Peristiwa di bulan Safar
Bulan
Safar ialah salah satu daripada 12 bulan Hijriah, bulan-bulan Arab yang
telah dikenali dan dirayakan oleh masyarakat Arab dan bulan-bulan Islam
yang diperakui dan mempunyai hubungan yang erat dan berterusan dari
segi ibadah dan syiar.
Bulan Safar ialah bulan yang datang selepas bulan Muharram dan sebelum bulan Rabiul Awwal yang merupakan bulan kelahiran pembawa petunjuk buat manusia. “Safar” bermakna kosong. Setengah mereka mengungkapkan: Dinamakan demikian kerana Mekah telah tiada penghuninya (kosong daripada penduduknya) apabila mereka bermusafir. Ada pula yang mengungkapkan: Dinamakan bulan ini dengan Safar kerana ketika mereka memerangi sesetengah kabilah, mereka akan meninggalkan kabilah itu tanpa sebarang makanan ( iaitu mereka merampas makanannya sehingga tiada lagi makanan yang tinggal). Ini berdasarkan maksud yang dinyatakan oleh Ibn Manzur di dalam kitab Mu’jamnya (Lisan al-Arab: 4/462-463)
Pengetahuan
tentang peristiwa-peristiwa yang telah dilalui dalam sejarah kita
khususnya di bulan-bulan Hijrah sangat penting bagi seorang muslim
umumnya dan seorang pendakwah khasnya supaya kita dapat mengikuti jalan
hari ini seperti jalan-jalan masa lalu dan kita dapat membangunkan
sejarah mendatang dengan penuh gemilang dan cemerlang.
Perhatikanlah sebahagian peristiwa dan peperangan yang berlaku di bulan Safar:
Perang Abwa’ (Wuddan)
Perang
Abwa’ berlaku pada 12 Safar tahun 2 Hijrah yang merupakan peperangan
terawal di dalam Islam. Nabi saw turut terlibat di dalam peperangan ini.
Pembawa panji Islam ialah Hamzah bin Abdul Mutalib r.a. Rasulullah
telah melantik Saad bin Ubadah r.a. untuk menjaga kota Madinah.
Pepeperangan ini seakan-akan perang ekonomi ke atas kafilah Quraisy yang
menguruskan dagangan ke negeri Syam. Namun di dalam peperangan ini
tidak berlaku sebarang pertembungan antara dua pasukan. Di dalam
peperangan ini juga Rasulullah telah mengikat perjanjian dengan Makhsyi
bin ‘Amru ad-Damriy bahawa tentera muslimin tidak akan menyerang Bani
Damrah dan Bani Damrah tidak akan menyerang tentera Islam. Perjanjian
antara dua belah pihak ditulis di atas kertas.
Sariyyah ar-Raji’
Satu
rombongan dari Kabilah ‘Adhal dan al-Qarah telah tiba menemui
Rasulullah saw. Mereka meminta Rasulullah mengutuskan orang yang boleh
mengajar mereka tentang agama dan membacakan al-Quran. Rasulullah telah
menerima permintaan mereka dan mengutuskan 10 orang sahabat yng dipimpin
oleh ‘Asim bin Tsabit r.a. Mudah-mudahan Allah memberi mereka petunjuk.
Peristiwa ini berlaku pada bulan Safar tahun 3 Hijrah. Ketika sampai di
kampung satu kabilah dari keturunan Huzail orang musyrikin telah
mengkhianati dan menyerang mereka. Tujuh dari mereka telah syahid dan
tiga darinya menjadi tawanan iaitu Khubaib bin ‘Adi, Zaid bin ad-Datsnah
dan Abdullah bin Tariq.
Abdullah bin Tariq telah diikat dengan tali pemidas panah. Beliau telah diseret oleh orang kafir dan dibunuhnya.
Zaid
bin ad-Datsnah telah dibeli oleh Suffian bin Umayyah untuk dibunuh
sebagai membalas dendam di atas kematian bapanya Umayyah bin Khalaf.
Ketika beliau hendak dibunuh orang-orang kafir datang berkumpul untuk
menyaksikan saat itu. Lalu Abu Suffian mendekatinya sambil menyoal:
“Cuba kau sebutkan wahai Zaid, adakah kau suka Muhmmad menggantikan
tempatmu sekarang ini. Kami pancung lehernya dan kau balik dengan
selamat menemui keluargamu?” Jawab Zaid: “Demi Allah, aku tidak rela
Muhammad saw itu yang sekarang berada di tempatnya ditikam walau
sebatang duri pun yang boleh menyakitinya sedangkan aku duduk bersama
keluargaku”. Kata Abu Suffian: “Aku tidak pernah melihat seorangpun dari
manusia yang mencintai seorang lain sebagaimana sahabat-sahabat nabi
mencintai Muhammad”. Kemudian Zaid telah dibunuh.
Adapun
Khubaib telah dibeli oleh Uqbah bin al-Harits untuk dibunuh, kerana
Khubaib telah telah membunuh bapanya, al-Harits di dalam peperangan
Badar. Orang musyrikin membawanya keluar ke tanah lapang. Merek telah
membuat salib dari kayu untuk menyalibnya nanti. Khubaib telah berkata:
“Tinggalkan aku sekejap untuk aku solat dua rakaat. Mereka membenarkan
beliau solat. Setelah selesai menunai solat dua rakaat buat kali
terakhir, beliau kembali menemui mereka sambil berkata: “Kalau kamu
menyangka aku ini takut dan gerun dengan mati tentulah aku solat lebih
dari itu”. Sebenarnya Khubaib ra. merupakan orang yang pertama yang
merintis jalan bersolat dua rakaat sebelum pembunuhan. Ketika mereka
mengikatnya di kayu salib beliau telah mengadapkan wajahnya kepda Allah
sambil bermadah: “Ya Allah, sekiranya Engkau menghendakiku berkat, pada
anggotaku yang hancur lumat, persetankan tubuhku dibunuh mati, untuk
Allah kematianku pasti”.
Sariyyah Bi’ru Maunah
Seramai
70 orang sahabat terpilih telah syahid di dalam tragedy Bi’ru Maunah
pada 4 Hijrah. Mereka dikenali sebagai “al-Qurra’” kerana mereka sibuk
mengumpulkan kayu api di siang hari dan solat di malam hari. Mereka
mendermakan hasil jualan kayu api kepada golongan miskin. Di antara
mereka ialah Al-Munzir bin amru al-Ansari, al-Harits bin as-Sommah,
Haram bin Mulhan saudara Bani ‘Adi bin an-Najjar, Urwar bin Asma’ bin
as-solat, afi’ bin Badil bin Warqa’ al-Khuzaiy, Amer bin Fuhairah
pembantu Abu Bakar as-Siddiq dn al-hakam bin Kisan.
