SYEIKH ABDUR RASYID AL-FATHANI
Tok Keramat Pulau Bidan
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah
Penulis mula
mengenali tokoh yang digelar sebagai Tok Keramat Pulau Bidan ini
setelah membaca buku Kanzul Mu’id karya Tuan Mufti Haji Ahmad bin Syeikh
Muhammad Sa’id pada 1971.
Menurut
salasilah yang dibuat oleh Haji Nik Ishak Tingkat, Kelantan pada 1976
ada mencatatkan nama Syeikh Abdur Rahman sebagai saudara kandung Syeikh
Daud bin Abdullah al-Fathani yang suka mengembara sehingga tidak
diketahui di mana letaknya kubur beliau.
Oleh kerana
itu dalam buku karangan penulis berjudul Syeikh Daud bin Abdullah
al-Fathani, Ulama dan Pengarang Terulung Asia Tenggara (Hizbi, 1990, hlm
:14), penulis menyatakan “Berkemungkinan Syeikh Abdur Rasyid al-Fathani
adik Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani inilah yang disebut Tok
Keramat Pulau Bidan.” Perkataan “Berkemungkinan” di awal kalimat adalah
menunjukkan sesuatu yang belum pasti dalam pengkajian penulis.
Namun
akhirnya penulis menemui kesahihan setelah menziarahi beberapa pusat
pengajian pondok di Patani pada Mei 1991. Pusat pengajian pondok yang
mempunyai kaitan dengan tokoh ulama kali ini terletak di kampung bernama
Cenak, Wilayah Songkla, Thailand. Di
pondok pengajian tersebut juga tempat pertama Syeikh Zainal Abidin
al-Fathani/Tuan Minal bin Muhammad al-Fathani belajar pelbagai ilmu
keislaman sehingga beliau menjadi seorang ulama besar yang amat terkenal
di Asia Tenggara.
Hasil
perbualan dengan salah seorang keturunan pengasas pondok pengajian
tersebut, barulah penulis mengetahui bahawa pondok yang penulis kunjungi
itu adalah diasaskan oleh Syeikh Abdur Rasyid Pulau Bidan.
Maka terjawablah keraguan mengenai data lengkap biografinya yang penulis cari sejak tahun 1971 itu.
Pengenalan Sahsiah Syeikh Abdur Rasyid
Riwayat
hidup mengenai ulama di Cenak ini adalah berdasarkan cerita lisan
daripada beberapa keturunan beliau yang penulis temu bual. Ayah beliau
bernama Cik Din berasal dari Kampung Temperak, Cenak dalam Wilayah
Senggora (Songkhla).
Ditakdirkan
Allah pada suatu hari Abdur Rasyid hilang di tempat ia bermain-main.
Sehingga ahli keluarga menyangka beliau telah dimakan oleh harimau. Oleh
itu setelah berpuluh-puluh tahun lamanya, ahli keluarga menyangka
beliau telah pasti meninggal dunia.
Setelah
sekian lama, pada suatu hari ketika ibunya yang tua menjemur padi,
tiba-tiba dikejutkan oleh seorang pemuda yang datang mengusiknya. Lalu dimarahi oleh ibunya kerana beliau tidak kenal bahawa pemuda itu adalah anaknya yang telah hilang sekian lama.
Setelah
dikerumuni orang yang datang, barulah pemuda itu mengaku bahawa beliau
adalah Abdur Rasyid anak kepada perempuan tua yang diusiknya itu.
Beliau
menceritakan riwayatnya yang hilang sewaktu umurnya belum sampai enam
tahun. Beliau menceritakan bahawa pada mulanya beliau pergi belajar
pondok di Patani dan seterusnya menyambung pondok di Kedah dan
diteruskan di Pulau Pinang.
Pengembaraan
dari Patani ke Kedah hanya dengan berjalan kaki, manakala ke Pulau
Pinang pula dengan menumpang sampan kecil tanpa membawa wang walau
sedikit. Hanya sehelai sepinggang yang ada pada dirinya.
