SURAU AL-FURQAN Flora 2 Apartment U5/30 40150 Shah-Alam Selangor

Sabtu, 1 Mei 2010

SYEIKH ABDUR RASYID AL-FATHANI


Tok Keramat Pulau Bidan
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah
Penulis mula mengenali tokoh yang digelar sebagai Tok Keramat Pulau Bidan ini setelah membaca buku Kanzul Mu’id karya Tuan Mufti Haji Ahmad bin Syeikh Muhammad Sa’id pada 1971.
Menurut salasilah yang dibuat oleh Haji Nik Ishak Tingkat, Kelantan pada 1976 ada mencatatkan nama Syeikh Abdur Rahman sebagai saudara kandung Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang suka mengembara sehingga tidak diketahui di mana letaknya kubur beliau.
Oleh kerana itu dalam buku karangan penulis berjudul Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Ulama dan Pengarang Terulung Asia Tenggara (Hizbi, 1990, hlm :14), penulis menyatakan “Berkemungkinan Syeikh Abdur Rasyid al-Fathani adik Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani inilah yang disebut Tok Keramat Pulau Bidan.” Perkataan “Berkemungkinan” di awal kalimat adalah menunjukkan sesuatu yang belum pasti dalam pengkajian penulis.
Namun akhirnya penulis menemui kesahihan setelah menziarahi beberapa pusat pengajian pondok di Patani pada Mei 1991. Pusat pengajian pondok yang mempunyai kaitan dengan tokoh ulama kali ini terletak di kampung bernama Cenak, Wilayah Songkla, Thailand. Di pondok pengajian tersebut juga tempat pertama Syeikh Zainal Abidin al-Fathani/Tuan Minal bin Muhammad al-Fathani belajar pelbagai ilmu keislaman sehingga beliau menjadi seorang ulama besar yang amat terkenal di Asia Tenggara.
Hasil perbualan dengan salah seorang keturunan pengasas pondok pengajian tersebut, barulah penulis mengetahui bahawa pondok yang penulis kunjungi itu adalah diasaskan oleh Syeikh Abdur Rasyid Pulau Bidan.
Maka terjawablah keraguan mengenai data lengkap biografinya yang penulis cari sejak tahun 1971 itu.

Pengenalan Sahsiah Syeikh Abdur Rasyid

Riwayat hidup mengenai ulama di Cenak ini adalah berdasarkan cerita lisan daripada beberapa keturunan beliau yang penulis temu bual. Ayah beliau bernama Cik Din berasal dari Kampung Temperak, Cenak dalam Wilayah Senggora (Songkhla).
Ditakdirkan Allah pada suatu hari Abdur Rasyid hilang di tempat ia bermain-main. Sehingga ahli keluarga menyangka beliau telah dimakan oleh harimau. Oleh itu setelah berpuluh-puluh tahun lamanya, ahli keluarga menyangka beliau telah pasti meninggal dunia.
Setelah sekian lama, pada suatu hari ketika ibunya yang tua menjemur padi, tiba-tiba dikejutkan oleh seorang pemuda yang datang mengusiknya. Lalu dimarahi oleh ibunya kerana beliau tidak kenal bahawa pemuda itu adalah anaknya yang telah hilang sekian lama.
Setelah dikerumuni orang yang datang, barulah pemuda itu mengaku bahawa beliau adalah Abdur Rasyid anak kepada perempuan tua yang diusiknya itu.
Beliau menceritakan riwayatnya yang hilang sewaktu umurnya belum sampai enam tahun. Beliau menceritakan bahawa pada mulanya beliau pergi belajar pondok di Patani dan seterusnya menyambung pondok di Kedah dan diteruskan di Pulau Pinang.
Pengembaraan dari Patani ke Kedah hanya dengan berjalan kaki, manakala ke Pulau Pinang pula dengan menumpang sampan kecil tanpa membawa wang walau sedikit. Hanya sehelai sepinggang yang ada pada dirinya.
Setelah ilmu yang dipelajari di Patani, Kedah dan Pulau Pinang sudah memadai, beliau meneruskan mencari ilmu ke Mekah dan seterusnya mengembara ke Baitul Maqdis. Beliau sempat mendalami pengetahuannya di Mekah tetapi tidak diceritakan bahawa beliau mengajar di Mekah, tetapi diceritakan beliau mengajar di Masjid Baitul Maqdis dan di kediamannya.
Bertahun-tahun beliau mengajar, tidak pernah terlintas untuk pulang ke kampung halamannya. Sehingga pada suatu malam ketika beliau mengajar, dilihatnya seekor kucing mengiau-ngiau. Tidak lama kemudian beliau melihat kucing itu menggonggong anaknya. Lalu beliau menutup kitab yang sedang diajar dan termenung di hadapan murid-muridnya yang juga menjadi hairan dengan kelakuan beliau.
Lalu beliau berkata, “Sedangkan kucing atau pun binatang lainnya teringat dengan anaknya. Aku sendiri sebagai seorang manusia mulai saat ini baru terkenang dengan sanak saudaraku yang menjadi tanggungjawabku. Aku mesti kembali ke tempat asalku.”
Dipendekkan kisahnya, beliau kembali ke Cenak dengan membawa banyak kitab dengan gambaran diangkut oleh tiga ekor gajah. Bahkan terdapat kitab-kitab yang dibawanya masih tersimpan di pondok tersebut.
Tulisan mutawal tentang beliau yang ditulis oleh Haji Ahmad bin Syeikh Muhammad Said dalam Kanzul Mu’id, menurut beliau, “Al ‘Allamah al-Kabir al-Fahamah Shahib….asy-Syeikh Abdur Rasyid al-Fathani yang dikubur akan dia di Pulau Bidan. Dan kuburnya di sana dikenal akan dia lagi masyhur menziarah kepadanya oleh manusia….”
Mengenai kekeramatan beliau, menurut Mufti Haji Ahmad dalam kitabnya, “Baginya beberapa karamah, yang adalah yang terlebih besar daripadanya bahawa menghimpunkan ia sekalian kitabnya pada setengah daripada peperangan yang terjadi di dalam negerinya.
Dan meletak ia akan dia pada tepi sungai pada suatu tempat yang tiadalah di antaranya dan antara langit dinding. Dan pergilah ia kepada satu negeri…. Kemudian kembali ia kepada negerinya, maka mendapat ia akan sekalian kitabnya seperti barang yang ada ia, tiada berubah dan binasa ia….”
Masih banyak karamah yang diceritakan dalam kitab tersebut yang tidak dapat penulis senaraikan kesemuanya.
Oleh kerana riwayatnya telah jelas dinyatakan dalam kitab Kanzul Mu’id tersebut, maka Syeikh Abdur Rasyid Tok Keramat Pulau Bidan bukan saudara kandung Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang suka mengembara sehingga sampai kini belum ditemui riwayatnya.
Dari catatan Tok Kelaba al-Fathani dapat diketahui beberapa orang sahabat Syeikh Abdur Rasyid iaitu, Haji Abdus Shamad Kelaba, Imam Abdul Manaf, Haji Abdul Majid Setang, Haji Abdul Majid Langgar Jambu, Tuan Pulau Canang Kelantan dan Tuan Abdur Rasyid Cenak (Pulau Bidan).
Mengenai pemikiran beliau pula, terdapat satu catatan Tuan Guru Haji Mahmud bin Muhammad Yusuf Terengganu, iaitu murid Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas, catatan itu berupa taqrir beliau mengenai pembahagian pusaka menurut Islam dan manuskripnya masih dalam simpanan penulis. Sebuah lagi karya yang diketahui ialah mengenai fikah yang diselesaikan di Kelantan tahun 1263H/1846M yang disimpan naskhahnya di Muzium Budaya Melaka.

