SYEIKH ABDUL MUHYI PAMIJAHAN
Penyebar Tasawuf di Jawa Barat
Koleksi tulisan HAJI WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
SEBAGAIMANA
telah diketahui bahawa pelaku utama berkembangnya Thariqat Syathariyah
di Asia Tenggara pada peringkat awal dilakukan oleh Syeikh Abdur Rauf
bin Ali al-Fansuri di Aceh dan Syeikh Abdul Mubin bin Jailan al-Fathani
di Pattani.

Makam Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan
Syeikh Abdur
Rauf mempunyai beberapa orang murid sebagai kadernya yang terkenal, di
antara mereka ialah; Syeikh Burhanuddin Ulakan di Minangkabau, Syeikh
Abdul Malik di Terengganu, dan ramai lagi, termasuklah Syeikh Abdul
Muhyi Pamijahan yang akan dibicarakan ini.
Ulama ini
cukup terkenal dalam percakapan lisan di Jawa Barat, terutama sekali
mengenai keramat-keramatnya. Bahan mentah yang berupa cerita lisan
masyarakat yang bercorak mitos atau legenda atau dongeng yang
berbagai-bagai versi penyampaiannya lebih banyak diperoleh, jika
dibandingkan dengan berupa bahan yang bertulis. Walau bagaimanapun, ada
tiga buah manuskrip, iaitu nombor kelas LOr.7465, LOr 7527 dan LOr.7705,
di Muzium Negeri Belanda dikatakan bahawa adalah karya Syeikh Abdul
Muhyi Pamijahan.
Sewaktu
penulis melanjutkan tugasan mengkatalogkan manuskrip yang tersimpan di
Muzium Islam Pusat Islam (BAHAEIS), 1992, maka pada manuskrip nombor
kelas MI 839 di beberapa tempat ada menyebut nama Syeikh Abdul Muhyi
Karang Pamijahan, seolah-olah naskhah itu dinuqil daripada ajaran ulama
sufi yang tersebut. Naskhah ditulis dalam bahasa Melayu dan disalin di
Pulau Pinang. Selain itu, penulis juga mempunyai sebuah karya Syeikh
Abdul Muhyi Pamijahan, juga dalam bahasa Melayu, yang membicarakan
Martabat Tujuh.
ASAL USUL DAN PENDIDIKAN
Syeikh Haji
Abdul Muhyi adalah salah seorang keturunan bangsawan. Ayahnya bernama
Sembah Lebe Warta Kusumah, adalah keturunan raja Galuh (Pajajaran).
Abdul Muhyi lahir di Mataram, Lombok, Nusa Tenggara Barat, pada 1071
H/1660 M dan wafat di Pamijahan, Bantarkalong, Tasikmalaya, Jawa Barat,
1151 H/1738 M. Abdul Muhyi dibesarkan di Ampel, Surabaya, Jawa Timur.
Pendidikan agama Islam pertama kali diterimanya daripada ayahnya sendiri
dan kemudian daripada para ulama yang berada di Ampel. Dalam usia 19
tahun, ia berangkat ke Aceh untuk melanjutkan pendidikannya dan belajar
dengan Syekh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Lebih kurang enam tahun
lamanya Syeikh Abdul Muhyi belajar dengan ulama besar Aceh itu, iaitu
dalam lingkungan tahun 1090 H/1679 M-1096 H/1684 M.
Tahun
pembelajaran Syeikh Abdul Muhyi di Aceh kepada Syeikh Abdur Rauf bin Ali
al-Fansuri itu, kita dapat membandingkan dengan tahun pembelajaran
Syeikh Burhanuddin Ulakan yang dipercayai termasuk seperguruan
dengannya.
Syeikh
Burhanuddin Ulakan yang berasal dari Minangkabau itu belajar kepada
Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri bermula pada 1032 H/1622 M, tetapi tahun
ini tetap masih dipertikaikan kerana riwayat yang lain menyebut bahawa
ulama yang berasal dari Minangkabau itu dilahirkan pada tahun 1066
H/1655 M.
Maka kita
perlu membandingkan dengan tahun kelahiran Syeikh Yusuf Tajul Khalwati
dari tanah Bugis-Makasar, iaitu 1036 H/1626 M, selanjutnya keluar dari
negerinya menuju ke Banten 1054 H/1644 M, seterusnya ke Aceh belajar
kepada Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri juga. Selain itu, dapat juga
kita bandingkan dengan tahun kehidupan Syeikh Abdul Malik (Tok Pulau
Manis) Terengganu, iaitu tahun 1060 H/1650 M hingga tahun 1092 H/1681 M;
Semua ulama yang tersebut dikatakan adalah murid Syeikh Abdur Rauf bin
Ali al-Fansuri. Banyak pula ulama bercerita bahawa semua mereka termasuk
Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan adalah bersahabat.
