SURAU AL-FURQAN Flora 2 Apartment U5/30 40150 Shah-Alam Selangor

Selasa, 1 Jun 2010

SYEIKH ABDUL MUHYI PAMIJAHAN

Penyebar Tasawuf di Jawa Barat
Koleksi tulisan HAJI WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

SEBAGAIMANA telah diketahui bahawa pelaku utama berkembangnya Thariqat Syathariyah di Asia Tenggara pada peringkat awal dilakukan oleh Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri di Aceh dan Syeikh Abdul Mubin bin Jailan al-Fathani di Pattani.

Makam Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan
Syeikh Abdur Rauf mempunyai beberapa orang murid sebagai kadernya yang terkenal, di antara mereka ialah; Syeikh Burhanuddin Ulakan di Minangkabau, Syeikh Abdul Malik di Terengganu, dan ramai lagi, termasuklah Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan yang akan dibicarakan ini.
Ulama ini cukup terkenal dalam percakapan lisan di Jawa Barat, terutama sekali mengenai keramat-keramatnya. Bahan mentah yang berupa cerita lisan masyarakat yang bercorak mitos atau legenda atau dongeng yang berbagai-bagai versi penyampaiannya lebih banyak diperoleh, jika dibandingkan dengan berupa bahan yang bertulis. Walau bagaimanapun, ada tiga buah manuskrip, iaitu nombor kelas LOr.7465, LOr 7527 dan LOr.7705, di Muzium Negeri Belanda dikatakan bahawa adalah karya Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan.
Sewaktu penulis melanjutkan tugasan mengkatalogkan manuskrip yang tersimpan di Muzium Islam Pusat Islam (BAHAEIS), 1992, maka pada manuskrip nombor kelas MI 839 di beberapa tempat ada menyebut nama Syeikh Abdul Muhyi Karang Pamijahan, seolah-olah naskhah itu dinuqil daripada ajaran ulama sufi yang tersebut. Naskhah ditulis dalam bahasa Melayu dan disalin di Pulau Pinang. Selain itu, penulis juga mempunyai sebuah karya Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan, juga dalam bahasa Melayu, yang membicarakan Martabat Tujuh.

ASAL USUL DAN PENDIDIKAN

Syeikh Haji Abdul Muhyi adalah salah seorang keturunan bangsawan. Ayahnya bernama Sembah Lebe Warta Kusumah, adalah keturunan raja Galuh (Pajajaran). Abdul Muhyi lahir di Mataram, Lombok, Nusa Tenggara Barat, pada 1071 H/1660 M dan wafat di Pamijahan, Bantarkalong, Tasikmalaya, Jawa Barat, 1151 H/1738 M. Abdul Muhyi dibesarkan di Ampel, Surabaya, Jawa Timur. Pendidikan agama Islam pertama kali diterimanya daripada ayahnya sendiri dan kemudian daripada para ulama yang berada di Ampel. Dalam usia 19 tahun, ia berangkat ke Aceh untuk melanjutkan pendidikannya dan belajar dengan Syekh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Lebih kurang enam tahun lamanya Syeikh Abdul Muhyi belajar dengan ulama besar Aceh itu, iaitu dalam lingkungan tahun 1090 H/1679 M-1096 H/1684 M.
Tahun pembelajaran Syeikh Abdul Muhyi di Aceh kepada Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri itu, kita dapat membandingkan dengan tahun pembelajaran Syeikh Burhanuddin Ulakan yang dipercayai termasuk seperguruan dengannya.
Syeikh Burhanuddin Ulakan yang berasal dari Minangkabau itu belajar kepada Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri bermula pada 1032 H/1622 M, tetapi tahun ini tetap masih dipertikaikan kerana riwayat yang lain menyebut bahawa ulama yang berasal dari Minangkabau itu dilahirkan pada tahun 1066 H/1655 M.
Maka kita perlu membandingkan dengan tahun kelahiran Syeikh Yusuf Tajul Khalwati dari tanah Bugis-Makasar, iaitu 1036 H/1626 M, selanjutnya keluar dari negerinya menuju ke Banten 1054 H/1644 M, seterusnya ke Aceh belajar kepada Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri juga. Selain itu, dapat juga kita bandingkan dengan tahun kehidupan Syeikh Abdul Malik (Tok Pulau Manis) Terengganu, iaitu tahun 1060 H/1650 M hingga tahun 1092 H/1681 M; Semua ulama yang tersebut dikatakan adalah murid Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Banyak pula ulama bercerita bahawa semua mereka termasuk Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan adalah bersahabat.
Dengan perbandingan-perbandingan tahun tersebut, dapat kita ketahui bahawa tahun-tahun itu masih bersimpangsiur, masih sukar untuk ditahqiqkan. Yang sahih dan tahqiq hanyalah mereka adalah sebagai murid Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri di Aceh. Yang lebih menarik lagi, bahawa semua mereka, kecuali Syeikh Burhanuddin Ulakan, diriwayatkan sempat belajar ke luar negeri ke Mekah, Madinah, Baghdad dan lain-lain. Termasuk Syeikh Abdul Muhyi diriwayatkan adalah murid kepada Syeikh Ibrahim al-Kurani di Mekah dan Syeikh Ahmad al-Qusyasyi di Madinah, yang kedua-dua ulama itu adalah ulama ahli syariat dan haqiqat yang paling terkenal pada zamannya.
Setelah Syeikh Abdul Muhyi lama belajar di Mekah dan Madinah, beliau melanjutkan pelajarannya ke Baghdad. Tidak jelas berapa lama beliau tinggal di Baghdad, tetapi diriwayatkan ketika beliau berada di Baghdad hampir setiap hari beliau menziarahi makam Syeikh Abdul Qadir al-Jilani yang sangat dikaguminya.
Dalam percakapan masyarakat, Syeikh Abdul Muhyi adalah termasuk keturunan/zuriat Syeikh Abdul Qadir al-Jilani, Wali Allah, Quthbul Ghauts, yang sangat terkenal itu. Riwayat yang lain diceritakan bahawa Syeikh Abdul Muhyi ke Baghdad dan Mekah adalah mengikuti rombongan gurunya, Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Dari Baghdad beliau kembali lagi ke Mekah dan selanjutnya kembali ke Jawa dan berkahwin di Ampel.