Setelah ilmu
yang dipelajari di Patani, Kedah dan Pulau Pinang sudah memadai, beliau
meneruskan mencari ilmu ke Mekah dan seterusnya mengembara ke Baitul
Maqdis. Beliau sempat mendalami pengetahuannya di Mekah tetapi tidak
diceritakan bahawa beliau mengajar di Mekah, tetapi diceritakan beliau
mengajar di Masjid Baitul Maqdis dan di kediamannya.
Bertahun-tahun
beliau mengajar, tidak pernah terlintas untuk pulang ke kampung
halamannya. Sehingga pada suatu malam ketika beliau mengajar, dilihatnya
seekor kucing mengiau-ngiau. Tidak
lama kemudian beliau melihat kucing itu menggonggong anaknya. Lalu
beliau menutup kitab yang sedang diajar dan termenung di hadapan
murid-muridnya yang juga menjadi hairan dengan kelakuan beliau.
Lalu beliau
berkata, “Sedangkan kucing atau pun binatang lainnya teringat dengan
anaknya. Aku sendiri sebagai seorang manusia mulai saat ini baru
terkenang dengan sanak saudaraku yang menjadi tanggungjawabku. Aku mesti
kembali ke tempat asalku.”
Dipendekkan
kisahnya, beliau kembali ke Cenak dengan membawa banyak kitab dengan
gambaran diangkut oleh tiga ekor gajah. Bahkan terdapat kitab-kitab yang
dibawanya masih tersimpan di pondok tersebut.
Tulisan
mutawal tentang beliau yang ditulis oleh Haji Ahmad bin Syeikh Muhammad
Said dalam Kanzul Mu’id, menurut beliau, “Al ‘Allamah al-Kabir
al-Fahamah Shahib….asy-Syeikh Abdur Rasyid al-Fathani yang dikubur akan
dia di Pulau Bidan. Dan kuburnya di sana dikenal akan dia lagi masyhur
menziarah kepadanya oleh manusia….”
Mengenai
kekeramatan beliau, menurut Mufti Haji Ahmad dalam kitabnya, “Baginya
beberapa karamah, yang adalah yang terlebih besar daripadanya bahawa
menghimpunkan ia sekalian kitabnya pada setengah daripada peperangan
yang terjadi di dalam negerinya.
Dan meletak
ia akan dia pada tepi sungai pada suatu tempat yang tiadalah di
antaranya dan antara langit dinding. Dan pergilah ia kepada satu
negeri…. Kemudian kembali ia kepada negerinya, maka mendapat ia akan
sekalian kitabnya seperti barang yang ada ia, tiada berubah dan binasa
ia….”
Masih banyak karamah yang diceritakan dalam kitab tersebut yang tidak dapat penulis senaraikan kesemuanya.
Oleh kerana
riwayatnya telah jelas dinyatakan dalam kitab Kanzul Mu’id tersebut,
maka Syeikh Abdur Rasyid Tok Keramat Pulau Bidan bukan saudara kandung
Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang suka mengembara sehingga sampai
kini belum ditemui riwayatnya.
Dari catatan
Tok Kelaba al-Fathani dapat diketahui beberapa orang sahabat Syeikh
Abdur Rasyid iaitu, Haji Abdus Shamad Kelaba, Imam Abdul Manaf, Haji
Abdul Majid Setang, Haji Abdul Majid Langgar Jambu, Tuan Pulau Canang
Kelantan dan Tuan Abdur Rasyid Cenak (Pulau Bidan).
Mengenai
pemikiran beliau pula, terdapat satu catatan Tuan Guru Haji Mahmud bin
Muhammad Yusuf Terengganu, iaitu murid Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas,
catatan itu berupa taqrir beliau mengenai pembahagian pusaka menurut
Islam dan manuskripnya masih dalam simpanan penulis. Sebuah lagi karya
yang diketahui ialah mengenai fikah yang diselesaikan di Kelantan tahun
1263H/1846M yang disimpan naskhahnya di Muzium Budaya Melaka.
