Selamat menyambut kedatangan tahun baru
hijrah 1434H kepada para pengunjung Block suraualfurqanflora, followersnya,
rakan-rakan yang mengenali pengendali laman blog ini sama ada di alam
maya ini mahupun alam nyata. Hayatilah penghijrahan Rasulullah SAW 1434
tahun yang lalu.
Rasulullah SAW berhijrah atas perintah
Allah. Kerana taat kepada Allah lah maka Rasulullah berhijrah. Sedangkan
tanah hijrah berkenaan bukanlah tanah tumpah darah Baginda. Kerana
sebelum hijrah ke Madinah, telah ada beberapa siri hijrah ke Habshah
yang dilakukan oleh para sahabat Baginda. Namun, Baginda SAW sendiri
tidak berhijrah.
Baginda hanya berhijrah ke Madinah
atas perintah Allah SWT. Pelbagai peristiwa berlaku sebelum penghijrahan
Baginda juga memberi pelbagai warna dalam mendidik umat Islam. Setiap
satunya mempunyai nilai dan pengajaran yang sangat hebat.
Tahniah kepada Ajk Surau alfurqan yang menganjurkan majlis-majlis ilmu yang segar berbanding
hanya anjuran membaca doa akhir dan awal tahun yang terlalu ritual.
Kadang-kadang tanpa penghayatan.
Semoga tahun ini memberi banyak
pengajaran dan ilmu kepada kita semua. Ilmu adalah suluhan jiwa
membentuk jatidiri yang sejahtera bukan sahaja di dunia tetapi hatta ke
akhirat. Para ahli ulama pula adalah mereka yang paling mengenali Allah
untuk ditaati, ditakuti azab siksaanya lantas memohon keselamatan dan
perlindungan agar ditempatkan dalam kalangan para ridhuanullah alaihim.
Marilah kita menyayangi alim ulama Islam.
Mereka yang berilmu pengetahuan, kemahiran dan penghayatan Islam.
Marilah kita sokong para ulama tersebut dengan sepenuh jiwa raga kita.
Dengan sokongan moral, dengan sokongan harta dan segala-galanya milik
sementara kita. Sedarlah kita bahawa, tiada milik kita melainkan milik
mutlak Allah. Ayuh pergunakan ke arah ketaatan kepadaNya dengan
menyayangi dan menyokong ulama.
Lebih baik lagi kalau kita berusaha menjadi salah seorang daripada ulama itu.
Tuntutlah ilmu. Perbanyakkan usaha ke
arah mencari ilmu. Korbankanlah masa dan harta demi mencari ilmu.
Lawanlah arus perdana yang selalu pada setiap masa dan ketika menyogok
kita ke arah cintakan dunia, cintakan material. Ke arah perkara-perkara
lagha yang melalaikan. Lawanlah arus itu. Biarkan kita dilihat sebagai
pelik bin ajaib kerana menukarkan cinta dunia kepada cintakan ilmu dan
ulama.
Semua ini tidak dapat diubah hanya dengan
doa akhir dan doa awal tahun semata-mata. Ia boleh dimotivasikan dengan
kuliah-kuliah ilmu, tazkirah dan baki zikrullah berbentuk aplikasi dan
analisis. Bukan ritual semata-mata.
Agama Islam bukanlah disiplin ritual
semata-mata. Ia adalah the way of live. Panduan hidup yang perlu kepada
aplikasi. Sumbernya al-Quran telah dijamin kekal hingga ke saat terakhir
dunia ini. Tidak syak lagi, kalau kita sendiri yang menukar gantinya
dengan jumud, amalan ritual semata-mata. Kita memang pasti tidak akan
terpandu.
Semoga tulisan ini bermanfaat. Segala teguran membina sangat dialu-alukan. Wassalam.