AKTIVITI

Setelah selesai perkahwinan di Ampel, Syeikh Abdul Muhyi bersama isteri dan orang tuanya berpindah ke Darma, dalam daerah Kuningan, Jawa Barat. Selama lebih kurang tujuh tahun (1678 M-1685 M) menetap di daerah itu mendidik masyarakat dengan ajaran agama Islam. Kemudian berpindah pula ke daerah Pameungpeuk, Garut, Jawa Barat. Di daerah itu, beliau hanya menetap lebih kurang setahun saja (1685-1686), walau bagaimanapun beliau berhasil menyebarkan agama Islam kepada penduduk yang ketika itu masih menganut agama Hindu.
Pada 1686 ayahnya meninggal dunia dan dimakamkan di kampung Dukuh, di tepi Kali Cikangan. Beberapa hari selepas pemakaman ayahnya, Syeikh Abdul Muhyi berpindah ke daerah Batuwangi. Beliau berpindah pula ke tempat yang berhampiran dengan Batuwangi iaitu ke Lebaksiuh. Selama lebih kurang empat tahun di Lebaksiuh (1686 M-1690 M), Syeikh Abdul Muhyi berhasil mengislamkan penduduk yang masih beragama Hindu ketika itu.
Menurut cerita, keberhasilannya dalam melakukan dakwah Islam terutama kerana Syeikh Abdul Muhyi adalah seorang Wali Allah yang mempunyai karamah, yang dapat mengalahkan bajingan-bajingan pengamal “ilmu hitam” atau “ilmu sihir”. Di sanalah Syeikh Abdul Muhyi mendirikan masjid, tempat ia memberikan pengajian untuk mendidik para kader yang dapat membantunya menyebarkan agama Islam lebih jauh ke bahagian selatan Jawa Barat.
Kemudian Syeikh Abdul Muhyi berpindah ke satu desa, iaitu Gua Safar Wadi di Karang Pamijahan, Tasikmalaya, Jawa Barat. Perpindahannya ke Karang Pamijahan itu, menurut riwayat bahawa beliau diperintahkan oleh para Wali Allah dan perjumpaan secara rohaniah kepada Syeikh Abdul Qadir al-Jilani, supaya beliau mencari suatu gua untuk tempat berkhalwat atau bersuluk di Jawa Barat. Cerita mengenai ini banyak dibungai dengan berbagai-bagai dongeng yang merupakan kepercayaan masyarakat terutama golongan sufi yang awam.
Bagi mengimbangi cerita yang bercorak mitos itu, ada riwayat yang bercorak sejarah, bahawa Syeikh Abdul Muhyi diundang oleh Bupati Sukapura, Wiradadaha IV, R. Subamanggala untuk memerangi dan membasmi ajaran-ajaran sihir yang sesat Batara Karang di Karang Pamijahan dan di gua Safar Wadi itu. Di kedua-dua tempat tersebut adalah tempat orang-orang melakukan pertapaan kerana mengamalkan ilmu-ilmu sihirnya.
Oleh sebab Syeikh Abdul Muhyi memang hebat, beliau pula dianggap sebagai seorang Wali Allah, maka ajaran-ajaran sihir yang sesat itu dalam waktu yang singkat sekali dapat dihapuskannya. Penjahat-penjahat yang senantiasa mengamalkan ilmu sihir untuk kepentingan rompakan, penggarongan dan kejahatan-kejahatan lainnya berubah menjadi manusia yang bertaubat pada Allah, setelah diberikan bimbingan ajaran Islam yang suci oleh Syeikh Abdul Muhyi, Wali Allah yang tersebut itu.
Gua Safar Wadi pula bertukar menjadi tempat orang melakukan ibadat terutama mengamalkan zikir, tasbih, tahmid, selawat, tilawah al-Quran dan lain-lain sejenisnya. Maka terkenallah tempat itu sebagai tempat orang melakukan khalwat atau suluk yang diasaskan oleh ulama yang terkenal itu.
Disingkatkan saja kisahnya, bahawa kita patut mengakui dan menghargai jasa Syeikh Abdul Muhyi yang telah berhasil menyebarkan Islam di seluruh Jawa Barat itu. Bukti bahawa beliau sangat besar pengaruhnya, sebagai contoh Bupati Wiradadaha IV, iaitu Raden Subamanggala pernah berwasiat bahawa jika beliau meninggal dunia supaya beliau dikuburkan di sisi gurunya Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan itu. Tempat tersebut sekarang lebih dikenali dengan nama Dalem Pamijahan.
Murid-murid yang tertentu, Syeikh Abdul Muhyi mentawajjuhkannya menurut metod atau kaedah Thariqat Syathariyah yang salasilahnya diterima daripada Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Walaupun tarekat yang sama diterimanya juga kepada Syeikh Ahmad al-Qusyasyi, iaitu guru juga kepada Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri, namun Syeikh Abdul Muhyi memulakan salasilahnya tetap menyebut Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Hal demikian kerana tarekat yang tersebut memang terlebih dulu diterimanya daripada Syeikh Abdur Rauf bin Ali al Fansuri.
Setelah beliau ke Mekah, diterimanya tawajjuh lagi daripada Syeikh Ahmad al-Qusyasyi itu. Maka berkembanglah Thariqat Syathariyah yang berasal daripada penyebaran Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri itu di tempat-tempat yang tersebut, melalui bai’ah, tawajjuh, dan tarbiyah ruhaniyah yang dilakukan oleh Syeikh Abdul Muhyi muridnya itu.