Keturunan Yang Menjadi Ulama dan Tokoh Masyarakat

Sebagaimana yang dinyatakan bahawa sekembalinya Syeikh Abdur Rasyid dari Baitul Maqdis, beliau bersama besannya Haji Abdul Jalil dan Haji Muhammad Shalih membuka sistem pengajian pondok di Cenak. Sehingga sekian lama pondok pengajian yang diasaskan beliau masih diteruskan oleh keturunan beliau.
Setelah berkahwin dengan Fathimah, Syeikh Abdur Rasyid memperoleh empat orang anak. Ketiga-tiga menantu beliau merupakan murid-murid beliau yang menjadi ulama. Oleh itu, setelah beliau meninggal dunia, pondok pengajian tersebut diganti oleh menantunya yang bernama Haji Hasan bin Haji Abdul Jalil, iaitu suami anak perempuan beliau iaitu Hajah Aisyah. Apabila Haji Hasan meninggal dunia, diganti pula oleh Abdullah yang berasal dari Bangkok. Sesudahnya diganti oleh Haji Awang dan seterusnya diganti oleh Haji Abdul Syukur bin Syeikh Abdur Rasyid.
Sewaktu penulis menemu bual keturunan Syeikh Abdur Rasyid, beliau hanya mempunyai empat anak perempuan seperti yang dinyatakan. Penulis turut menemui nama Haji Abduys Syukur dalam beberapa kitab bahawa beliau adalah anak Syeikh Abdur Rasyid.
Perkahwinan anak perempuan Syeikh Abdur Rasyid yang bernama Cik Wi dengan Haji Muhammad Shalih telah memperoleh anak yang bernama Haji Muhammad Nur. Beliau adalah seorang ulama yang sangat besar pengaruhnya di seluruh Wilayah Senggora (Songkhla) pada zamannya.
Beliau meninggalkan beberapa buah karya yang berupa risalah-risalah di antaranya Risalah Usuluddin yang diselesaikan pada 15 Rejab 1373 H (1953 M).
Risalah kecil tersebut dicetak pada cetakan kedua tahun 1381 H (1961 M). Di akhir karyanya itu, beliau memberi nasihat dengan sepuluh perkara, iaitu:
  1. Jangan tuan-tuan cerca kepada seorang yang tuan lihat ada pada tuan sendiri.
  2. Jangan tuan sesal akan suatu kebajikan yang tuan telah perbuat tetapi hendaklah tuan sesal atas kejahatan yang telah tuan kerjakan.
  3. Jangan tuan marah jikalau dikata orang, “tuan bodoh”, apabila tuan membuatkan seperti perbuatan orang yang bodoh.
  4. Jangan tuan nanti bantuan orang lain melainkan terlebih dahulu tuan bantu diri tuan sendiri.
  5. Jangan tuan bersahabat dengan seseorang sebelum tuan tahu bagaimana ia berlaku dengan sahabat-sahabatnya yang dahulu.
  6. Jangan segera tuan kata susah sesuatu pekerjaan sebelum tuan cuba lagi.
  7. Jangan tuan takut akan perkataan tuan yang sebenar tetapi hendaklah tuan takut akan perkataan tuan yang salah.
  8. Jangan tuan jaga diri orang lain sebelum tuan tahu bagaimana hendak menjaga diri tuan sendiri.
  9. Jangan tuan rosakkan sesuatu benda itu apabila tiada boleh membaikinya.
  10. Jangan tuan mengumpat-ngumpat atau mencacat-cacat suatu pakatan terlebih dahulu tuan mengesahkan terlebih banyaklah faedah daripada mudarat.
Nasihat atau wasiat Haji Muhammad Nur iaitu cucu Syeikh Abdur Rasyid telah disalin oleh anak beliau iaitu Tuan guru Haji Husein bin Haji Muhammad Nur, yang dimuat dalam risalah kecilnya yang berjudul Hidangan Hikmah.