Dengan
perbandingan-perbandingan tahun tersebut, dapat kita ketahui bahawa
tahun-tahun itu masih bersimpangsiur, masih sukar untuk ditahqiqkan.
Yang sahih dan tahqiq hanyalah mereka adalah sebagai murid Syeikh Abdur
Rauf bin Ali al-Fansuri di Aceh. Yang lebih menarik lagi, bahawa semua
mereka, kecuali Syeikh Burhanuddin Ulakan, diriwayatkan sempat belajar
ke luar negeri ke Mekah, Madinah, Baghdad dan lain-lain. Termasuk Syeikh
Abdul Muhyi diriwayatkan adalah murid kepada Syeikh Ibrahim al-Kurani
di Mekah dan Syeikh Ahmad al-Qusyasyi di Madinah, yang kedua-dua ulama
itu adalah ulama ahli syariat dan haqiqat yang paling terkenal pada
zamannya.
Setelah
Syeikh Abdul Muhyi lama belajar di Mekah dan Madinah, beliau melanjutkan
pelajarannya ke Baghdad. Tidak jelas berapa lama beliau tinggal di
Baghdad, tetapi diriwayatkan ketika beliau berada di Baghdad hampir
setiap hari beliau menziarahi makam Syeikh Abdul Qadir al-Jilani yang
sangat dikaguminya.
Dalam
percakapan masyarakat, Syeikh Abdul Muhyi adalah termasuk
keturunan/zuriat Syeikh Abdul Qadir al-Jilani, Wali Allah, Quthbul
Ghauts, yang sangat terkenal itu. Riwayat yang lain diceritakan bahawa
Syeikh Abdul Muhyi ke Baghdad dan Mekah adalah mengikuti rombongan
gurunya, Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Dari Baghdad beliau
kembali lagi ke Mekah dan selanjutnya kembali ke Jawa dan berkahwin di
Ampel.
AKTIVITI
Setelah
selesai perkahwinan di Ampel, Syeikh Abdul Muhyi bersama isteri dan
orang tuanya berpindah ke Darma, dalam daerah Kuningan, Jawa Barat.
Selama lebih kurang tujuh tahun (1678 M-1685 M) menetap di daerah itu
mendidik masyarakat dengan ajaran agama Islam. Kemudian berpindah pula
ke daerah Pameungpeuk, Garut, Jawa Barat. Di daerah itu, beliau hanya
menetap lebih kurang setahun saja (1685-1686), walau bagaimanapun beliau
berhasil menyebarkan agama Islam kepada penduduk yang ketika itu masih
menganut agama Hindu.
Pada 1686
ayahnya meninggal dunia dan dimakamkan di kampung Dukuh, di tepi Kali
Cikangan. Beberapa hari selepas pemakaman ayahnya, Syeikh Abdul Muhyi
berpindah ke daerah Batuwangi. Beliau berpindah pula ke tempat yang
berhampiran dengan Batuwangi iaitu ke Lebaksiuh. Selama lebih kurang
empat tahun di Lebaksiuh (1686 M-1690 M), Syeikh Abdul Muhyi berhasil
mengislamkan penduduk yang masih beragama Hindu ketika itu.
Menurut
cerita, keberhasilannya dalam melakukan dakwah Islam terutama kerana
Syeikh Abdul Muhyi adalah seorang Wali Allah yang mempunyai karamah,
yang dapat mengalahkan bajingan-bajingan pengamal “ilmu hitam” atau
“ilmu sihir”. Di sanalah Syeikh Abdul Muhyi mendirikan masjid, tempat ia
memberikan pengajian untuk mendidik para kader yang dapat membantunya
menyebarkan agama Islam lebih jauh ke bahagian selatan Jawa Barat.
Kemudian
Syeikh Abdul Muhyi berpindah ke satu desa, iaitu Gua Safar Wadi di
Karang Pamijahan, Tasikmalaya, Jawa Barat. Perpindahannya ke Karang
Pamijahan itu, menurut riwayat bahawa beliau diperintahkan oleh para
Wali Allah dan perjumpaan secara rohaniah kepada Syeikh Abdul Qadir
al-Jilani, supaya beliau mencari suatu gua untuk tempat berkhalwat atau
bersuluk di Jawa Barat. Cerita mengenai ini banyak dibungai dengan
berbagai-bagai dongeng yang merupakan kepercayaan masyarakat terutama
golongan sufi yang awam.
