SYEIKH ALI FAQIH AL-FATHANI
SYEIKH ALI FAQIH AL-FATHANI
Mufti Kerajaan Mempawah
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
PENYELIDIKAN
awal mengenai ulama yang berasal dari Pattani yang akan diriwayatkan
ini bermula dari sebuah salasilah dalam simpanan salah seorang
keturunannya di Mempawah, Indonesia. Cerita yang terbanyak diperoleh
ialah daripada Haji Abdur Razaq, seorang guru agama bebas dan tokoh
masyarakat di Mempawah.
Selain itu,
daripada Haji Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani, Mufti Kerajaan
Mempawah terakhir serta daripada beberapa keturunannya yang telah
berusia lanjut yang sempat penulis temui di Mempawah, Pontianak, Jakarta
dan Pattani.
Tulisan
terawal yang disebarkan mengenai Syeikh Ali bin Faqih al-Fatani ialah
daripada tulisan penulis sendiri, yang dimuat dalam risalah kecil
berjudul, Upu Daeng Menambon Raja Mempawah. Kemudian penulis perkenalkan
kembali dalam kertas kerja yang dibentangkan dalam Seminar Sejarah dan
Kebudayaan Pattani (anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia, 1996) yang
berjudul Peranan Orang Pattani Di Dunia Perantauan.
Asal-Usul
Dalam
lingkungan tahun 1160 H/1747 M, penduduk Kuala Mempawah, Tanjung
Mempawah dan kampung-kampung sekitarnya dikejutkan kerana didatangi oleh
sekitar 40 perahu yang besar-besar belaka. Setelah dua orang ulama
bernama Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani dan Syeikh Abdul Jalil
al-Fathani naik ke darat untuk menghadap Upu Daeng Menambon iaitu Raja
Mempawah pada masa itu, barulah diketahui oleh penduduk bahawa
perahu-perahu besar itu datang dari Kerajaan Fathani Darus Salam.
Dipercayai bahawa kedua-dua ulama tersebut berasal dari Kampung Sena, Pattani yang datuk neneknya berasal dari Kerisik, Patani.
Pendidikan dan Penyebaran Ilmu
Syeikh Ali
bin Faqih al-Fathani dan Syeikh Abdul Jalil al-Fathani mendapat
pendidikan pondok di Pattani dan kemudian melanjutkan pengajiannya ke
Mekah. Bagaimanapun, baik gurunya di Pattani mahupun di Mekah, belum
diperoleh catatan yang lengkap dan jelas namun tentang ilmu kedua-duanya
dikagumi oleh masyarakat di mana saja mereka berada.
Hanya Syeikh
Ali al-Fathani dan anak-anak serta anggota/ahli dalam rombongannya yang
tetap tinggal di Mempawah dengan mendirikan rumah yang besar di Kampung
Tanjung, Mempawah. Sebahagian lagi mengikuti Syeikh Abdul Jalil
al-Fathani menyebarkan Islam di Sambas.
Di Sambas,
Syeikh Abdul Jalil al-Fathani lebih dikenali dengan sebutan Keramat
Lumbang kerana beliau dikeramatkan orang adalah sebagai lambang
ketinggian ilmunya hingga kepada ilmu hakikat dan makrifat.
Demikian halnya dengan Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani, setelah beliau meninggal dunia disebut orang dengan Keramat Pokok Sena.
Kehebatan
ilmu yang berupa karamah yang pernah disaksikan oleh penduduk, di
antaranya Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani adalah seorang ulama yang
berpengetahuan lengkap. Disebabkan alimnya beliau dapat mengetahui
helaian daun kelapa dalam satu pelepah yang jatuh dengan tepat tanpa
perlu dihitung terlebih dulu.
Bukan itu
sahaja, kalau hari akan hujan beliau dapat mengetahui bahawa akan hujan
dengan melihat tanda-tanda kelakuan binatang seperti semut, binatang
melata dan serangga lainnya. Memperhatikan
ketepatan yang diperkatakan oleh Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani,
sehingga orang-orang Mempawah pada zaman itu mengatakan bahawa Syeikh
Ali bin Faqih al-Fathani mengetahui percakapan binatang, selain itu
beliau adalah seorang Wali Allah juga seperti Habib Husein al-Qadri.