Risalah tersebut dicetak dengan huruf Melayu/Jawi dan di bahagian bawahnya juga digantungkan dengan huruf Thai. Haji Husein bin Haji Muhammad Nur pula adalah seorang tokoh ulama Senggora.
Selain itu, cucu Syeikh Abdur Rasyid ini juga meninggalkan ramai anak murid yang menjadi ulama. Antaranya Tuan Guru Muhammad Encik muda, penyusun Risalah Maju’is Shaghir.
Mufti Haji Ahmad menulis tentang Hajah Wan Shafiyah iaitu salah seorang anak perempuan Syeikh Abdur Rasyid. Menurutnya, dalam kitab Kanzul Mu’id ,”…al-Hajah Shafiyah daripada anak negeri Patani dan ia seorang perempuan yang terlebih elok bacaan pada al-Quran. Lagi mengajar baginya dibilang akan dia daripada yang lebih-lebih perempuan-perempuan masanya….”
Sebagaimana yang diketahui, Hajah Shafiyah berkahwin dengan ulama bernama Syeikh Jamaluddin Linggi dan memperoleh anak yang iaitu Syeikh Muhammad Said, iaitu seorang ulama besar yang diakui masyarakat pada zamannya. Beliau pula memperoleh beberapa orang anak dan cucu yang menjadi ulama. Antara anak-anak Syeikh Muhammad Said yang menjadi ulama ialah Haji Abdullah, Haji Ahmad Mufti Negeri Sembilan dan Tuan Guru Haji Mansur iaitu salah seorang saudaranya yang sempat penulis kenali pada tahun 1977 dan meninggal dunia tahun 1981.
Tuan Guru Haji Mansur sangat mengagumi Syeikh Ahmad al-Fathani, sehingga matan Ar-Risalatul Fathaniyah/Nahu, Abniyatul Asma’ wal Af’al/Sharaf dan Syair Syeikh Ahmad al-Fathani di akhir kitab I’anatut Thalibin dibaca olehnya di hadapan penulis secara menghafal. Penulis juga sempat menemu bual saudaranya Haji Muhammad Nur dalam tahun yang sama iaitu pada 1971. Pada 1988, penulis menemu bual seorang lagi saudaranya iaitu Haji Abdul Hamid dan daripada beliau penulis memperoleh sepotong Syair Syeikh Ahmad al-Fathani dalam bahasa Arab yang terkumpul dalam sebuah buku Syeikh Muhammad Said tersebut.
Dalam tahun 1411 H/1991 M, Pondok Cenak peninggalan Syeikh Abdur Rasyid Pulau Bidan masih diteruskan. Ia dipimpin oleh Tuan Guru Haji Ismail bin Haji Abduys Syukur dan sekali gus menggantikan saudara kandungnya iaitu Haji Abdullah. Beliau diberi nama Ismail kerana mengambil berkat kealiman Syeikh Ismail (Pak De El, Mekah) dan Haji Abduys Syukur juga adalah sezaman dengan ulama tersebut iaitu, Syeikh Ismail bin Abdul Qadir al-Fathani.
Tuan Guru Haji Ismail adalah kelulusan sarjana muda sastera Universiti Madinah yang pertama bersama sahabat beliau iaitu, Haji Yahya al-Lathifi yang merupakan ulama Thailand yang terkenal. Haji Yahya juga adalah sepupu Pak De El dan Syeikh Ahmad al-Fathani. Tuan Guru Haji Ismail meneruskan pengajian pondok tersebut dengan dibantu oleh anak-anaknya.

Kesimpulan

Menurut penelitian penulis, sejarah hidup mengenai tokoh yang dikatakan Tok Keramat Pulau Bidan ini cukup jelas. Selain sebagai seorang ulama besar, beliau juga menurunkan ulama-ulama besar yang terkenal selepasnya.
Bahkan institusi pengajian pondok yang dibinanya dapat diteruskan hasil kesinambungan daripada keturunan beliau. Oleh itu, penyelidikan sejarah mengenai beliau dan keturunannya perlu dijalankan dengan teliti kerana jasa yang amat besar kepada masyarakat.

