SYEIKH ABDUR RAHMAN PAUH BOK
Koleksi Tulisan Allahyarham Wan Mohd. Shaghir Abdullah
RIWAYAT
hidup ulama yang diperkenalkan ini, buat pertama kalinya pernah penulis
muat dalam majalah Al-lslam, November dan Disember 1989 di bawah judul,
Tabaqat Para Ulama Patani.
Mengenai
nama ulama ini bermula diketahui dari beberapa buah kitab karya
ulama-ulama dunia Melayu, di antaranya dalam kitab Kaifiyat Khatamil
Quran tersebut nama Syeikh Muhammad Shalih bin Abdur Rahman al-Jawi
al-Fathani yang berasal dari Kampung Pauh Bok. Beliau ini adalah salah
seorang ulama besar yang mengajar di Masjidil Haram, Mekah. Syeikh Daud
bin Abdullah al-Fathani adalah termasuk salah seorang murid beliau.
Dalam kitab
Lum’atul Aurad karya Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani
menyebut, beliau mengambil ijazah doa Hizbul Bahri dari Syeikh Abdullah
bin Muhammad Shalih, ulama ini juga berasal dari Kampung Pauh Bok
Fathani.
Salah sebuah
manuskrip karya Abdur Rauf bin Abdul Ma’ruf al-Jawi al-Fathani, juga
berasal dari Kampung Pauh Bok. Beliau adalah murid juga kepada Syeikh
Muhammad Shalih bin Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok yang tersebut di atas.
Salah sebuah
di antara manuskrip Al-‘Urwatul Wutsqa karya Syeikh Abdus Shamad
al-Falimbani ditulis dalam bahasa Melayu, beliau menamakan dirinya
dengan Lebai Abdus Shamad al-Jawi al-Fathani, bahawa beliau menerima
talqin bai’ah zikir daripada Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Mubin Pauh
Bok al-Fathani.
Nama Syeikh
Abdur Rahman bin Syeikh al-Imam Abdul Mubin al-Fathani terdapat pula
dalam sebuah manuskrip nombor kelas MI 697 halaman 30, bahawa beliau
berasal dari Kampung Pauh Bunga, iaitu nama lain untuk Kampung Pauh Bok.
Dalam kitab Fatihatul Kubra karya Syamsuddin al-Bahri bin Abdul Karim
bin Umar al-Fathani, terdapat nama Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Mubin
Pauh Bok al-Fathani yang digandingkan dengan nama Syeikh Hamzah
(maksudnya Syeikh Hamzah al-Fansuri) dan Syeikh Abdul Qadir al-Jilani.
Mengenai
Syeikh Imam Lebai Abdul Mubin Pauh Bok al-Fathani, iaitu ayah Syeikh
Abdur Rahman Pauh Bok, telah ditemui beberapa buah karyanya. Sebuah di
antaranya disalin oleh Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok bertarikh 1121
H/1709 M. Selanjutnya adik-beradik Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok dikenali
dengan Syeikh Abdullah bin Syeikh Imam Lebai Abdul Mubin, beliau adalah
penyusun kitab berjudul Tanbihul Ghafilin yang diselesaikan pada 1184
H/1770 M.
Kitab ini
masih tersebar di pasaran kitab sampai sekarang. Manuskrip salinan
semula kitab ini sangat banyak, salah sebuah daripadanya terdapat
salinan Haji Muhammad Husein bin Abdul Lathif al-Fathani/Tok Kelaba.
Penyelidikan
berjalan terus, akhirnya penulis berhasil menemui sebuah hikayat
mengenai beliau yang ditulis oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.
Hikayat tersebut diberi judul Hikayat Wali Allah Syeikh Abdur Rahman
Pauh Bok al-Fathani.