Ketentuan-ketentuan
hukum keIslaman yang terutama sekali pada persekitaran tiga jurusan,
iaitu fiqh menurut Mazhab Syafie, akidah menurut faham Ahli Sunah wal
Jamaah Mazhab Abul Hasan al-Asy’ari dan tasawuf mengikut imam-imam sufi
yang muktabar adalah terletak pada Habib Husein al-Qadri dan Syeikh Ali
bin Faqih al-Fathani.
Sejak
kedatangan kedua-dua ulama itu telah mulai berkembang Barzanji, Nazham,
Burdah dan yang sejenis dengannya setiap malam Jumaat dan di
tempat-tempat yang digunakan sebagai upacara rasmi sering mendengungkan
lagu-lagu zikir tersebut untuk memperoleh pahala, bukan dipandang
sebagai kesenian atau kebudayaan.
Tarekat yang
diamal oleh Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani ialah Tarekat Syathariyah,
Tarekat Naqsyabandiyah dan beberapa tarekat yang muktabar lainnya. Namun
ia berbeza dengan Habib Husein al-Qadri lebih suka mengamalkan Ratib
al-Haddad dan Tarekat Qadiriyah.
Murid-Murid
Sebahagian
besar tokoh yang pernah belajar dengan Habib Husein al-Qadri juga pernah
belajar atau sebagai murid kepada Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani.
Beberapa ilmu yang bercorak khusus, yang diperoleh dalam bentuk sistem
pondok lebih banyak diajarkan oleh Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani jika
dibandingkan dengan Habib Husein al-Qadri yang lebih menekankan berupa
amalan dan bercorak memberi keterangan atau syarahan.
Syeikh Ali
bin Faqih al-Fathani lebih menekankan pelajaran yang bercorak hafalan
matan-matan sesuatu ilmu menurut tradisi pondok di Pattani, sedangkan
Habib Husein al-Qadri perkara itu tidak begitu dikuatkan, yang
diutamakan oleh Habib Husein al-Qadri ialah penguasaan lughah Arabiah.
Oleh itu,
Gusti Jamiril putera Upu Daeng Menambon menguasai ilmu nahu, saraf dan
ilmu-ilmu Arabiah yang lainnya adalah diperolehnya daripada Syeikh Ali
bin Faqih al-Fathani. Faktor yang membolehkannya bertutur dalam bahasa
Arab adalah kerana pergaulannya dengan Habib Husein al-Qadri.
Dilantik Sebagai Mufti
Sebagaimana
telah diceritakan dalam artikel sebelum ini bahawa Mufti Kerajaan
Mempawah yang pertama ialah Habib Husein al-Qadri yang memperoleh gelar
Tuan Besar Mempawah. Diceritakan
pula, sewaktu Habib Husein al-Qadri/Tuan Besar Mempawah telah berwasiat,
bahawa yang layak sebagai pengganti beliau ialah Syeikh Ali bin Faqih
al-Fathani yang tinggal di Kampung Tanjung Mempawah.
Oleh itu,
untuk melaksanakan wasiat itu pihak pemerintah Mempawah telah melantik
Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani sebagai Mufti Kerajaan Mempawah dengan
gelar Maharaja Imam Mempawah. Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani adalah
orang yang pertama di Mempawah yang memperoleh gelaran sedemikian. Ini
bererti Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani itu adalah Mufti Mempawah yang
kedua selepas Mufti yang pertama iaitu Habib Husein al-Qadri.
Setelah
Syarif Abdur Rahman al-Qadri mendirikan Kerajaan Pontianak, Sultan
Pontianak itu mengajak beliau pindah ke Pontianak, lalu beliau tinggal
di Kampung Bugis/Kampung Pedalaman Pontianak yang berdekatan dengan
istana Sultan Pontianak itu. Ini bererti Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani
berkhidmat di kedua-dua tempat itu dengan berulang-alik antara
Mempawah-Pontianak melalui pelayaran perahu.
Keturunan
Daripada catatan Tuan Guru Haji Abdur Razaq, bahawa keturunan Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani adalah empat orang, iaitu:
- Hajah Fathimah
- Abdur Rahman/Wak Tapak
- Ismail
- Muhammad Dumyati
Anak yang
pertama, Hajah Fathimah berkahwin dengan Muhammad Thahir, memperoleh
anak bernama Maidah dan Basuk. Abdur Rahman, yang lebih dikenal dengan
sebutan Wak Tapak memperoleh beberapa orang anak, ialah; Mustafa, Patik,
Hasan, Husein dan Muhammad Nur. Seterusnya
Ismail, memperoleh anak bernama Saad. Muhammad Dumyati pula memperoleh
anak iaitu; Muhammad Shalih, Musa dan Haji Daud.