Khamis, 1 April 2010

HAJI WAN SULAIMAN BIN WAN SIDEK

 
Haji Wan Sulaiman bin Wan Sidek dilahirkan pada tahun 1874 di sebuah desa pedalaman iaitu Kampung Pulau Tengah dalam Mukim Padang Kerbau, Daerah Kota Star.
Setelah bapanya meninggal dunia, ibunya, Wan Tam berusaha memberikan pendidikan asas yang secukupnya kepada anaknya seperti membaca surat-surat jawi dan Muqaddam. Ketika usianya 9 tahun, Haji Wan Sulaiman belajar Bahasa Melayu di sebuah sekolah kepunyaan Haji Din sehingga lulus darjah tiga.
Apabila berusia 12 tahun, Haji Wan Sulaiman dihantar pula belajar membaca al-Quran dan Pengetahuan Agama Islam kepada Tuan Guru Haji Ismail berasal dari Kelantan. Selepas itu, Haji Wan Sulaiman dihantar belajar Bahasa Inggeris dengan Doktor Gomez (peranakan Ceylon) yang membuka klinik perubatannya di Pekan Melayu. Tetapi disebabkan kenakalannya, beliau sering dimarahi dan dipukul oleh gurunya. Hal itu menyebabkan Haji Wan Sulaiman enggan meneruskan pengajiannya kerana menganggap gurunya itu berbangsa kafir. Sejak itulah beliau berazam untuk melanjutkan pelajaran ke Mekah.
Haji Wan Sulaiman bertolak ke Mekah dengan dibiayai oleh ibu dan saudara-saudaranya pada tahun 1887. Selama 17 tahun berada di Mekah, Haji Wan Sulaiman berjaya menguasai pelbagai bidang ilmu agama Islam termasuklah bahasa Arab, Nahu, Saraf, Hadis, pembacaan dan pengkajian al-Quran dan ilmu Falakiah. Dalam masa tiga tahun terakhir, beliau memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap Ilmu Tarekat Naksyabandiyah Mujaddiyah Ahmadiyah. Dari gurunya iaitu Tuan Sheikh Fakir Muhammad Al-Bukhari, Haji Wan Sulaiman ditauliahkan Khalifah Tarekat yang ke-34. Sewaktu masih berada di Mekah, Haji Wan Sulaiman mengahwini Wan Kalsom (Wan Tom) binti Wan Abdul Hamid, anak bekas Kadi Daerah Yan, Kedah dan dikurniakan 11 orang cahayamata.
Pada tahun 1904, Sultan Abdul Hamid Halim Shah telah menubuhkan Majmuk Ulama untuk membantu baginda mengatasi sebarang masalah yang timbul berkaitan dengan agama Islam. Majmuk ini mengandungi 12 orang ulama dengan dipengerusikan olen Haji Wan Sulaiman sementara Haji Abdullah Fahim (Pak Him) selaku setiausahanya. Ulama-ulama lain yang menganggotainya termasuklah Sheikh Muhammad Khayat, Sheikh Jarum Derga (Haji Wan ldris Wan Jamal), Haji Ahmad Awang, Haji ldris Ayer Hitam, Haji Muhammad Saman (Keramat Serban Hijau), Haji lbrahim Paya Sena, Haji Muhammad Arif Sungai Nonang dan Haji Hussain Nasir Al-Banjari (Tuan Hussain Kedah). Majmuk ini berkumpul setiap malam Jumaat di Masjid Zahir untuk bermuzakarah hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam.
Pada awal tahun 1906, Kerajaan Kedah melantiknya bertugas sebagai Kadi yang kemudiannya menjawat jawatan Kadi Besar dalam tahun 1910. Bidang kerjayanya semakin bersinar apabila beliau dilantik selaku Syeikhul Islam Kedah menggantikan Sheikh Muhammad Khayat pada tahun 1920.
Di samping tugas rasminya sebagai Ketua Pentadbir Undang-undang dan agama Islam, beliau banyak mencurahkan segala ilmu pengetahuan yang dipelajarinya di Mekah selama 20 tahun kepada orang ramai di seluruh negeri. Selain daripada orang awam, para pelajarnya termasuklah guru agama, imam dan Pegawai-pegawai Kerajaan. Beliau bukan sahaja menyampaikan kuliah agama di Masjid Negeri, tetapi juga di madrasah tempat kediamannya di Limbong Kapal, Alor Star secara bergilir-gilir pada waktu malam. Beliau juga sering menyampaikan ceramah agama di beberapa buah masjid di daerah lain seperti Bandar Baharu, Kulim dan Yan. Beliau berulang-alik ke tempat tersebut pada mulanya dengan kereta kuda dan kemudiannya dengan motokar Austin bernombor K 51.
Haji Wan Sulaiman amat menentang keras segala ajaran sesat yang menyeleweng dari segi iktikad dan ajaran agama Islam seperti amalan khurafat dan bida’ah yang masih berkembang subur pada masa itu. Amalan-amalan tersebut termasuklah memohon atau bernazar sesuatu pada kuburan yang dianggap keramat, menjamu hantu jembalang dan berubat secara menurun (melupakan diri). Satu-satunya amalan khurafat yang pernah dihapuskan oleh Haji Wan Sulaiman di Bandar Alor Star ialah amalan berkenduri nasi kunyit dan “mandi susu’ di tangga atau perkarangan Balai Nobat kerana menunaikan sesuatu niat atau nazar. Beliau juga tidak bersetuju masyarakat Melayu mengadakan kenduri bubur asyura sewaktu menyambut “Hari Asyura” pada 10 Muharram setiap tahun tanpa mengadakan pengkisahan sejarah atau peristiwa mengenainya. Beliau juga menolak “Adat Persandingan” dalam upacara perkahwinan masyarakat Melayu yang menurutnya mencemar kesucian agama Islam kerana bercanggah dengan ajaran agama Islam sebenar.