KETURUNAN

Menurut riwayat, Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan mempunyai empat isteri. Hasil erkahwinannya itu, beliau memperoleh seramai 18 anak. Menerusi Raden Ayu Bakta, memperoleh anak bernama Kiyai Haji Muhyiddin atau digelar Dalem Bojong. Namun menurut Aliefya M. Santrie, dalam buku Warisan Intelektual Islam Indonesia, setelah beliau pulang dari Pamijahan beliau menemukan satu artikel dalam majalah Poesaka Soenda yang menunjukkan bahawa tidak identiknya Kiyai Haji Muhyiddin dengan Dalem Bojong.
Kedua-duanya memang anak Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan, tetapi Kiyai Haji Muhyiddin personaliti tersendiri dan Dalem Bojong personaliti yang lain pula. Menurutnya makam Kiyai Haji Muhyiddin dalam majalah itu disebut namanya yang lain, iaitu Bagus Muhyiddin Ajidin, terletak di sebelah selatan makam Syeikh Abdul Muhyi, sedang makam Dalem Bojong terletak di sebelah timur.
Barangkali keturunan Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan itu sangat ramai yang menjadi ulama di daerah Jawa Barat, sewaktu penulis berulang-alik di Pondok Gentur, Cianjur (1986 M-1987 M) difahamkan bahawa Kiyai Haji Aang Nuh di pondok pesantren adalah termasuk keturunan Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan. Penulis sendiri menerima beberapa amalan wirid dari kiyai itu dan ternyata memang terdapat hadiah al-Fatihah untuk Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan dan beberapa ulama lainnya untuk memulakan amalan.
Dari Kiyai Haji Aang Nuh juga, penulis mendengar cerita-cerita yang menarik mengenai Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan. Sampai sekarang Pondok pesantren Gentur dikunjungi mereka yang mempunyai permasalahan yang sukar diselesaikan dari seluruh Indonesia, tempat itu sentiasa ramai kerana doa kiyai itu dianggap mustajab.
Di Pondok-pesantren Gentur itu tidak mengajar disiplin ilmu sebagai pondok-pesantren lainnya, di situ hanya mengajar amalan-amalan wirid terutama selawat atas Nabi Muhammad. Penulis sempat mewawancara pengunjungnya, menurut mereka wirid atau amalan yang diterima dari kiyai itu terbukti mustajab.

PENYELIDIKAN ILMIYAH

Oleh sebab kepopularan ulama yang dianggap Wali Allah ini, beberapa sejarawan, budayawan dan lain-lain telah berusaha menyelidiki biografi ulama yang berasal dari Pulau Lombok itu. Di antara mereka umpamanya seorang Belanda, Snouck Hurgranje, pernah mengembara di Jawa Barat dan di Sukabumi menemukan beberapa naskhah karya yang dibangsakannya kepada karya Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan.
R. Abdullah Apap ibn R. Haji Miftah menyusun sebuah buku berjudul, Sejarah Pamijahan: Kisah Perjuangan Syeik Haji Abdulmuhyi Mengembangkan Agama Islam di Sekitar Jabar. Aliefya M. Santrie menulis artikel Martabat (Alam) Tujuh Suatu Naskah Mistik Islam Dari Desa Karang, Pamijahan. Dan ramai lagi tokoh yang membuat kajian mengenai ulama yang dibicarakan ini.
Khas mengenai artikel Aliefya M. Santrie yang lebih menjurus kepada pengenalan ajaran Martabat Tujuh versi Kiyai Haji Muhyiddin yang ditulis dengan huruf pegon. Setelah penulis teliti dan membanding dengan naskhah yang ada pada penulis yang ditulis dalam bahasa Melayu/Jawi, yang juga tercatat sebagai karya Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan, memang banyak persamaan.
Demikian juga dengan manuskrip koleksi Muzium Islam Pusat Islam Malaysia nombor kelas MI 839, membicarakan Martabat Tujuh yang merupakan nukilan karya Syeikh Abdul Muhyi itu. Sungguhpun demikian perlu kita ketahui bahawa ajaran Martabat Tujuh sebenarnya bukanlah ciptaan Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan tetapi yang pertama membicarakan ajaran itu ialah dalam kitab bahasa Arab berjudul Tuhfatul Mursalah karya Syeikh Muhammad bin Fadhlullah al-Burhanpuri. Kitab tersebut disyarah oleh Syeikh Abdul Ghani an-Nablusi.
Martabat Tujuh dalam bahasa Melayu selain yang dibicarakan oleh Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan juga banyak, dimulai oleh ulama-ulama tasawuf di Aceh, diikuti oleh Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari dengan Ad-Durrun Nafisnya, Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani juga membicarakannya dalam Siyarus Salikin, Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam Manhalus Shafi dan ramai lagi.
Oleh itu, perkembangan ilmu tersebut di dunia Melayu tumbuh subur, tak ubahnya seperti perkembangan ilmu tauhid metode sifat 20 dan fiqh menurut Mazhab Syafie pada zaman itu. Sebagai menutup artikel ini, perlu juga penulis sebutkan sungguhpun Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan terkenal di seluruh Jawa Barat tetapi riwayat hidupnya hampir-hampir tak dikenal di dunia Melayu lainnya. Oleh itu, artikel ini adalah satu usaha memperkenalkannya yang disejajarkan dengan ulama-ulama terkenal yang lain, yang hidup sezaman dengannya, iaitu Syeikh Abdul Malik Terengganu Syeikh Burhanuddin Ulakan, Syeikh Yusuf Khalwati, Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani dan ramai lagi.