Catatan
terlengkap datuk nenek ulama ini hingga sampai kepada Syeikh Wan
Muhammad Arifin Syah al-Jarimi al-Fathani ditulis oleh Haji Abdul Mubin
al-Fathani bin Muhammad Thaiyib. Yang terakhir, penulis peroleh
salasilah keturunan adik perempuan Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok
al-Fathani di Brunei Darussalam.
Dari semua
maklumat tersebut, dapat disimpulkan bahawa Syeikh Abdur Rahman bin
Abdul Mubin Pauh Bok adalah seorang ulama Fathani Darus Salam yang
terkenal zaman dahulu, namun penulisan biografi beliau secara lengkap
memang belum pernah dilakukan.
Kesimpulan
lain pula bahawa sebelum kemunculan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani
sebagai seorang ulama yang menghasilkan karya yang banyak di Patani,
telah muncul beberapa orang ulama yang menulis kitab. Bahawa tahun-tahun
penulisan pada peringkat awal ulama-ulama berasal dari Patani dapat
disejajarkan dengan penulisan ulama-ulama Aceh di abad ke 16-17.
ASAL USUL
Nama lengkap
yang dapat dicatat ialah Syeikh Wan Abdur Rahman bin Syeikh Wan Abdul
Mubin III bin Syeikh Wan Muhammad Jailani bin Syeikh Muhammad Masari bin
Syeikh Wan Hamzah bin Syeikh Wan Abdul Mubin (Pertama) bin Syeikh Wan
Abdul Jabbar bin Syeikh Wan Muhammad Arifin Syah al-Jarimi al-Fathani.
Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani pada mukadimah hikayat mengenai ulama ini menulis, … Ada pun kemudian daripada itu, maka lagi akan berkata hamba yang faqir yang mempunyai taqsir, iaitu Daud bin Syeikh Wan Abdullah bin Syeikh Wan Idris Kerisik al-Fathani atau Kuala Bekah namanya pada masa dahulunya. Ada pun Tok Nyang Syeikh Pauh Bok asalnya Arab Hadhrami datang berniaga singgah di pantai Fathani. Maka berlayar mengikut tali sungai kecil hingga sampailah ke Kampung Pauh Bok. Dapatlah di situ zuriat yang bertuah namanya Abdur Rahman. Bolehlah dikatakan dia jadi Auliya’ Allah.
Oleh sebab
salasilah yang sahih tentang datuk-nenek Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok
sampai kepada Syeikh Muhammad ‘Arifin Syah, maka tidak jelas siapakah
yang pertama datang ke Pauh Bok seperti yang terdapat pada hikayat yang
ditulis oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani itu, oleh itu
disimpulkan bahawa datuk-neneknya memang berasal dari Arab Hadhrami.
Adik beradik
Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok ada 11 orang, selanjutnya dapat dirujuk
pada buku penulis berjudul Penyebaran Islam & Salasilah Ulama
Sejagat Dunia Melayu, PENGENALAN Siri ke-4, hlm. 11-12.
PENDIDIKAN
Memperhatikan
tahun Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani menyalin karya ayahnya
tahun 1121 H/1709 M, maka dapat diandaikan bahawa beliau hidup sezaman
dengan Syeikh Abdul Malik Terengganu (Tok Pulau Manis).
Dipercayai
Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok mendapat pendidikan awal daripada ayahnya
sendiri Syeikh Abdul Mubin III bin Muhammad Jailani, seorang ulama yang
mengasaskan Pondok-pengajian Pauh Bok yang banyak mengkaderkan umat
sehingga keluar sebagai ulama-ulama besar. Pondok
Pauh Bok yang tersebut adalah merupakan pondok pengajian Islam tua di
Patani yang masih dapat dibuktikan beberapa kesan peninggalannya sampai
sekarang ini. Ada pun pondok-pondok
lain di Patani, baik yang jauh lebih awal mahupun yang sezaman dengan
Pondok Pauh Bok sukar dibuktikan peninggalan-peninggalannya.