Dalam bidang pendidikan, beliau berusaha memperbaiki kaedah pengajaran al-Quran yang ketika itu, diasingkan daripada matapelajaran lain di sekolah Melayu. Kaedah baru yang disusun oleh beliau telah diterima oleh pihak kerajaan Kedah dan ini membolehkan kanak-kanak menamatkan pengajian al-Quran dalam masa yang singkat. Beliau juga menubuhkan sebuah sekolah agama moden pada tahun 1916 yang diberi nama “Madrasah Al-Hamidiah” mengambil sempena nama Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Sebagai sebuah sekolah agama Islam moden yang pertama di Kedah dan terawal di Semenanjung, sudah pasti ianya mengikut sistem pendidikan moden dari segala aspek seperti jadual waktu, buku teks, loceng, sukatan pelajaran, peperiksaan untuk naik darjah, guru-guru yang berpengkhususan dan pemberian sijil kepada pelajar yang lulus atau berjaya menamatkan pengajian sehingga darjah lima.
Madrasah Al-Hamidiah yang lebih dikenali sebagai Madrasah Pak Wan Sulaiman atau Sekolah Arab Limbong Kapal itu telah berjaya melahirkan ramai pelajar yang berkelulusan dalam pelbagai bidang seperti menjadi pentadbir, kadi, guru dan pemimpin masyarakat. Antara tokoh-tokoh terkenal termasuklah Dato’ Sheikh Abdul Majid bin Mohd. Noor iaitu bekas Pengetua Maktab Mahmud dan Yang Dipertua Majlis Hal Ehwal Islam Kedah; Allahyarham Sheikh Saad bin Said, Pengasas Sekolah Attarbiatul-lslamiah dan bekas Kadi Besar Kedah dan Allahyarham Sheikh Salleh bin Shamsuddin, Guru Maktab Mahmud. Haji Wan Sulaiman bersama dengan Tunku Mahmud kemudiannya merancang untuk menubuhkan sebuah sekolah menengah agama yang lebih tinggi pengajiannya. “Al-Ma’hadil Mahmud” atau Maktab Mahmud yang terletak di Simpang Kuala, Alor Star telah dibina pada 16 Jun 1936 iaitu setelah setahun kematian Haji Wan Sulaiman. Maktab ini mengambil sempena nama Tunku Mahmud.
Dalam bidang karang mengarang, Haji Wan Sulaiman sering digandingkan dengan Tuan Hussain Kedah. Kedua mereka banyak menghasilkan karya-karya agama dalam bentuk kitab dan risalah. Sebagai pengarang yang gigih Haji Wan Sulaiman telah menghasilkan sebanyak 20 buah karya yang mencakupi pelbagai bidang. Beliau juga menghasilkan karya-karya bercorak pendidikan dalam bentuk puisi iaitu syair atau nazam. Hampir semua judul karyanya yang lain itu terdapat dalam bahasa Arab. Haji Wan Sulaiman banyak menyentuh tentang pentingnya mempelajari ilmu Tarekat Naksyabandiyah yang mempunyai kelebihan-kelebihan tertentu dalam karyanya.
Perkara ini banyak dibicarakan olehnya dalam beberapa karyanya seperti Putuhatul-Kadihiyat, Nihayatul-Matlub, Haudhul-Maurud, Nursataak, Fakihatun-Janiah dan Mizanul-uklali wal-Udaba. Salah sebuah karyanya yang berbentuk syair atau nazam berjudul “Nazam Qasidah Lagu lbyari” telah dihasilkan olehnya di atas keretapi dalam tahun 1926 ketika turut mengiringi Tunku Mahmud ke Bangkok. Isi puisi tersebut mengandungi huraian tentang “Aqaidul-Iman’ di mana amat sesuai diajar kepada kanak-kanak terutamanya di peringkat asuhan atau pra sekolah melalui lagu atau nasyid.
Sebagai seorang yang berkebolehan dalam ilmu Falakiah, beliau berjaya meramal akan berlakunya kejadian gerhana matahari dalam tahun 1928 dan dapat menerangkan kejadian gerhana itu secara saintifik melalui sebuah risalahnya berjudul “Risalah Nasihat Fasal Gerhana”. Sehubungan dengan ini, Haji Wan Sulaiman pemah mengeluarkan siaran pekeliling untuk membantu para petani dalam hal mengerjakan sawah di mana mengandungi jadual musim-musim piama bendang di negeri Kedah.
Haji Wan Sulaiman meninggal secara mengejut di rumahnya di Limbong Kapal pada 28 Muharam 1354 bersamaan 2 Mei 1935 iaitu dalam usia 61 tahun. Bagi mengenangkan sumbangan Haji Wan Sulaiman yang amat bernilai itu, Kerajaan Kedah telah memberikan sanjungan dan penghormatan yang tinggi kepadanya dengan mengizinkan jenazahnya dikebumikan di Makam Diraja. Selain itu, Sekolah Kebangsaan Kanchut di bandar Alor Star telah diabadikan dengan nama beliau iaitu Sekolah Kebangsaan Wan Sulaiman Sidek yang didirikan pada 1 Mac 1985.