Sabtu, 1 Mei 2010

SYEIKH ABDUR RASYID AL-FATHANI


Tok Keramat Pulau Bidan
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah
Penulis mula mengenali tokoh yang digelar sebagai Tok Keramat Pulau Bidan ini setelah membaca buku Kanzul Mu’id karya Tuan Mufti Haji Ahmad bin Syeikh Muhammad Sa’id pada 1971.
Menurut salasilah yang dibuat oleh Haji Nik Ishak Tingkat, Kelantan pada 1976 ada mencatatkan nama Syeikh Abdur Rahman sebagai saudara kandung Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang suka mengembara sehingga tidak diketahui di mana letaknya kubur beliau.
Oleh kerana itu dalam buku karangan penulis berjudul Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Ulama dan Pengarang Terulung Asia Tenggara (Hizbi, 1990, hlm :14), penulis menyatakan “Berkemungkinan Syeikh Abdur Rasyid al-Fathani adik Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani inilah yang disebut Tok Keramat Pulau Bidan.” Perkataan “Berkemungkinan” di awal kalimat adalah menunjukkan sesuatu yang belum pasti dalam pengkajian penulis.
Namun akhirnya penulis menemui kesahihan setelah menziarahi beberapa pusat pengajian pondok di Patani pada Mei 1991. Pusat pengajian pondok yang mempunyai kaitan dengan tokoh ulama kali ini terletak di kampung bernama Cenak, Wilayah Songkla, Thailand. Di pondok pengajian tersebut juga tempat pertama Syeikh Zainal Abidin al-Fathani/Tuan Minal bin Muhammad al-Fathani belajar pelbagai ilmu keislaman sehingga beliau menjadi seorang ulama besar yang amat terkenal di Asia Tenggara.
Hasil perbualan dengan salah seorang keturunan pengasas pondok pengajian tersebut, barulah penulis mengetahui bahawa pondok yang penulis kunjungi itu adalah diasaskan oleh Syeikh Abdur Rasyid Pulau Bidan.
Maka terjawablah keraguan mengenai data lengkap biografinya yang penulis cari sejak tahun 1971 itu.

