HAJI WAN SULAIMAN BIN WAN SIDEK
Haji
Wan Sulaiman bin Wan Sidek dilahirkan pada tahun 1874 di sebuah desa
pedalaman iaitu Kampung Pulau Tengah dalam Mukim Padang Kerbau, Daerah
Kota Star.
Setelah
bapanya meninggal dunia, ibunya, Wan Tam berusaha memberikan pendidikan
asas yang secukupnya kepada anaknya seperti membaca surat-surat jawi dan
Muqaddam. Ketika usianya 9 tahun, Haji Wan Sulaiman belajar Bahasa
Melayu di sebuah sekolah kepunyaan Haji Din sehingga lulus darjah tiga.
Apabila
berusia 12 tahun, Haji Wan Sulaiman dihantar pula belajar membaca
al-Quran dan Pengetahuan Agama Islam kepada Tuan Guru Haji Ismail
berasal dari Kelantan. Selepas itu, Haji Wan Sulaiman dihantar belajar
Bahasa Inggeris dengan Doktor Gomez (peranakan Ceylon) yang membuka
klinik perubatannya di Pekan Melayu. Tetapi disebabkan kenakalannya,
beliau sering dimarahi dan dipukul oleh gurunya. Hal itu menyebabkan
Haji Wan Sulaiman enggan meneruskan pengajiannya kerana menganggap
gurunya itu berbangsa kafir. Sejak itulah beliau berazam untuk
melanjutkan pelajaran ke Mekah.
Haji Wan
Sulaiman bertolak ke Mekah dengan dibiayai oleh ibu dan
saudara-saudaranya pada tahun 1887. Selama 17 tahun berada di Mekah,
Haji Wan Sulaiman berjaya menguasai pelbagai bidang ilmu agama Islam
termasuklah bahasa Arab, Nahu, Saraf, Hadis, pembacaan dan pengkajian
al-Quran dan ilmu Falakiah. Dalam masa tiga tahun terakhir, beliau
memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap Ilmu Tarekat Naksyabandiyah
Mujaddiyah Ahmadiyah. Dari gurunya iaitu Tuan Sheikh Fakir Muhammad
Al-Bukhari, Haji Wan Sulaiman ditauliahkan Khalifah Tarekat yang ke-34.
Sewaktu masih berada di Mekah, Haji Wan Sulaiman mengahwini Wan Kalsom
(Wan Tom) binti Wan Abdul Hamid, anak bekas Kadi Daerah Yan, Kedah dan
dikurniakan 11 orang cahayamata.
Pada tahun 1904, Sultan Abdul Hamid
Halim Shah telah menubuhkan Majmuk Ulama untuk membantu baginda
mengatasi sebarang masalah yang timbul berkaitan dengan agama Islam.
Majmuk ini mengandungi 12 orang ulama dengan dipengerusikan olen Haji
Wan Sulaiman sementara Haji Abdullah Fahim (Pak Him) selaku
setiausahanya. Ulama-ulama lain yang menganggotainya termasuklah Sheikh
Muhammad Khayat, Sheikh Jarum Derga (Haji Wan ldris Wan Jamal), Haji
Ahmad Awang, Haji ldris Ayer Hitam, Haji Muhammad Saman (Keramat Serban
Hijau), Haji lbrahim Paya Sena, Haji Muhammad Arif Sungai Nonang dan
Haji Hussain Nasir Al-Banjari (Tuan Hussain Kedah). Majmuk ini berkumpul
setiap malam Jumaat di Masjid Zahir untuk bermuzakarah hal-hal yang
berkaitan dengan agama Islam.
Pada awal
tahun 1906, Kerajaan Kedah melantiknya bertugas sebagai Kadi yang
kemudiannya menjawat jawatan Kadi Besar dalam tahun 1910. Bidang
kerjayanya semakin bersinar apabila beliau dilantik selaku Syeikhul
Islam Kedah menggantikan Sheikh Muhammad Khayat pada tahun 1920.
Di samping
tugas rasminya sebagai Ketua Pentadbir Undang-undang dan agama Islam,
beliau banyak mencurahkan segala ilmu pengetahuan yang dipelajarinya di
Mekah selama 20 tahun kepada orang ramai di seluruh negeri. Selain
daripada orang awam, para pelajarnya termasuklah guru agama, imam dan
Pegawai-pegawai Kerajaan. Beliau bukan sahaja menyampaikan kuliah agama
di Masjid Negeri, tetapi juga di madrasah tempat kediamannya di Limbong
Kapal, Alor Star secara bergilir-gilir pada waktu malam. Beliau juga
sering menyampaikan ceramah agama di beberapa buah masjid di daerah lain
seperti Bandar Baharu, Kulim dan Yan. Beliau berulang-alik ke tempat
tersebut pada mulanya dengan kereta kuda dan kemudiannya dengan motokar
Austin bernombor K 51.
Haji Wan
Sulaiman amat menentang keras segala ajaran sesat yang menyeleweng dari
segi iktikad dan ajaran agama Islam seperti amalan khurafat dan bida’ah
yang masih berkembang subur pada masa itu. Amalan-amalan tersebut
termasuklah memohon atau bernazar sesuatu pada kuburan yang dianggap
keramat, menjamu hantu jembalang dan berubat secara menurun (melupakan
diri). Satu-satunya amalan khurafat yang pernah dihapuskan oleh Haji Wan
Sulaiman di Bandar Alor Star ialah amalan berkenduri nasi kunyit dan
“mandi susu’ di tangga atau perkarangan Balai Nobat kerana menunaikan
sesuatu niat atau nazar. Beliau juga tidak bersetuju masyarakat Melayu
mengadakan kenduri bubur asyura sewaktu menyambut “Hari Asyura” pada 10
Muharram setiap tahun tanpa mengadakan pengkisahan sejarah atau
peristiwa mengenainya. Beliau juga menolak “Adat Persandingan” dalam
upacara perkahwinan masyarakat Melayu yang menurutnya mencemar kesucian
agama Islam kerana bercanggah dengan ajaran agama Islam sebenar.