Keturunan Yang Menjadi Ulama dan Tokoh Masyarakat
Sebagaimana
yang dinyatakan bahawa sekembalinya Syeikh Abdur Rasyid dari Baitul
Maqdis, beliau bersama besannya Haji Abdul Jalil dan Haji Muhammad
Shalih membuka sistem pengajian pondok di Cenak. Sehingga sekian lama
pondok pengajian yang diasaskan beliau masih diteruskan oleh keturunan
beliau.
Setelah berkahwin dengan Fathimah, Syeikh Abdur Rasyid memperoleh empat orang anak. Ketiga-tiga
menantu beliau merupakan murid-murid beliau yang menjadi ulama. Oleh
itu, setelah beliau meninggal dunia, pondok pengajian tersebut diganti
oleh menantunya yang bernama Haji Hasan bin Haji Abdul Jalil, iaitu
suami anak perempuan beliau iaitu Hajah Aisyah. Apabila
Haji Hasan meninggal dunia, diganti pula oleh Abdullah yang berasal
dari Bangkok. Sesudahnya diganti oleh Haji Awang dan seterusnya diganti
oleh Haji Abdul Syukur bin Syeikh Abdur Rasyid.
Sewaktu penulis menemu bual keturunan Syeikh Abdur Rasyid, beliau hanya mempunyai empat anak perempuan seperti yang dinyatakan. Penulis turut menemui nama Haji Abduys Syukur dalam beberapa kitab bahawa beliau adalah anak Syeikh Abdur Rasyid.
Perkahwinan
anak perempuan Syeikh Abdur Rasyid yang bernama Cik Wi dengan Haji
Muhammad Shalih telah memperoleh anak yang bernama Haji Muhammad Nur.
Beliau adalah seorang ulama yang sangat besar pengaruhnya di seluruh
Wilayah Senggora (Songkhla) pada zamannya.
Beliau
meninggalkan beberapa buah karya yang berupa risalah-risalah di
antaranya Risalah Usuluddin yang diselesaikan pada 15 Rejab 1373 H (1953
M).
Risalah
kecil tersebut dicetak pada cetakan kedua tahun 1381 H (1961 M). Di
akhir karyanya itu, beliau memberi nasihat dengan sepuluh perkara,
iaitu:
- Jangan tuan-tuan cerca kepada seorang yang tuan lihat ada pada tuan sendiri.
- Jangan tuan sesal akan suatu kebajikan yang tuan telah perbuat tetapi hendaklah tuan sesal atas kejahatan yang telah tuan kerjakan.
- Jangan tuan marah jikalau dikata orang, “tuan bodoh”, apabila tuan membuatkan seperti perbuatan orang yang bodoh.
- Jangan tuan nanti bantuan orang lain melainkan terlebih dahulu tuan bantu diri tuan sendiri.
- Jangan tuan bersahabat dengan seseorang sebelum tuan tahu bagaimana ia berlaku dengan sahabat-sahabatnya yang dahulu.
- Jangan segera tuan kata susah sesuatu pekerjaan sebelum tuan cuba lagi.
- Jangan tuan takut akan perkataan tuan yang sebenar tetapi hendaklah tuan takut akan perkataan tuan yang salah.
- Jangan tuan jaga diri orang lain sebelum tuan tahu bagaimana hendak menjaga diri tuan sendiri.
- Jangan tuan rosakkan sesuatu benda itu apabila tiada boleh membaikinya.
- Jangan tuan mengumpat-ngumpat atau mencacat-cacat suatu pakatan terlebih dahulu tuan mengesahkan terlebih banyaklah faedah daripada mudarat.
Nasihat atau
wasiat Haji Muhammad Nur iaitu cucu Syeikh Abdur Rasyid telah disalin
oleh anak beliau iaitu Tuan guru Haji Husein bin Haji Muhammad Nur, yang
dimuat dalam risalah kecilnya yang berjudul Hidangan Hikmah.
Risalah
tersebut dicetak dengan huruf Melayu/Jawi dan di bahagian bawahnya juga
digantungkan dengan huruf Thai. Haji Husein bin Haji Muhammad Nur pula
adalah seorang tokoh ulama Senggora.