Bagi
mengimbangi cerita yang bercorak mitos itu, ada riwayat yang bercorak
sejarah, bahawa Syeikh Abdul Muhyi diundang oleh Bupati Sukapura,
Wiradadaha IV, R. Subamanggala untuk memerangi dan membasmi
ajaran-ajaran sihir yang sesat Batara Karang di Karang Pamijahan dan di
gua Safar Wadi itu. Di kedua-dua tempat tersebut adalah tempat
orang-orang melakukan pertapaan kerana mengamalkan ilmu-ilmu sihirnya.
Oleh sebab
Syeikh Abdul Muhyi memang hebat, beliau pula dianggap sebagai seorang
Wali Allah, maka ajaran-ajaran sihir yang sesat itu dalam waktu yang
singkat sekali dapat dihapuskannya. Penjahat-penjahat yang senantiasa
mengamalkan ilmu sihir untuk kepentingan rompakan, penggarongan dan
kejahatan-kejahatan lainnya berubah menjadi manusia yang bertaubat pada
Allah, setelah diberikan bimbingan ajaran Islam yang suci oleh Syeikh
Abdul Muhyi, Wali Allah yang tersebut itu.
Gua Safar
Wadi pula bertukar menjadi tempat orang melakukan ibadat terutama
mengamalkan zikir, tasbih, tahmid, selawat, tilawah al-Quran dan
lain-lain sejenisnya. Maka terkenallah tempat itu sebagai tempat orang
melakukan khalwat atau suluk yang diasaskan oleh ulama yang terkenal
itu.
Disingkatkan
saja kisahnya, bahawa kita patut mengakui dan menghargai jasa Syeikh
Abdul Muhyi yang telah berhasil menyebarkan Islam di seluruh Jawa Barat
itu. Bukti bahawa beliau sangat besar pengaruhnya, sebagai contoh Bupati
Wiradadaha IV, iaitu Raden Subamanggala pernah berwasiat bahawa jika
beliau meninggal dunia supaya beliau dikuburkan di sisi gurunya Syeikh
Abdul Muhyi Pamijahan itu. Tempat tersebut sekarang lebih dikenali
dengan nama Dalem Pamijahan.
Murid-murid
yang tertentu, Syeikh Abdul Muhyi mentawajjuhkannya menurut metod atau
kaedah Thariqat Syathariyah yang salasilahnya diterima daripada Syeikh
Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Walaupun tarekat yang sama diterimanya
juga kepada Syeikh Ahmad al-Qusyasyi, iaitu guru juga kepada Syeikh
Abdur Rauf al-Fansuri, namun Syeikh Abdul Muhyi memulakan salasilahnya
tetap menyebut Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Hal demikian kerana
tarekat yang tersebut memang terlebih dulu diterimanya daripada Syeikh
Abdur Rauf bin Ali al Fansuri.
Setelah
beliau ke Mekah, diterimanya tawajjuh lagi daripada Syeikh Ahmad
al-Qusyasyi itu. Maka berkembanglah Thariqat Syathariyah yang berasal
daripada penyebaran Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri itu di
tempat-tempat yang tersebut, melalui bai’ah, tawajjuh, dan tarbiyah
ruhaniyah yang dilakukan oleh Syeikh Abdul Muhyi muridnya itu.
KETURUNAN
Menurut
riwayat, Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan mempunyai empat isteri. Hasil
erkahwinannya itu, beliau memperoleh seramai 18 anak. Menerusi Raden Ayu
Bakta, memperoleh anak bernama Kiyai Haji Muhyiddin atau digelar Dalem
Bojong. Namun menurut Aliefya M. Santrie, dalam buku Warisan Intelektual
Islam Indonesia, setelah beliau pulang dari Pamijahan beliau menemukan
satu artikel dalam majalah Poesaka Soenda yang menunjukkan bahawa tidak
identiknya Kiyai Haji Muhyiddin dengan Dalem Bojong.
Kedua-duanya
memang anak Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan, tetapi Kiyai Haji Muhyiddin
personaliti tersendiri dan Dalem Bojong personaliti yang lain pula.
Menurutnya makam Kiyai Haji Muhyiddin dalam majalah itu disebut namanya
yang lain, iaitu Bagus Muhyiddin Ajidin, terletak di sebelah selatan
makam Syeikh Abdul Muhyi, sedang makam Dalem Bojong terletak di sebelah
timur.
Barangkali
keturunan Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan itu sangat ramai yang menjadi
ulama di daerah Jawa Barat, sewaktu penulis berulang-alik di Pondok
Gentur, Cianjur (1986 M-1987 M) difahamkan bahawa Kiyai Haji Aang Nuh di
pondok pesantren adalah termasuk keturunan Syeikh Abdul Muhyi
Pamijahan. Penulis sendiri menerima beberapa amalan wirid dari kiyai itu
dan ternyata memang terdapat hadiah al-Fatihah untuk Syeikh Abdul Muhyi
Pamijahan dan beberapa ulama lainnya untuk memulakan amalan.