Pondok Pauh
Bok di antara dua institusi pengajian pondok yang masih dapat dikesan,
yang satu lagi ialah Masjid Telok Manok bekas Pondok-pengajian Wan
Husein al-Aidrus. Kedua-duanya tidak kalah kemasyhurannya dengan
institusi pengajian di Aceh yang dijalankan oleh Syeikh Abdur Rauf bin
Ali al-Fansuri atau dengan ulama-ulama yang sezaman dengannya. Institusi sistem pengajian Pondok Pauh Bok, Patani sangat menarik untuk dibincangkan selanjutnya.
Selain
mendapat pendidikan dari ayahnya sendiri, Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok
belajar juga kepada beberapa orang ayah saudaranya, iaitu Syeikh Wan
Muhammad Shalih, Syeikh Wan Abbas dan Syeikh Wan Muhammad Yunus.
Setelah
ilmunya cukup banyak yang diperoleh di Pondok Pauh Bok, semuanya dari
golongan keluarga terdekat, maka beliau melanjutkan pelajarannya ke
Mekah. Tidak jelas kepada siapa beliau belajar di Mekah, tetapi
diriwayatkan selanjutnya ketika belajar di Madinah, Syeikh Abdur Rahman
Pauh Bok bersahabat dengan Syeikh Muhammad bin Abdul Karim as-Sammani,
atau yang terkenal dengan Syeikh Saman (1130 H/1717 M -1189 H/1775 M)
itu.
Disebabkan
tawaduknya, setelah Syeikh Muhammad bin Abdul Karim Samman itu muncul
sebagai Mujaddid dan Syeikh Mursyid Kamil Mukammil dalam Thariqat
Samaniyah, lalu Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok menerima baiah Tarekat
Samaniyah kepada ulama tersebut, walau pun beliau jauh lebih tua
daripada Syeikh Muhammad bin Abdul Karim Samman. Penulis lebih meyakini
bahawa selama belajar di Madinah, Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok lebih
banyak belajar kepada Syeikh Mustafa bin Kamaluddin al-Bakri (lahir 1099
H/1688 M, wafat 1162 H/1749 M), jika dibandingkan dengan Syeikh
Muhammad bin Abdul Karim as-Samman. Syeikh
Mustafa bin Kamaluddin al-Bakri adalah guru bagi Syeikh Muhammad bin
Abdul Karim as-Samman itu. Pada naskhah karya ayahnya yang disalin
olehnya ada dicatat bahawa ayahnya Syeikh Abdul Mubin dan beliau sendiri
adalah murid Syeikh Ibrahim Tok Hasan al-Kurani al-Madani, mungkin
maksudnya ialah Syeikh Ibrahim al-Kurani (lahir 1023 H/1614 M, wafat
1102 H/1690 M).
Mungkin
Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok belajar kepada Syeikh Ibrahim al-Kurani itu
dalam masa penghujung hayat ulama itu, dan Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok
ketika itu masih sangat muda. Jadi jika berdasarkan ini, bererti Syeikh
Abdur Rahman Pauh Bok sempat hidup sezaman dengan Syeikh Abdur Rauf bin
Ali al-Fansuri. Mungkin beliau berumur panjang sehingga sempat pula
belajar kepada Syeikh Mustafa bin Kamaluddin al-Bakri dan sempat pula
menuntut bersama Syeikh Muhammad bin Abdul Karim as-Samman yang jauh
lebih muda daripada beliau. Wallahu a’lam.
AKTIVITI
Diriwayatkan
bahawa Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok sebelum pulang ke kampung
halamannya, beliau pernah mengajar di Masjid an-Nabawi Madinah, juga
pernah mengajar di Masjidil Haram Mekah. Jika riwayat ini adalah benar,
bererti beliau adalah orang Melayu yang pertama pernah mengajar di
Masjid an-Nabawi Madinah, bahkan hingga kini memang belum diketahui
orang Melayu selain beliau yang pernah mengajar di masjid tersebut. Ada pun Masjidil Haram Mekah memang ramai ulama yang berasal dari negeri-negeri Melayu yang pernah mengajar di sana.