Pengenalan Sahsiah Syeikh Abdur Rasyid

Riwayat hidup mengenai ulama di Cenak ini adalah berdasarkan cerita lisan daripada beberapa keturunan beliau yang penulis temu bual. Ayah beliau bernama Cik Din berasal dari Kampung Temperak, Cenak dalam Wilayah Senggora (Songkhla).
Ditakdirkan Allah pada suatu hari Abdur Rasyid hilang di tempat ia bermain-main. Sehingga ahli keluarga menyangka beliau telah dimakan oleh harimau. Oleh itu setelah berpuluh-puluh tahun lamanya, ahli keluarga menyangka beliau telah pasti meninggal dunia.
Setelah sekian lama, pada suatu hari ketika ibunya yang tua menjemur padi, tiba-tiba dikejutkan oleh seorang pemuda yang datang mengusiknya. Lalu dimarahi oleh ibunya kerana beliau tidak kenal bahawa pemuda itu adalah anaknya yang telah hilang sekian lama.
Setelah dikerumuni orang yang datang, barulah pemuda itu mengaku bahawa beliau adalah Abdur Rasyid anak kepada perempuan tua yang diusiknya itu.
Beliau menceritakan riwayatnya yang hilang sewaktu umurnya belum sampai enam tahun. Beliau menceritakan bahawa pada mulanya beliau pergi belajar pondok di Patani dan seterusnya menyambung pondok di Kedah dan diteruskan di Pulau Pinang.
Pengembaraan dari Patani ke Kedah hanya dengan berjalan kaki, manakala ke Pulau Pinang pula dengan menumpang sampan kecil tanpa membawa wang walau sedikit. Hanya sehelai sepinggang yang ada pada dirinya.
Setelah ilmu yang dipelajari di Patani, Kedah dan Pulau Pinang sudah memadai, beliau meneruskan mencari ilmu ke Mekah dan seterusnya mengembara ke Baitul Maqdis. Beliau sempat mendalami pengetahuannya di Mekah tetapi tidak diceritakan bahawa beliau mengajar di Mekah, tetapi diceritakan beliau mengajar di Masjid Baitul Maqdis dan di kediamannya.
Bertahun-tahun beliau mengajar, tidak pernah terlintas untuk pulang ke kampung halamannya. Sehingga pada suatu malam ketika beliau mengajar, dilihatnya seekor kucing mengiau-ngiau. Tidak lama kemudian beliau melihat kucing itu menggonggong anaknya. Lalu beliau menutup kitab yang sedang diajar dan termenung di hadapan murid-muridnya yang juga menjadi hairan dengan kelakuan beliau.
Lalu beliau berkata, “Sedangkan kucing atau pun binatang lainnya teringat dengan anaknya. Aku sendiri sebagai seorang manusia mulai saat ini baru terkenang dengan sanak saudaraku yang menjadi tanggungjawabku. Aku mesti kembali ke tempat asalku.”
Dipendekkan kisahnya, beliau kembali ke Cenak dengan membawa banyak kitab dengan gambaran diangkut oleh tiga ekor gajah. Bahkan terdapat kitab-kitab yang dibawanya masih tersimpan di pondok tersebut.
Tulisan mutawal tentang beliau yang ditulis oleh Haji Ahmad bin Syeikh Muhammad Said dalam Kanzul Mu’id, menurut beliau, “Al ‘Allamah al-Kabir al-Fahamah Shahib….asy-Syeikh Abdur Rasyid al-Fathani yang dikubur akan dia di Pulau Bidan. Dan kuburnya di sana dikenal akan dia lagi masyhur menziarah kepadanya oleh manusia….”
Mengenai kekeramatan beliau, menurut Mufti Haji Ahmad dalam kitabnya, “Baginya beberapa karamah, yang adalah yang terlebih besar daripadanya bahawa menghimpunkan ia sekalian kitabnya pada setengah daripada peperangan yang terjadi di dalam negerinya.
Dan meletak ia akan dia pada tepi sungai pada suatu tempat yang tiadalah di antaranya dan antara langit dinding. Dan pergilah ia kepada satu negeri…. Kemudian kembali ia kepada negerinya, maka mendapat ia akan sekalian kitabnya seperti barang yang ada ia, tiada berubah dan binasa ia….”
Masih banyak karamah yang diceritakan dalam kitab tersebut yang tidak dapat penulis senaraikan kesemuanya.
Oleh kerana riwayatnya telah jelas dinyatakan dalam kitab Kanzul Mu’id tersebut, maka Syeikh Abdur Rasyid Tok Keramat Pulau Bidan bukan saudara kandung Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang suka mengembara sehingga sampai kini belum ditemui riwayatnya.
Dari catatan Tok Kelaba al-Fathani dapat diketahui beberapa orang sahabat Syeikh Abdur Rasyid iaitu, Haji Abdus Shamad Kelaba, Imam Abdul Manaf, Haji Abdul Majid Setang, Haji Abdul Majid Langgar Jambu, Tuan Pulau Canang Kelantan dan Tuan Abdur Rasyid Cenak (Pulau Bidan).
Mengenai pemikiran beliau pula, terdapat satu catatan Tuan Guru Haji Mahmud bin Muhammad Yusuf Terengganu, iaitu murid Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas, catatan itu berupa taqrir beliau mengenai pembahagian pusaka menurut Islam dan manuskripnya masih dalam simpanan penulis. Sebuah lagi karya yang diketahui ialah mengenai fikah yang diselesaikan di Kelantan tahun 1263H/1846M yang disimpan naskhahnya di Muzium Budaya Melaka.