Dari Kiyai
Haji Aang Nuh juga, penulis mendengar cerita-cerita yang menarik
mengenai Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan. Sampai sekarang Pondok pesantren
Gentur dikunjungi mereka yang mempunyai permasalahan yang sukar
diselesaikan dari seluruh Indonesia, tempat itu sentiasa ramai kerana
doa kiyai itu dianggap mustajab.
Di
Pondok-pesantren Gentur itu tidak mengajar disiplin ilmu sebagai
pondok-pesantren lainnya, di situ hanya mengajar amalan-amalan wirid
terutama selawat atas Nabi Muhammad. Penulis sempat mewawancara
pengunjungnya, menurut mereka wirid atau amalan yang diterima dari kiyai
itu terbukti mustajab.
PENYELIDIKAN ILMIYAH
Oleh sebab
kepopularan ulama yang dianggap Wali Allah ini, beberapa sejarawan,
budayawan dan lain-lain telah berusaha menyelidiki biografi ulama yang
berasal dari Pulau Lombok itu. Di antara mereka umpamanya seorang
Belanda, Snouck Hurgranje, pernah mengembara di Jawa Barat dan di
Sukabumi menemukan beberapa naskhah karya yang dibangsakannya kepada
karya Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan.
R. Abdullah
Apap ibn R. Haji Miftah menyusun sebuah buku berjudul, Sejarah
Pamijahan: Kisah Perjuangan Syeik Haji Abdulmuhyi Mengembangkan Agama
Islam di Sekitar Jabar. Aliefya M. Santrie menulis artikel Martabat
(Alam) Tujuh Suatu Naskah Mistik Islam Dari Desa Karang, Pamijahan. Dan
ramai lagi tokoh yang membuat kajian mengenai ulama yang dibicarakan
ini.
Khas mengenai artikel Aliefya M. Santrie yang lebih menjurus kepada pengenalan ajaran Martabat Tujuh versi Kiyai Haji Muhyiddin yang ditulis dengan huruf pegon. Setelah penulis teliti dan membanding dengan naskhah yang ada pada penulis yang ditulis dalam bahasa Melayu/Jawi, yang juga tercatat sebagai karya Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan, memang banyak persamaan.
Khas mengenai artikel Aliefya M. Santrie yang lebih menjurus kepada pengenalan ajaran Martabat Tujuh versi Kiyai Haji Muhyiddin yang ditulis dengan huruf pegon. Setelah penulis teliti dan membanding dengan naskhah yang ada pada penulis yang ditulis dalam bahasa Melayu/Jawi, yang juga tercatat sebagai karya Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan, memang banyak persamaan.
Demikian
juga dengan manuskrip koleksi Muzium Islam Pusat Islam Malaysia nombor
kelas MI 839, membicarakan Martabat Tujuh yang merupakan nukilan karya
Syeikh Abdul Muhyi itu. Sungguhpun
demikian perlu kita ketahui bahawa ajaran Martabat Tujuh sebenarnya
bukanlah ciptaan Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan tetapi yang pertama
membicarakan ajaran itu ialah dalam kitab bahasa Arab berjudul Tuhfatul
Mursalah karya Syeikh Muhammad bin Fadhlullah al-Burhanpuri. Kitab
tersebut disyarah oleh Syeikh Abdul Ghani an-Nablusi.
Martabat
Tujuh dalam bahasa Melayu selain yang dibicarakan oleh Syeikh Abdul
Muhyi Pamijahan juga banyak, dimulai oleh ulama-ulama tasawuf di Aceh,
diikuti oleh Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari dengan Ad-Durrun Nafisnya,
Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani juga membicarakannya dalam Siyarus
Salikin, Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam Manhalus Shafi dan
ramai lagi.
Oleh itu,
perkembangan ilmu tersebut di dunia Melayu tumbuh subur, tak ubahnya
seperti perkembangan ilmu tauhid metode sifat 20 dan fiqh menurut Mazhab
Syafie pada zaman itu. Sebagai
menutup artikel ini, perlu juga penulis sebutkan sungguhpun Syeikh Abdul
Muhyi Pamijahan terkenal di seluruh Jawa Barat tetapi riwayat hidupnya
hampir-hampir tak dikenal di dunia Melayu lainnya. Oleh itu, artikel ini
adalah satu usaha memperkenalkannya yang disejajarkan dengan
ulama-ulama terkenal yang lain, yang hidup sezaman dengannya, iaitu
Syeikh Abdul Malik Terengganu Syeikh Burhanuddin Ulakan, Syeikh Yusuf
Khalwati, Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani dan ramai lagi.