Selain itu,
cucu Syeikh Abdur Rasyid ini juga meninggalkan ramai anak murid yang
menjadi ulama. Antaranya Tuan Guru Muhammad Encik muda, penyusun Risalah
Maju’is Shaghir.
Mufti Haji
Ahmad menulis tentang Hajah Wan Shafiyah iaitu salah seorang anak
perempuan Syeikh Abdur Rasyid. Menurutnya, dalam kitab Kanzul Mu’id
,”…al-Hajah Shafiyah daripada anak negeri Patani dan ia seorang
perempuan yang terlebih elok bacaan pada al-Quran. Lagi mengajar baginya
dibilang akan dia daripada yang lebih-lebih perempuan-perempuan
masanya….”
Sebagaimana
yang diketahui, Hajah Shafiyah berkahwin dengan ulama bernama Syeikh
Jamaluddin Linggi dan memperoleh anak yang iaitu Syeikh Muhammad Said,
iaitu seorang ulama besar yang diakui masyarakat pada zamannya. Beliau
pula memperoleh beberapa orang anak dan cucu yang menjadi ulama. Antara
anak-anak Syeikh Muhammad Said yang menjadi ulama ialah Haji Abdullah,
Haji Ahmad Mufti Negeri Sembilan dan Tuan Guru Haji Mansur iaitu salah
seorang saudaranya yang sempat penulis kenali pada tahun 1977 dan
meninggal dunia tahun 1981.
Tuan Guru
Haji Mansur sangat mengagumi Syeikh Ahmad al-Fathani, sehingga matan
Ar-Risalatul Fathaniyah/Nahu, Abniyatul Asma’ wal Af’al/Sharaf dan Syair
Syeikh Ahmad al-Fathani di akhir kitab I’anatut Thalibin dibaca olehnya
di hadapan penulis secara menghafal. Penulis
juga sempat menemu bual saudaranya Haji Muhammad Nur dalam tahun yang
sama iaitu pada 1971. Pada 1988, penulis menemu bual seorang lagi
saudaranya iaitu Haji Abdul Hamid dan daripada beliau penulis memperoleh
sepotong Syair Syeikh Ahmad al-Fathani dalam bahasa Arab yang terkumpul
dalam sebuah buku Syeikh Muhammad Said tersebut.
Dalam tahun
1411 H/1991 M, Pondok Cenak peninggalan Syeikh Abdur Rasyid Pulau Bidan
masih diteruskan. Ia dipimpin oleh Tuan Guru Haji Ismail bin Haji Abduys
Syukur dan sekali gus menggantikan saudara kandungnya iaitu Haji
Abdullah. Beliau diberi nama Ismail
kerana mengambil berkat kealiman Syeikh Ismail (Pak De El, Mekah) dan
Haji Abduys Syukur juga adalah sezaman dengan ulama tersebut iaitu,
Syeikh Ismail bin Abdul Qadir al-Fathani.
Tuan Guru
Haji Ismail adalah kelulusan sarjana muda sastera Universiti Madinah
yang pertama bersama sahabat beliau iaitu, Haji Yahya al-Lathifi yang
merupakan ulama Thailand yang terkenal. Haji Yahya juga adalah sepupu
Pak De El dan Syeikh Ahmad al-Fathani. Tuan Guru Haji Ismail meneruskan pengajian pondok tersebut dengan dibantu oleh anak-anaknya.
Kesimpulan
Menurut
penelitian penulis, sejarah hidup mengenai tokoh yang dikatakan Tok
Keramat Pulau Bidan ini cukup jelas. Selain sebagai seorang ulama besar,
beliau juga menurunkan ulama-ulama besar yang terkenal selepasnya.
Bahkan
institusi pengajian pondok yang dibinanya dapat diteruskan hasil
kesinambungan daripada keturunan beliau. Oleh itu, penyelidikan sejarah
mengenai beliau dan keturunannya perlu dijalankan dengan teliti kerana
jasa yang amat besar kepada masyarakat.