Keturunan Yang Menjadi Ulama dan Tokoh Masyarakat

Sebagaimana yang dinyatakan bahawa sekembalinya Syeikh Abdur Rasyid dari Baitul Maqdis, beliau bersama besannya Haji Abdul Jalil dan Haji Muhammad Shalih membuka sistem pengajian pondok di Cenak. Sehingga sekian lama pondok pengajian yang diasaskan beliau masih diteruskan oleh keturunan beliau.
Setelah berkahwin dengan Fathimah, Syeikh Abdur Rasyid memperoleh empat orang anak. Ketiga-tiga menantu beliau merupakan murid-murid beliau yang menjadi ulama. Oleh itu, setelah beliau meninggal dunia, pondok pengajian tersebut diganti oleh menantunya yang bernama Haji Hasan bin Haji Abdul Jalil, iaitu suami anak perempuan beliau iaitu Hajah Aisyah. Apabila Haji Hasan meninggal dunia, diganti pula oleh Abdullah yang berasal dari Bangkok. Sesudahnya diganti oleh Haji Awang dan seterusnya diganti oleh Haji Abdul Syukur bin Syeikh Abdur Rasyid.
Sewaktu penulis menemu bual keturunan Syeikh Abdur Rasyid, beliau hanya mempunyai empat anak perempuan seperti yang dinyatakan. Penulis turut menemui nama Haji Abduys Syukur dalam beberapa kitab bahawa beliau adalah anak Syeikh Abdur Rasyid.
Perkahwinan anak perempuan Syeikh Abdur Rasyid yang bernama Cik Wi dengan Haji Muhammad Shalih telah memperoleh anak yang bernama Haji Muhammad Nur. Beliau adalah seorang ulama yang sangat besar pengaruhnya di seluruh Wilayah Senggora (Songkhla) pada zamannya.
Beliau meninggalkan beberapa buah karya yang berupa risalah-risalah di antaranya Risalah Usuluddin yang diselesaikan pada 15 Rejab 1373 H (1953 M).
Risalah kecil tersebut dicetak pada cetakan kedua tahun 1381 H (1961 M). Di akhir karyanya itu, beliau memberi nasihat dengan sepuluh perkara, iaitu:
  1. Jangan tuan-tuan cerca kepada seorang yang tuan lihat ada pada tuan sendiri.
  2. Jangan tuan sesal akan suatu kebajikan yang tuan telah perbuat tetapi hendaklah tuan sesal atas kejahatan yang telah tuan kerjakan.
  3. Jangan tuan marah jikalau dikata orang, “tuan bodoh”, apabila tuan membuatkan seperti perbuatan orang yang bodoh.
  4. Jangan tuan nanti bantuan orang lain melainkan terlebih dahulu tuan bantu diri tuan sendiri.
  5. Jangan tuan bersahabat dengan seseorang sebelum tuan tahu bagaimana ia berlaku dengan sahabat-sahabatnya yang dahulu.
  6. Jangan segera tuan kata susah sesuatu pekerjaan sebelum tuan cuba lagi.
  7. Jangan tuan takut akan perkataan tuan yang sebenar tetapi hendaklah tuan takut akan perkataan tuan yang salah.
  8. Jangan tuan jaga diri orang lain sebelum tuan tahu bagaimana hendak menjaga diri tuan sendiri.
  9. Jangan tuan rosakkan sesuatu benda itu apabila tiada boleh membaikinya.
  10. Jangan tuan mengumpat-ngumpat atau mencacat-cacat suatu pakatan terlebih dahulu tuan mengesahkan terlebih banyaklah faedah daripada mudarat.
Nasihat atau wasiat Haji Muhammad Nur iaitu cucu Syeikh Abdur Rasyid telah disalin oleh anak beliau iaitu Tuan guru Haji Husein bin Haji Muhammad Nur, yang dimuat dalam risalah kecilnya yang berjudul Hidangan Hikmah.
Risalah tersebut dicetak dengan huruf Melayu/Jawi dan di bahagian bawahnya juga digantungkan dengan huruf Thai. Haji Husein bin Haji Muhammad Nur pula adalah seorang tokoh ulama Senggora.
Selain itu, cucu Syeikh Abdur Rasyid ini juga meninggalkan ramai anak murid yang menjadi ulama. Antaranya Tuan Guru Muhammad Encik muda, penyusun Risalah Maju’is Shaghir.
Mufti Haji Ahmad menulis tentang Hajah Wan Shafiyah iaitu salah seorang anak perempuan Syeikh Abdur Rasyid. Menurutnya, dalam kitab Kanzul Mu’id ,”…al-Hajah Shafiyah daripada anak negeri Patani dan ia seorang perempuan yang terlebih elok bacaan pada al-Quran. Lagi mengajar baginya dibilang akan dia daripada yang lebih-lebih perempuan-perempuan masanya….”
Sebagaimana yang diketahui, Hajah Shafiyah berkahwin dengan ulama bernama Syeikh Jamaluddin Linggi dan memperoleh anak yang iaitu Syeikh Muhammad Said, iaitu seorang ulama besar yang diakui masyarakat pada zamannya. Beliau pula memperoleh beberapa orang anak dan cucu yang menjadi ulama. Antara anak-anak Syeikh Muhammad Said yang menjadi ulama ialah Haji Abdullah, Haji Ahmad Mufti Negeri Sembilan dan Tuan Guru Haji Mansur iaitu salah seorang saudaranya yang sempat penulis kenali pada tahun 1977 dan meninggal dunia tahun 1981.
Tuan Guru Haji Mansur sangat mengagumi Syeikh Ahmad al-Fathani, sehingga matan Ar-Risalatul Fathaniyah/Nahu, Abniyatul Asma’ wal Af’al/Sharaf dan Syair Syeikh Ahmad al-Fathani di akhir kitab I’anatut Thalibin dibaca olehnya di hadapan penulis secara menghafal. Penulis juga sempat menemu bual saudaranya Haji Muhammad Nur dalam tahun yang sama iaitu pada 1971. Pada 1988, penulis menemu bual seorang lagi saudaranya iaitu Haji Abdul Hamid dan daripada beliau penulis memperoleh sepotong Syair Syeikh Ahmad al-Fathani dalam bahasa Arab yang terkumpul dalam sebuah buku Syeikh Muhammad Said tersebut.
Dalam tahun 1411 H/1991 M, Pondok Cenak peninggalan Syeikh Abdur Rasyid Pulau Bidan masih diteruskan. Ia dipimpin oleh Tuan Guru Haji Ismail bin Haji Abduys Syukur dan sekali gus menggantikan saudara kandungnya iaitu Haji Abdullah. Beliau diberi nama Ismail kerana mengambil berkat kealiman Syeikh Ismail (Pak De El, Mekah) dan Haji Abduys Syukur juga adalah sezaman dengan ulama tersebut iaitu, Syeikh Ismail bin Abdul Qadir al-Fathani.
Tuan Guru Haji Ismail adalah kelulusan sarjana muda sastera Universiti Madinah yang pertama bersama sahabat beliau iaitu, Haji Yahya al-Lathifi yang merupakan ulama Thailand yang terkenal. Haji Yahya juga adalah sepupu Pak De El dan Syeikh Ahmad al-Fathani. Tuan Guru Haji Ismail meneruskan pengajian pondok tersebut dengan dibantu oleh anak-anaknya.

Kesimpulan

Menurut penelitian penulis, sejarah hidup mengenai tokoh yang dikatakan Tok Keramat Pulau Bidan ini cukup jelas. Selain sebagai seorang ulama besar, beliau juga menurunkan ulama-ulama besar yang terkenal selepasnya.
Bahkan institusi pengajian pondok yang dibinanya dapat diteruskan hasil kesinambungan daripada keturunan beliau. Oleh itu, penyelidikan sejarah mengenai beliau dan keturunannya perlu dijalankan dengan teliti kerana jasa yang amat besar kepada masyarakat.