Isnin, 1 Mac 2010

SYEIKH ALI FAQIH AL-FATHANI

SYEIKH ALI FAQIH AL-FATHANI
Mufti Kerajaan Mempawah
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

PENYELIDIKAN awal mengenai ulama yang berasal dari Pattani yang akan diriwayatkan ini bermula dari sebuah salasilah dalam simpanan salah seorang keturunannya di Mempawah, Indonesia. Cerita yang terbanyak diperoleh ialah daripada Haji Abdur Razaq, seorang guru agama bebas dan tokoh masyarakat di Mempawah.
Selain itu, daripada Haji Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani, Mufti Kerajaan Mempawah terakhir serta daripada beberapa keturunannya yang telah berusia lanjut yang sempat penulis temui di Mempawah, Pontianak, Jakarta dan Pattani.
Tulisan terawal yang disebarkan mengenai Syeikh Ali bin Faqih al-Fatani ialah daripada tulisan penulis sendiri, yang dimuat dalam risalah kecil berjudul, Upu Daeng Menambon Raja Mempawah. Kemudian penulis perkenalkan kembali dalam kertas kerja yang dibentangkan dalam Seminar Sejarah dan Kebudayaan Pattani (anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia, 1996) yang berjudul Peranan Orang Pattani Di Dunia Perantauan.

Asal-Usul

Dalam lingkungan tahun 1160 H/1747 M, penduduk Kuala Mempawah, Tanjung Mempawah dan kampung-kampung sekitarnya dikejutkan kerana didatangi oleh sekitar 40 perahu yang besar-besar belaka. Setelah dua orang ulama bernama Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani dan Syeikh Abdul Jalil al-Fathani naik ke darat untuk menghadap Upu Daeng Menambon iaitu Raja Mempawah pada masa itu, barulah diketahui oleh penduduk bahawa perahu-perahu besar itu datang dari Kerajaan Fathani Darus Salam.
Dipercayai bahawa kedua-dua ulama tersebut berasal dari Kampung Sena, Pattani yang datuk neneknya berasal dari Kerisik, Patani.

Pendidikan dan Penyebaran Ilmu

Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani dan Syeikh Abdul Jalil al-Fathani mendapat pendidikan pondok di Pattani dan kemudian melanjutkan pengajiannya ke Mekah. Bagaimanapun, baik gurunya di Pattani mahupun di Mekah, belum diperoleh catatan yang lengkap dan jelas namun tentang ilmu kedua-duanya dikagumi oleh masyarakat di mana saja mereka berada.
Hanya Syeikh Ali al-Fathani dan anak-anak serta anggota/ahli dalam rombongannya yang tetap tinggal di Mempawah dengan mendirikan rumah yang besar di Kampung Tanjung, Mempawah. Sebahagian lagi mengikuti Syeikh Abdul Jalil al-Fathani menyebarkan Islam di Sambas.
Di Sambas, Syeikh Abdul Jalil al-Fathani lebih dikenali dengan sebutan Keramat Lumbang kerana beliau dikeramatkan orang adalah sebagai lambang ketinggian ilmunya hingga kepada ilmu hakikat dan makrifat.
Demikian halnya dengan Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani, setelah beliau meninggal dunia disebut orang dengan Keramat Pokok Sena.
Kehebatan ilmu yang berupa karamah yang pernah disaksikan oleh penduduk, di antaranya Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani adalah seorang ulama yang berpengetahuan lengkap. Disebabkan alimnya beliau dapat mengetahui helaian daun kelapa dalam satu pelepah yang jatuh dengan tepat tanpa perlu dihitung terlebih dulu.
Bukan itu sahaja, kalau hari akan hujan beliau dapat mengetahui bahawa akan hujan dengan melihat tanda-tanda kelakuan binatang seperti semut, binatang melata dan serangga lainnya. Memperhatikan ketepatan yang diperkatakan oleh Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani, sehingga orang-orang Mempawah pada zaman itu mengatakan bahawa Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani mengetahui percakapan binatang, selain itu beliau adalah seorang Wali Allah juga seperti Habib Husein al-Qadri.
Ketentuan-ketentuan hukum keIslaman yang terutama sekali pada persekitaran tiga jurusan, iaitu fiqh menurut Mazhab Syafie, akidah menurut faham Ahli Sunah wal Jamaah Mazhab Abul Hasan al-Asy’ari dan tasawuf mengikut imam-imam sufi yang muktabar adalah terletak pada Habib Husein al-Qadri dan Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani.
Sejak kedatangan kedua-dua ulama itu telah mulai berkembang Barzanji, Nazham, Burdah dan yang sejenis dengannya setiap malam Jumaat dan di tempat-tempat yang digunakan sebagai upacara rasmi sering mendengungkan lagu-lagu zikir tersebut untuk memperoleh pahala, bukan dipandang sebagai kesenian atau kebudayaan.
Tarekat yang diamal oleh Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani ialah Tarekat Syathariyah, Tarekat Naqsyabandiyah dan beberapa tarekat yang muktabar lainnya. Namun ia berbeza dengan Habib Husein al-Qadri lebih suka mengamalkan Ratib al-Haddad dan Tarekat Qadiriyah.