Selain itu,
sebelum Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani tinggal menetap di Pauh
Bok, beliau ditugaskan oleh sahabatnya berkali-kali pulang balik dari
tanah Jawi ke Mekah-Madinah, selain membawa jemaah haji, sekali gus
menyebarkan agama Islam dengan menggunakan kaedah Tarekat
Khalwatiyah-Sammaniyah.
Pada waktu
menjalankan tugas-tugas itulah, dipercayai bahawa Syeikh Abdur Rahman
Pauh Bok berkunjung di banyak tempat dalam alam Melayu. Tempat-tempat
yang dapat diketahui pernah dikunjunginya ialah Terengganu, Kelantan
dan Brunei. Oleh sebab itulah barangkali anak saudaranya bernama Haji
Wan Sulaiman sebagai khadamnya memperoleh anak di Kampung Tendong,
Patani, namanya Haji Wan Muhammad, di Kampung Ibai, Terengganu, namanya
Wan Ismail, anaknya di Brunei bernama Pehin Orang Kaya Di Gadong Wan
Syihabuddin (Shahbuddin) dan Wan Radhiah.
Ini kerana
di Brunei, Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok sempat mengajar masyarakat di
sana, sehingga beliau digelar oleh masyarakat dengan ‘Tok Lubuk’.
Gelaran ini barangkali kerana berasal dari perkataan ‘Pauh Bok’ itu.
Berapa lama Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok berulang alik dari Mekah-Madinah ke tanah Jawi mengurus jemaah haji tersebut tidak diketahui dengan pasti, pekerjaan itu dihentikan setelah beliau tetap mengajar di Pondok Pauh Bok sebagai pengganti tugas ayahnya Syeikh Abdul Mubin III al-Fathani, pengasas pondok itu.
Berapa lama Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok berulang alik dari Mekah-Madinah ke tanah Jawi mengurus jemaah haji tersebut tidak diketahui dengan pasti, pekerjaan itu dihentikan setelah beliau tetap mengajar di Pondok Pauh Bok sebagai pengganti tugas ayahnya Syeikh Abdul Mubin III al-Fathani, pengasas pondok itu.
Setelah
tetap mengajar di satu institusi pondok, maka terkenallah beliau sebagai
seorang Wali Allah yang sangat banyak karamah lalu digelar dengan Tok
Nyang Wali Allah Perobok atau Tok Nyang Perobok atau Tok Perobok saja.
Murid beliau pula sangat ramai.
KARYA-KARYA
Di dalam
buku penulis, Manhalus Shafi Syeikh Daud Al-Fathani dijelaskan bahawa
kitab Manhalus Shafi selain dikatakan sebagai karya Syeikh Daud bin
Abdullah al-Fathani, juga dikatakan sebagai karya Syeikh Abdur Rahman
Pauh Bok.
Selain
Manhalus Shafi, terdapat karya-karya beliau yang lain, yang telah
dikenal pasti ialah: Mir-atul Haq, judul terjemahan beliau sendiri ialah
Cermin Yang Sebenar-benarnya. Kitab ini telah disalin oleh salah
seorang keturunan Syeikh Abdul Mubin yang pada kulit mukanya beliau buat
catatan, “Pada bulan Muharam sanah 1407 Hijrah mula menulis kitab ini
oleh keturunan Tok Nyang Syeikh Perobok, selamat sempurnanya, wassalam”.
Kandungan
kitab Mir-atul Haq karya Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok ialah mengenai
ilmu tasawuf. Di dalam kitab tersebut beliau menyebut beberapa buah
kitab yang telah beliau rujuk di antaranya Kitab Tasawuf karya Syeikh
Muhyiddin Ibnu ‘Arabi, kitab Wahdatul Wujud karya Syeikh Abdul Qadir al-
Jilani dan Asrarul Insan karya Syeikh Nuruddin ar- Raniri.