Khamis, 1 April 2010

HAJI WAN SULAIMAN BIN WAN SIDEK

 
Haji Wan Sulaiman bin Wan Sidek dilahirkan pada tahun 1874 di sebuah desa pedalaman iaitu Kampung Pulau Tengah dalam Mukim Padang Kerbau, Daerah Kota Star.
Setelah bapanya meninggal dunia, ibunya, Wan Tam berusaha memberikan pendidikan asas yang secukupnya kepada anaknya seperti membaca surat-surat jawi dan Muqaddam. Ketika usianya 9 tahun, Haji Wan Sulaiman belajar Bahasa Melayu di sebuah sekolah kepunyaan Haji Din sehingga lulus darjah tiga.
Apabila berusia 12 tahun, Haji Wan Sulaiman dihantar pula belajar membaca al-Quran dan Pengetahuan Agama Islam kepada Tuan Guru Haji Ismail berasal dari Kelantan. Selepas itu, Haji Wan Sulaiman dihantar belajar Bahasa Inggeris dengan Doktor Gomez (peranakan Ceylon) yang membuka klinik perubatannya di Pekan Melayu. Tetapi disebabkan kenakalannya, beliau sering dimarahi dan dipukul oleh gurunya. Hal itu menyebabkan Haji Wan Sulaiman enggan meneruskan pengajiannya kerana menganggap gurunya itu berbangsa kafir. Sejak itulah beliau berazam untuk melanjutkan pelajaran ke Mekah.
Haji Wan Sulaiman bertolak ke Mekah dengan dibiayai oleh ibu dan saudara-saudaranya pada tahun 1887. Selama 17 tahun berada di Mekah, Haji Wan Sulaiman berjaya menguasai pelbagai bidang ilmu agama Islam termasuklah bahasa Arab, Nahu, Saraf, Hadis, pembacaan dan pengkajian al-Quran dan ilmu Falakiah. Dalam masa tiga tahun terakhir, beliau memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap Ilmu Tarekat Naksyabandiyah Mujaddiyah Ahmadiyah. Dari gurunya iaitu Tuan Sheikh Fakir Muhammad Al-Bukhari, Haji Wan Sulaiman ditauliahkan Khalifah Tarekat yang ke-34. Sewaktu masih berada di Mekah, Haji Wan Sulaiman mengahwini Wan Kalsom (Wan Tom) binti Wan Abdul Hamid, anak bekas Kadi Daerah Yan, Kedah dan dikurniakan 11 orang cahayamata.
Pada tahun 1904, Sultan Abdul Hamid Halim Shah telah menubuhkan Majmuk Ulama untuk membantu baginda mengatasi sebarang masalah yang timbul berkaitan dengan agama Islam. Majmuk ini mengandungi 12 orang ulama dengan dipengerusikan olen Haji Wan Sulaiman sementara Haji Abdullah Fahim (Pak Him) selaku setiausahanya. Ulama-ulama lain yang menganggotainya termasuklah Sheikh Muhammad Khayat, Sheikh Jarum Derga (Haji Wan ldris Wan Jamal), Haji Ahmad Awang, Haji ldris Ayer Hitam, Haji Muhammad Saman (Keramat Serban Hijau), Haji lbrahim Paya Sena, Haji Muhammad Arif Sungai Nonang dan Haji Hussain Nasir Al-Banjari (Tuan Hussain Kedah). Majmuk ini berkumpul setiap malam Jumaat di Masjid Zahir untuk bermuzakarah hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam.
Pada awal tahun 1906, Kerajaan Kedah melantiknya bertugas sebagai Kadi yang kemudiannya menjawat jawatan Kadi Besar dalam tahun 1910. Bidang kerjayanya semakin bersinar apabila beliau dilantik selaku Syeikhul Islam Kedah menggantikan Sheikh Muhammad Khayat pada tahun 1920.
Di samping tugas rasminya sebagai Ketua Pentadbir Undang-undang dan agama Islam, beliau banyak mencurahkan segala ilmu pengetahuan yang dipelajarinya di Mekah selama 20 tahun kepada orang ramai di seluruh negeri. Selain daripada orang awam, para pelajarnya termasuklah guru agama, imam dan Pegawai-pegawai Kerajaan. Beliau bukan sahaja menyampaikan kuliah agama di Masjid Negeri, tetapi juga di madrasah tempat kediamannya di Limbong Kapal, Alor Star secara bergilir-gilir pada waktu malam. Beliau juga sering menyampaikan ceramah agama di beberapa buah masjid di daerah lain seperti Bandar Baharu, Kulim dan Yan. Beliau berulang-alik ke tempat tersebut pada mulanya dengan kereta kuda dan kemudiannya dengan motokar Austin bernombor K 51.
Haji Wan Sulaiman amat menentang keras segala ajaran sesat yang menyeleweng dari segi iktikad dan ajaran agama Islam seperti amalan khurafat dan bida’ah yang masih berkembang subur pada masa itu. Amalan-amalan tersebut termasuklah memohon atau bernazar sesuatu pada kuburan yang dianggap keramat, menjamu hantu jembalang dan berubat secara menurun (melupakan diri). Satu-satunya amalan khurafat yang pernah dihapuskan oleh Haji Wan Sulaiman di Bandar Alor Star ialah amalan berkenduri nasi kunyit dan “mandi susu’ di tangga atau perkarangan Balai Nobat kerana menunaikan sesuatu niat atau nazar. Beliau juga tidak bersetuju masyarakat Melayu mengadakan kenduri bubur asyura sewaktu menyambut “Hari Asyura” pada 10 Muharram setiap tahun tanpa mengadakan pengkisahan sejarah atau peristiwa mengenainya. Beliau juga menolak “Adat Persandingan” dalam upacara perkahwinan masyarakat Melayu yang menurutnya mencemar kesucian agama Islam kerana bercanggah dengan ajaran agama Islam sebenar.