Murid-Murid

Sebahagian besar tokoh yang pernah belajar dengan Habib Husein al-Qadri juga pernah belajar atau sebagai murid kepada Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani. Beberapa ilmu yang bercorak khusus, yang diperoleh dalam bentuk sistem pondok lebih banyak diajarkan oleh Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani jika dibandingkan dengan Habib Husein al-Qadri yang lebih menekankan berupa amalan dan bercorak memberi keterangan atau syarahan.
Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani lebih menekankan pelajaran yang bercorak hafalan matan-matan sesuatu ilmu menurut tradisi pondok di Pattani, sedangkan Habib Husein al-Qadri perkara itu tidak begitu dikuatkan, yang diutamakan oleh Habib Husein al-Qadri ialah penguasaan lughah Arabiah.
Oleh itu, Gusti Jamiril putera Upu Daeng Menambon menguasai ilmu nahu, saraf dan ilmu-ilmu Arabiah yang lainnya adalah diperolehnya daripada Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani. Faktor yang membolehkannya bertutur dalam bahasa Arab adalah kerana pergaulannya dengan Habib Husein al-Qadri.

Dilantik Sebagai Mufti

Sebagaimana telah diceritakan dalam artikel sebelum ini bahawa Mufti Kerajaan Mempawah yang pertama ialah Habib Husein al-Qadri yang memperoleh gelar Tuan Besar Mempawah. Diceritakan pula, sewaktu Habib Husein al-Qadri/Tuan Besar Mempawah telah berwasiat, bahawa yang layak sebagai pengganti beliau ialah Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani yang tinggal di Kampung Tanjung Mempawah.
Oleh itu, untuk melaksanakan wasiat itu pihak pemerintah Mempawah telah melantik Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani sebagai Mufti Kerajaan Mempawah dengan gelar Maharaja Imam Mempawah. Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani adalah orang yang pertama di Mempawah yang memperoleh gelaran sedemikian. Ini bererti Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani itu adalah Mufti Mempawah yang kedua selepas Mufti yang pertama iaitu Habib Husein al-Qadri.
Setelah Syarif Abdur Rahman al-Qadri mendirikan Kerajaan Pontianak, Sultan Pontianak itu mengajak beliau pindah ke Pontianak, lalu beliau tinggal di Kampung Bugis/Kampung Pedalaman Pontianak yang berdekatan dengan istana Sultan Pontianak itu. Ini bererti Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani berkhidmat di kedua-dua tempat itu dengan berulang-alik antara Mempawah-Pontianak melalui pelayaran perahu.