Dalam bidang
pendidikan, beliau berusaha memperbaiki kaedah pengajaran al-Quran yang
ketika itu, diasingkan daripada matapelajaran lain di sekolah Melayu.
Kaedah baru yang disusun oleh beliau telah diterima oleh pihak kerajaan
Kedah dan ini membolehkan kanak-kanak menamatkan pengajian al-Quran
dalam masa yang singkat. Beliau juga menubuhkan sebuah sekolah agama
moden pada tahun 1916 yang diberi nama “Madrasah Al-Hamidiah” mengambil
sempena nama Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Sebagai sebuah sekolah agama
Islam moden yang pertama di Kedah dan terawal di Semenanjung, sudah
pasti ianya mengikut sistem pendidikan moden dari segala aspek seperti
jadual waktu, buku teks, loceng, sukatan pelajaran, peperiksaan untuk
naik darjah, guru-guru yang berpengkhususan dan pemberian sijil kepada
pelajar yang lulus atau berjaya menamatkan pengajian sehingga darjah
lima.
Madrasah
Al-Hamidiah yang lebih dikenali sebagai Madrasah Pak Wan Sulaiman atau
Sekolah Arab Limbong Kapal itu telah berjaya melahirkan ramai pelajar
yang berkelulusan dalam pelbagai bidang seperti menjadi pentadbir, kadi,
guru dan pemimpin masyarakat. Antara tokoh-tokoh terkenal termasuklah
Dato’ Sheikh Abdul Majid bin Mohd. Noor iaitu bekas Pengetua Maktab
Mahmud dan Yang Dipertua Majlis Hal Ehwal Islam Kedah; Allahyarham
Sheikh Saad bin Said, Pengasas Sekolah Attarbiatul-lslamiah dan bekas
Kadi Besar Kedah dan Allahyarham Sheikh Salleh bin Shamsuddin, Guru
Maktab Mahmud. Haji Wan Sulaiman bersama dengan Tunku Mahmud kemudiannya
merancang untuk menubuhkan sebuah sekolah menengah agama yang lebih
tinggi pengajiannya. “Al-Ma’hadil Mahmud” atau Maktab Mahmud yang
terletak di Simpang Kuala, Alor Star telah dibina pada 16 Jun 1936 iaitu
setelah setahun kematian Haji Wan Sulaiman. Maktab ini mengambil
sempena nama Tunku Mahmud.
Dalam bidang
karang mengarang, Haji Wan Sulaiman sering digandingkan dengan Tuan
Hussain Kedah. Kedua mereka banyak menghasilkan karya-karya agama dalam
bentuk kitab dan risalah. Sebagai pengarang yang gigih Haji Wan Sulaiman
telah menghasilkan sebanyak 20 buah karya yang mencakupi pelbagai
bidang. Beliau juga menghasilkan karya-karya bercorak pendidikan dalam
bentuk puisi iaitu syair atau nazam. Hampir semua judul karyanya yang
lain itu terdapat dalam bahasa Arab. Haji Wan Sulaiman banyak menyentuh
tentang pentingnya mempelajari ilmu Tarekat Naksyabandiyah yang
mempunyai kelebihan-kelebihan tertentu dalam karyanya.
Perkara ini
banyak dibicarakan olehnya dalam beberapa karyanya seperti
Putuhatul-Kadihiyat, Nihayatul-Matlub, Haudhul-Maurud, Nursataak,
Fakihatun-Janiah dan Mizanul-uklali wal-Udaba. Salah sebuah karyanya
yang berbentuk syair atau nazam berjudul “Nazam Qasidah Lagu lbyari”
telah dihasilkan olehnya di atas keretapi dalam tahun 1926 ketika turut
mengiringi Tunku Mahmud ke Bangkok. Isi puisi tersebut mengandungi
huraian tentang “Aqaidul-Iman’ di mana amat sesuai diajar kepada
kanak-kanak terutamanya di peringkat asuhan atau pra sekolah melalui
lagu atau nasyid.
Sebagai
seorang yang berkebolehan dalam ilmu Falakiah, beliau berjaya meramal
akan berlakunya kejadian gerhana matahari dalam tahun 1928 dan dapat
menerangkan kejadian gerhana itu secara saintifik melalui sebuah
risalahnya berjudul “Risalah Nasihat Fasal Gerhana”. Sehubungan dengan
ini, Haji Wan Sulaiman pemah mengeluarkan siaran pekeliling untuk
membantu para petani dalam hal mengerjakan sawah di mana mengandungi
jadual musim-musim piama bendang di negeri Kedah.
Haji Wan
Sulaiman meninggal secara mengejut di rumahnya di Limbong Kapal pada 28
Muharam 1354 bersamaan 2 Mei 1935 iaitu dalam usia 61 tahun. Bagi
mengenangkan sumbangan Haji Wan Sulaiman yang amat bernilai itu,
Kerajaan Kedah telah memberikan sanjungan dan penghormatan yang tinggi
kepadanya dengan mengizinkan jenazahnya dikebumikan di Makam Diraja.
Selain itu, Sekolah Kebangsaan Kanchut di bandar Alor Star telah
diabadikan dengan nama beliau iaitu Sekolah Kebangsaan Wan Sulaiman
Sidek yang didirikan pada 1 Mac 1985.