Dalam bidang pendidikan, beliau berusaha memperbaiki kaedah pengajaran al-Quran yang ketika itu, diasingkan daripada matapelajaran lain di sekolah Melayu. Kaedah baru yang disusun oleh beliau telah diterima oleh pihak kerajaan Kedah dan ini membolehkan kanak-kanak menamatkan pengajian al-Quran dalam masa yang singkat. Beliau juga menubuhkan sebuah sekolah agama moden pada tahun 1916 yang diberi nama “Madrasah Al-Hamidiah” mengambil sempena nama Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Sebagai sebuah sekolah agama Islam moden yang pertama di Kedah dan terawal di Semenanjung, sudah pasti ianya mengikut sistem pendidikan moden dari segala aspek seperti jadual waktu, buku teks, loceng, sukatan pelajaran, peperiksaan untuk naik darjah, guru-guru yang berpengkhususan dan pemberian sijil kepada pelajar yang lulus atau berjaya menamatkan pengajian sehingga darjah lima.
Madrasah Al-Hamidiah yang lebih dikenali sebagai Madrasah Pak Wan Sulaiman atau Sekolah Arab Limbong Kapal itu telah berjaya melahirkan ramai pelajar yang berkelulusan dalam pelbagai bidang seperti menjadi pentadbir, kadi, guru dan pemimpin masyarakat. Antara tokoh-tokoh terkenal termasuklah Dato’ Sheikh Abdul Majid bin Mohd. Noor iaitu bekas Pengetua Maktab Mahmud dan Yang Dipertua Majlis Hal Ehwal Islam Kedah; Allahyarham Sheikh Saad bin Said, Pengasas Sekolah Attarbiatul-lslamiah dan bekas Kadi Besar Kedah dan Allahyarham Sheikh Salleh bin Shamsuddin, Guru Maktab Mahmud. Haji Wan Sulaiman bersama dengan Tunku Mahmud kemudiannya merancang untuk menubuhkan sebuah sekolah menengah agama yang lebih tinggi pengajiannya. “Al-Ma’hadil Mahmud” atau Maktab Mahmud yang terletak di Simpang Kuala, Alor Star telah dibina pada 16 Jun 1936 iaitu setelah setahun kematian Haji Wan Sulaiman. Maktab ini mengambil sempena nama Tunku Mahmud.
Dalam bidang karang mengarang, Haji Wan Sulaiman sering digandingkan dengan Tuan Hussain Kedah. Kedua mereka banyak menghasilkan karya-karya agama dalam bentuk kitab dan risalah. Sebagai pengarang yang gigih Haji Wan Sulaiman telah menghasilkan sebanyak 20 buah karya yang mencakupi pelbagai bidang. Beliau juga menghasilkan karya-karya bercorak pendidikan dalam bentuk puisi iaitu syair atau nazam. Hampir semua judul karyanya yang lain itu terdapat dalam bahasa Arab. Haji Wan Sulaiman banyak menyentuh tentang pentingnya mempelajari ilmu Tarekat Naksyabandiyah yang mempunyai kelebihan-kelebihan tertentu dalam karyanya.
Perkara ini banyak dibicarakan olehnya dalam beberapa karyanya seperti Putuhatul-Kadihiyat, Nihayatul-Matlub, Haudhul-Maurud, Nursataak, Fakihatun-Janiah dan Mizanul-uklali wal-Udaba. Salah sebuah karyanya yang berbentuk syair atau nazam berjudul “Nazam Qasidah Lagu lbyari” telah dihasilkan olehnya di atas keretapi dalam tahun 1926 ketika turut mengiringi Tunku Mahmud ke Bangkok. Isi puisi tersebut mengandungi huraian tentang “Aqaidul-Iman’ di mana amat sesuai diajar kepada kanak-kanak terutamanya di peringkat asuhan atau pra sekolah melalui lagu atau nasyid.
Sebagai seorang yang berkebolehan dalam ilmu Falakiah, beliau berjaya meramal akan berlakunya kejadian gerhana matahari dalam tahun 1928 dan dapat menerangkan kejadian gerhana itu secara saintifik melalui sebuah risalahnya berjudul “Risalah Nasihat Fasal Gerhana”. Sehubungan dengan ini, Haji Wan Sulaiman pemah mengeluarkan siaran pekeliling untuk membantu para petani dalam hal mengerjakan sawah di mana mengandungi jadual musim-musim piama bendang di negeri Kedah.
Haji Wan Sulaiman meninggal secara mengejut di rumahnya di Limbong Kapal pada 28 Muharam 1354 bersamaan 2 Mei 1935 iaitu dalam usia 61 tahun. Bagi mengenangkan sumbangan Haji Wan Sulaiman yang amat bernilai itu, Kerajaan Kedah telah memberikan sanjungan dan penghormatan yang tinggi kepadanya dengan mengizinkan jenazahnya dikebumikan di Makam Diraja. Selain itu, Sekolah Kebangsaan Kanchut di bandar Alor Star telah diabadikan dengan nama beliau iaitu Sekolah Kebangsaan Wan Sulaiman Sidek yang didirikan pada 1 Mac 1985.