Pada akhir
karyanya beliau juga menyebut nama gurunya, juga guru kepada ayahnya
iaitu Syeikh Ibrahim Tok Hasan al-Kurani al-Madani.
Ada sebuah
lagi karya Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Mubin Pauh Bok, manuskrip asli
tulisan tangan beliau ada dalam simpanan penulis. Kitab tersebut
membahas secara mendalam pelbagai aspek tentang akidah Ahlus Sunnah wal
Jamaah. Oleh sebab manuskrip tersebut tidak lengkap, maka tahun selesai
penulisan belum diketahui. Penulis belum mengetahui di mana tersimpan
manuskrip karya akidah tersebut, selain manuskrip yang telah penulis
punyai itu.
Penulis
belum mendapat maklumat apakah karya tersebut pernah diterbitkan atau
pun belum pernah diterbitkan. Namun dugaan penulis kuat mengatakan
bahawa kitab yang tersebut memang belum pernah dilakukan penyalinan
semula, demikian juga tentang penerbitannya berupa bahan cetakan. Sebuah
karya beliau yang bercorak wasiat mengenai pengamalan tasawuf, diberi
judul oleh penyalin bernama Ibnu Qaim Abdus Shamad, judulnya dapat
diketahui pada salinan ialah Wasiat Syeikh Abdur Rahman Ibnu Haji Abdul
Mubin Kepada Segala Muridnya. Tarikh wasiat dan selesai penyalinan tidak
terdapat.
Sesudah
wasiat, dilampirkan pula satu judul yang dinamakan Kaifiyat Khalwat.
Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Mubin Pauh Bok memulai penulisan mengenai
tatacara khalwat, katanya, “Hendaklah diperbuat peti sekadar setinggi
berdiri dan beserta sekadar duduk bersila. Dan orang yang hendak masuk
khalwat itu dibiasakan dirinya itu menjauh daripada orang barang
setengah tahun supaya jinak hati itu serta dengan mujahadah. Dan
dikurangkan makannya, sedikit-dikit minum pun dikurang juga”.
Sekian
banyak karya dalam bahasa Melayu yang telah dijumpai, dalam pengamatan
penulis, naskhah yang dibicarakan ini pada bahasan khusus mengenai
tatacara mengerjakan khalwat nampaknya adalah yang paling lengkap.
Beberapa
perkara yang dibahas di antaranya belum pernah dijumpai dalam
kitab-kitab selainnya. Di dalam risalah tersebut termuat pula satu cara
sembahyang sunat yang dinamakan Sunat al-Maqam Mutawajjihan wa
Taqarruban ilallah.
Diiringi
risalah selanjutnya merupakan ijazah dari Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok
kepada murid kesayangannya bernama al-Haji Ahmad ibnu Muhammad Shalih
al-Haji Abdus Shamad. Pada mukadimah risalah, setelah puji-pujian dan
selawat dinyatakan,
Selanjutnya setelah selesai doa dalam bahasa Arab dinyatakan,Ada pun kemudian dari itu, maka bahawasanya saudara pada Allah yang berpegang dengan qalallah (maksudnya firman Allah) yang beroleh taufik, lagi fana ia pada mengasihi Allah, iaitu Tuan Haji Ahmad ibnu Muhammad Shalih al-Haji Abdus Shamad, sesungguhnya telah mengambil talqin zikir dan bai’ah dari fakir yang hina, lagi jadi khadam segala faqir, iaitu Haji Abdur Rahman anak Imam Abdul Mubin Pauh Bok …”.
Mudah-mudahan diampuni (oleh) Allah ia dan dua ibu bapanya, dan disucikan ia akan rahsianya, dan segala gurunya, dan segala saudaranya, dan yang mengikutnya, dan bagi sekalian Islam, Amin”.