Keturunan

Daripada catatan Tuan Guru Haji Abdur Razaq, bahawa keturunan Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani adalah empat orang, iaitu:
  • Hajah Fathimah
  • Abdur Rahman/Wak Tapak
  • Ismail
  • Muhammad Dumyati
Anak yang pertama, Hajah Fathimah berkahwin dengan Muhammad Thahir, memperoleh anak bernama Maidah dan Basuk. Abdur Rahman, yang lebih dikenal dengan sebutan Wak Tapak memperoleh beberapa orang anak, ialah; Mustafa, Patik, Hasan, Husein dan Muhammad Nur. Seterusnya Ismail, memperoleh anak bernama Saad. Muhammad Dumyati pula memperoleh anak iaitu; Muhammad Shalih, Musa dan Haji Daud.
Di antara mereka yang paling terkenal ialah Abdur Rahman/Wak Tapak, adalah seorang pahlawan Mempawah. Sewaktu terjadi perbalahan antara orang-orang Cina dengan Melayu di Mempawah, Mandor dan tempat-tempat lainnya, Wak Tapak al-Fathani dan Tengku Simbob yang berasal dari Riau berhasil mengalahkan orang-orang Cina tersebut.
Salah satu tempat di Pulau Temajoh, Kecamatan Sungai Kunyit, Mempawah nama beliau dikekalkan dengan nama Tanjung Wak Tapak. Menurut riwayat tempat itu adalah sebagai perhentian beliau untuk mengintip lanun-lanun yang melalui perairan Mempawah.
Kesinambungan kedatangan orang-orang dari Semenanjung ke Mempawah/Kalimantan Barat. Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani dan Syeikh Abdul Jalil al-Fathani dapat dianggap sebagai perintis kepada kedatangan orang-orang Patani dan tempat-tempat lain dari Semenanjung, seperti Kedah dan Kelantan ke Kalimantan Barat.
Dari kedatangan yang pertama oleh Syeikh Ali al-Fathani hingga yang terakhir oleh Haji Abdur Rahman Kelantan, ternyata ada hubungan erat, baik dari segi kekeluargaan mahupun pertalian sanad/salasilah pengajian ilmu-ilmu keIslaman.
Kedatangan ke Kalimantan Barat tersebut adalah secara berkesinambungan kecuali terhenti setelah Indonesia merdeka kerana sistem pemerintahan telah jauh berubah coraknya. Tokoh-tokoh yang terkemuka yang berasal dari Pattani yang masih bersangkutan dengan keluarga besar Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani yang datang menyebarkan Islam di Kalimantan Barat, ada tiga adik-beradik iaitu Haji Wan Abdul Lathif, Wan Nik dan Hajah Wan Mah.
Ada pun Haji Wan Abdul Lathif itu alim dalam ilmu fiqh, manakala Haji Wan Nik adalah tokoh sufi. Haji Wan Abdul Lathif berkahwin di Kampung Tanjung Mempawah dengan salah seorang keturunan yang juga berasal dari Pattani.
Beliau memperoleh tiga orang anak: Haji Abdul Hamid, menyebarkan Islam di Kepulauan Tambelan dan meninggal dunia di sana. Anak beliau yang kedua bernama Mahmud, meninggal dunia di Singapura dan yang ketiga bernama Muhammad telah pulang ke Pattani. Ada pun anak Haji Wan Nik al-Fathani iaitu Haji Usman pulang ke Pattani. Manakala menantu Haji Wan Nik al-Fathani adalah seorang ulama, iaitu Haji Hasan al-Fathani. Beliau adalah sebagai Imam Masjid Jamek Pemangkat (Kabupaten Sambas).
Haji Hasan al-Fathani sahabat kepada Syeikh Basiyuni Imran yang lebih dikenali dengan gelaran Maharaja Imam Sambas.
Selanjutnya yang datang dari Kedah pula ialah Syeikh Muhammad Yasin yang membuka pondok pengajian di Kuala Mempawah. Dari Kelantan pula ialah Haji Ismail bin Abdul Majid yang pernah menjadi Mufti Pontianak.
Haji Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani pula adalah Mufti Mempawah yang terakhir. Ketiga-tiga orang yang tersebut itu walaupun bukan berasal dari Pattani tetapi ada hubungan dakwah dan pendidikan Islam dengan Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani. Ini kerana sebelum mereka mendapat kedudukan di sana, semuanya tinggal di rumah keturunan Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani.
Keturunan yang terakhir ialah penulis sendiri, dari keturunan Pattani-Johor yang dilahirkan di Kepulauan Riau datang ke Kalimantan Barat, menjejakkan kaki pertama sekali di Singkawang (Daerah Sambas) pada 18 Januari 1968 dan selanjutnya ke Mempawah 1970-1988.
Penulis sempat mencatat hampir semua peristiwa mulai Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani hingga Haji Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani dari mulut Haji Abdur Rahman Kelantan sendiri. Ini kerana penulis pernah beberapa tahun tinggal di rumah beliau dan sempat beberapa kali menadah kitab daripada ulama Kelantan murid Tok Kenali peringkat terawal itu. Selain itu, semua peristiwa juga dicatat daripada keturunan mereka dan orang tua-tua di Mempawah. Percubaan-percubaan untuk mendirikan pendidikan sistem pondok sejak zaman Upu Daeng Menambon bersambung terus, namun selalu diakhiri dengan kegagalan.
Setelah sekian lama sesudah Upu Daeng Menambon, datang seorang ulama Kedah bernama Haji Muhamad Yasin yang menampung murid-muridnya di Kuala Secapah, namun hanya dapat bertahan beberapa tahun saja.
Setelah itu, disambung pula dengan Haji Abdur Rahman bin Husein Kelantan dengan mendirikan pondok Darul Ulum di Mempawah. Dengan terdirinya pondok tersebut, sempat melahirkan beberapa orang tokoh di antaranya, dua orang anak beliau sendiri iaitu Haji Muhaamad Aziq L.C. dan Drs. Abdul Malik.
Seterusnya pondok yang terakhir sekali pula adalah diasaskan daripada penulis dan kawan-kawan yang diberi nama Pondok Pesantren Al-Fathaanah, yang pertama terdirinya di Sungai Bundung, Kecamatan Sungai Kunyit tahun 1974.
Turut serta sebagai pengasas ialah beberapa orang murid daripada Haji Abdur Rahman Kelantan tersebut. Di antara mereka ialah seorang ustaz dan Ketua Kampung Munzir Kitang, Udin Sadul, Hamdan Bochari dan ramai lagi.
Sehingga kini Al-Fathaanah masih wujud dengan berkonsepkan seperti sistem pengajian sekolah-sekolah umum, namun masih mengekalkan sistem pondok. Namun mudah-mudahan ia dapat kekal sampai ke akhir perjuangan.