanda akan mengambil askar Melayu untuk menentang penjajah Indonesia, begitu juga sebaliknya. Semasa berada di hutan, beliau dikatakan amat mahir berburu dan membuat jerat untuk menangkap harimau dan kera., dan menjadikan beliau semakin berani, banyak bergaul dan semakin mahir berbahasa Melayu.
Akibat merasa bosan hidup dalam hutan dan sering melarikan diri, maka akhirnya beliau melarikan diri dari menjadi askar. Setelah melarikan diri, seorang rakannya yang sama-sama berkhidmat sebagai askar bernama Pak Ramli telah memberikannya lima ekar tanah di Sijangkang untuk tinggal di sana.
Hanya satu ekar diwakafkan untuk dijadikan pondok dan kini dijadikan kawasan masjid, manakala empat ekar adalah untuk didiami keluarga Kiai Haji Muhammad Ali. Semasa berkhidmat dengan askar Inggeris, Pak Ramli adalah salah seorang yang berpengaruh dan dianugerahkan pingat pangkat Dato.

Pendidikan

Kiai Haji Muhammad Ali mendapat pendidikan awal di Tanah Jawa, Indonesia sekitar tahun 1868-1878. Tidak disebut tempat beliau mendapat pendidikan awal sebelum ke Mekah, namun beliau pernah menyebut beberapa buah pondok di Tanah Jawa yang masyhur iaitu Pesantren Termas di daerah Pacitan, Pesantren Lir boyo di Kediri, Pesantren Tebuireng di Jombang, Jawa Timur dan Pesantren Langitan di Tuban.
Ini kerana keempat-empat pondok tersebut sentiasa disebut semasa beliau mengajar murid-muridnya di Sijangkang. Namun perkara tersebut masih dalam kajian kerana penulis masih meragui apakah pesantren yang disebut itu merupakan tempat beliau menuntut ilmu atau mungkin tempat teman-teman sepengajian beliau yang telah berjaya membuka pondok.
Walau bagaimanapun, penulis beranggapan kesemua pondok yang disebutkan adalah tempat beliau menimba ilmu kerana pada 1889 tersebut, Kiai Haji Muhammad Ali telah pun berada di Tanah Melayu, sedangkan pesantren yang disebutkan wujud sekitar tahun 1906 atau 1910, kecuali Pesantren Termas di daerah Pacitan Indonesia dan Pesantren Langitan, Tuban yang dianggap antara pesantren tertua.
Pendidikan Kiai Haji Muhammad Ali masih kabur kerana ramai yang menyatakan beliau menuntut ilmu di Tanah Jawa kemudian ke Mekah selama puluhan tahun dengan menaiki kapal layar sekitar tahun 1880an. Rata-rata masyarakat menyebut beliau belajar di Tanah Jawa dan di Mekah selama puluhan tahun. Malah ada juga yang mendakwa beliau berada di Mekah selama 15 tahun sebagai guru di sana.

Pengasas Masjid Sultan Singapura

Menurut cucu beliau bernama Tuan Haji Sani, Kiai Haji Muhammad Ali ke Mekah sebanyak dua kali, kali pertama sebagai seorang penuntut, dan kali kedua sebagai tenaga pengajar di sana. Hal yang sama juga apabila beliau datang ke Tanah Melayu iaitu sebanyak dua kali. Kali pertama seorang diri dan kali kedua bersama adiknya.
 

Masjid Sultan Singapura yang diasaskan oleh Kiai Haji Ali Umar Qaribun.

Pada kali pertama pulang ke Tanah Jawa, beliau singgah di Singapura dan membangunkan sebuah masjid yang diperbuat daripada kayu bersama rakan-rakannya. Kini masjid tersebut dikenali sebagai Masjid Sultan Singapura. Sejarah pembinaan masjid kayu ini menjadikan Kiai Haji Muhammad Ali semakin masyhur dan dikenali di Mekah dan Tanah Jawa. Nama beliau disemadikan di batu asas Masjid Sultan Singapura sebagai “Pengasas Masjid Kiai Haji Ali Umar Qaribun Bantul Miri.”
Setelah masjid lama daripada kayu dirobohkan, batu asas tersebut diletakkan berhampiran makam Sultan Hussain di ruangan bawah masjid dan akhirnya dibawa balik ke Bantul, Miri Mataram oleh kerabat beliau yang merupakan seorang kapten tentera Indonesia. Bahkan hubungan kekeluargaan Kiai Haji Muhammad Ali dengan masyarakat Jawa di Indonesia masih wujud hingga kini.
Oleh yang demikian, tidak hairan beliau sangat dihormati dan disegani oleh para ulama di Singapura pada waktu itu, kerana jasanya yang sangat besar.

Mendirikan Masjid di Sijangkang

Menurut cucu Kiai Muhammad Ali lagi, nama Sijangkang diambil sempena sebatang sungai yang mengalir di bawah sepohon kayu yang melengkung seumpama orang yang sedang kangkang. Sungai tersebut merupakan laluan utama antara Pandamar dan Sijangkang.
Setelah beliau menabur jasa di Singapura dan menjadi orang penting di Johor, maka beliau lantas mengambil keputusan pulang ke Mekah. Setelah 15 tahun berada di Mekah, beliau sekali lagi datang ke Johor kemudian singgah di Kajang dan membuka masjid di sana.
Berdasarkan balasan sepucuk surat, Kiai Haji Muhammad Ali telah berada di Sijangkang pada 1335H/1917M dan tidak lama kemudian, beliau bersama masyarakat setempat membangunkan sebuah masjid yang dikenali sebagai Masjid Kiai Haji Muhammad Ali Umar Sijangkang.
Namun begitu, tapak masjid lama tersebut tidak dapat bertahan lama kerana telah roboh dan dijadikan kawasan perkuburan Islam di Sijangkang. Setelah itu, masjid baru telah dibina dan diberi nama Masjid Kiai Haji Muhammad Ali yang dirasmikan oleh Sultan Selangor iaitu Sultan Hisamuddin Syah pada 1921.
Setelah itu, diwujudkan cadangan untuk membina masjid baru dan mendapat tentangan daripada keluarga Kiai Haji Muhammad Ali yang memohon agar masjid tersebut dikekalkan sebagai satu masjid warisan sejarah Selangor. Walau bagaimanapun tentangan tersebut gagal, akhirnya Masjid Kiai Haji Muhammad Ali dirobohkan termasuk tiang seri dan beberapa khazanah lain dimusnahkan seperti jam antik dan lain-lain.
Setelah masjid baru dibina, nama pengasas masjid tersebut tidak diabadikan dan ditukar kepada Masjid Al-Ihsaniyah, bukan Masjid Kiai Ali. Berkemungkinan nama Al-Ihsaniyah diambil sempena nama anak beliau Kiai Ihsan bin Kiai Haji Muhammad Ali.

Penutup

Untuk selanjutnya pada ruangan akan datang membicarakan mengenai sejarah pendirian pondok yang didirikan oleh Kiai Muhammad Ali di Sijangkang berserta kitab-kitab pengajian yang diajar. Selain itu turut disentuh mengenai hubungan beliau dengan ulama-ulama terkenal yang lain dan hubungan dengan kerabat Diraja Brunei di Selangor. Keseluruhan perkara-perkara yang dibicarakan tersebut juga adalah hasil kajian penulis, yang juga masih mempunyai hubungan kekeluargaan sebagai datuk saudara kepada penulis.