Setelah itu
disambung dengan salasilah dimulai dari nama sahabat dan guru beliau,
ialah Quthbul Akwan Muhammad, anak Abdul Karim al-Madani asy-Syahir bis
Samman. Pada akhir risalah
dicatatkan bahawa Haji Ahmad ibnu Muhammad Shalih itu wafat pada hari
Rabu empat likur bulan Rejab 1258 H/1842 M. Risalah terakhir
diselesaikan penyalinan pada hari Isnin, 12 Ramadan 1258 H/1842 M.
Setelah
penulis membanding karya-karya pendek Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok
al-Fathani yang dikumpulkan dalam satu manuskrip tersebut, penulis
berkesimpulan bahawa cara penulisan demikian pernah dilakukan oleh
Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i dan Syeikh Yusuf Tajul Khalwati.
Kemungkinan
model penulisan kedua-dua ulama itu mempunyai kesan tersendiri terhadap
Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani. Mengenai kandungan dalam karya
sufi keseluruhannya juga tidak banyak perbezaan antara ulama-ulama yang
berasal dari Aceh, Bugis dan Patani itu.
KETURUNAN DAN MURID
Mengenai
keturunan Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok belum banyak diperoleh
keterangan. Namun yang dapat diketahui ada dua orang, ialah Syeikh
Muhammad Shalih dan Syeikh Ahmad.
Syeikh
Muhammad Shalih bin Abdur Rahman Pauh Bok tinggal di Mekah. Beliau
adalah seorang ulama besar yang mengajar di Masjidil Haram, Mekah. Kedua
yang bernama Syeikh Ahmad Pauh Bok juga seorang ulama. Beliau ini juga
menghasilkan karangan, yang telah ditemui manuskripnya ialah Qawa’id
Masailil Faraidh.
Anak Syeikh
Muhammad Shalih Pauh Bok yang menjadi ulama ialah Syeikh Abdullah bin
Syeikh Muhammad Shalih Pauh Bok. Ketiga-tiga yang tersebut, iaitu dua
orang anak dan seorang cucu beliau itu adalah ulama-ulama besar yang
mengajar di Masjidil Haram, Mekah. Sangat ramai ulama dunia Melayu yang
belajar kepada kedua-duanya di Mekah terutama Syeikh Muhammad Shalih
Pauh Bok yang tersebut. Antara anak murid Syeikh Abdul Rahman Pauh dan
anaknya, Syeikh Muhammad Shalih yang terkenal ialah:
- Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani yang terkenal dengan kitab Hidayatus Salikin dan Siyarus Salikinnya.
- Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, yang maklumat tentang beliau sudah cukup banyak diperkenalkan.
- Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Ma’ruf al-Fathani. Beliau ini juga berasal dari kampung Pauh Bok. Salah satu karya beliau yang masih berupa manuskrip juga telah ditemui.
- Syeikh Abdur Rauf bin Abdul Wahid al-Fathani. Beliau ini juga berasal dari Pauh Bok. Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani pernah belajar kepada ulama ini.
- Syeikh Wan Hasan bin Syeikh Wan Ishaq al-Fathani. Beliau ini juga berasal dari Kampung Pauh Bok, kemudian menyebarkan Islam di Terengganu, berpusat di Besut. Di antara karya beliau yang telah ditemui baru dua buah, iaitu Hidayatul Mukhtar dan terjemahan Aiyuhal Walad al-Ghazali.
- Syeikh Wan Ali bin Syeikh Wan Ishaq al-Fathani. Beliau adalah saudara kandung kepada Syeikh Wan Hasan (nombor 5 di atas).
- Dan lain-lain ramai lagi yang belum dapat disebutkan di sini.
Demikianlah
maklumat pengenalan Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Mubin Pauh Bok
al-Fathani yang wafat di Madinah dan kuburnya bersebelahan dengan kubur
Syeikh Muhammad bin Abdul Karim as-Saman al-Madani, guru dan sahabatnya
yang dikatakan sebagai Wali Quthub pada zamannya itu. Wallahu A’lam.