Di antara
mereka yang paling terkenal ialah Abdur Rahman/Wak Tapak, adalah seorang
pahlawan Mempawah. Sewaktu terjadi perbalahan antara orang-orang Cina
dengan Melayu di Mempawah, Mandor dan tempat-tempat lainnya, Wak Tapak
al-Fathani dan Tengku Simbob yang berasal dari Riau berhasil mengalahkan
orang-orang Cina tersebut.
Salah satu
tempat di Pulau Temajoh, Kecamatan Sungai Kunyit, Mempawah nama beliau
dikekalkan dengan nama Tanjung Wak Tapak. Menurut riwayat tempat itu
adalah sebagai perhentian beliau untuk mengintip lanun-lanun yang
melalui perairan Mempawah.
Kesinambungan kedatangan orang-orang dari Semenanjung ke Mempawah/Kalimantan Barat. Syeikh
Ali bin Faqih al-Fathani dan Syeikh Abdul Jalil al-Fathani dapat
dianggap sebagai perintis kepada kedatangan orang-orang Patani dan
tempat-tempat lain dari Semenanjung, seperti Kedah dan Kelantan ke
Kalimantan Barat.
Dari
kedatangan yang pertama oleh Syeikh Ali al-Fathani hingga yang terakhir
oleh Haji Abdur Rahman Kelantan, ternyata ada hubungan erat, baik dari
segi kekeluargaan mahupun pertalian sanad/salasilah pengajian ilmu-ilmu
keIslaman.
Kedatangan
ke Kalimantan Barat tersebut adalah secara berkesinambungan kecuali
terhenti setelah Indonesia merdeka kerana sistem pemerintahan telah jauh
berubah coraknya. Tokoh-tokoh yang terkemuka yang berasal dari Pattani
yang masih bersangkutan dengan keluarga besar Syeikh Ali bin Faqih
al-Fathani yang datang menyebarkan Islam di Kalimantan Barat, ada tiga
adik-beradik iaitu Haji Wan Abdul Lathif, Wan Nik dan Hajah Wan Mah.
Ada pun Haji
Wan Abdul Lathif itu alim dalam ilmu fiqh, manakala Haji Wan Nik adalah
tokoh sufi. Haji Wan Abdul Lathif berkahwin di Kampung Tanjung Mempawah
dengan salah seorang keturunan yang juga berasal dari Pattani.
Beliau
memperoleh tiga orang anak: Haji Abdul Hamid, menyebarkan Islam di
Kepulauan Tambelan dan meninggal dunia di sana. Anak beliau yang kedua
bernama Mahmud, meninggal dunia di Singapura dan yang ketiga bernama
Muhammad telah pulang ke Pattani. Ada
pun anak Haji Wan Nik al-Fathani iaitu Haji Usman pulang ke Pattani.
Manakala menantu Haji Wan Nik al-Fathani adalah seorang ulama, iaitu
Haji Hasan al-Fathani. Beliau adalah sebagai Imam Masjid Jamek Pemangkat
(Kabupaten Sambas).
Haji Hasan al-Fathani sahabat kepada Syeikh Basiyuni Imran yang lebih dikenali dengan gelaran Maharaja Imam Sambas.
Selanjutnya
yang datang dari Kedah pula ialah Syeikh Muhammad Yasin yang membuka
pondok pengajian di Kuala Mempawah. Dari Kelantan pula ialah Haji Ismail
bin Abdul Majid yang pernah menjadi Mufti Pontianak.
Haji Abdur
Rahman bin Husein al-Kalantani pula adalah Mufti Mempawah yang terakhir.
Ketiga-tiga orang yang tersebut itu walaupun bukan berasal dari Pattani
tetapi ada hubungan dakwah dan pendidikan Islam dengan Syeikh Ali bin
Faqih al-Fathani. Ini kerana sebelum mereka mendapat kedudukan di sana,
semuanya tinggal di rumah keturunan Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani.
Keturunan
yang terakhir ialah penulis sendiri, dari keturunan Pattani-Johor yang
dilahirkan di Kepulauan Riau datang ke Kalimantan Barat, menjejakkan
kaki pertama sekali di Singkawang (Daerah Sambas) pada 18 Januari 1968
dan selanjutnya ke Mempawah 1970-1988.
Penulis
sempat mencatat hampir semua peristiwa mulai Syeikh Ali bin Faqih
al-Fathani hingga Haji Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani dari mulut
Haji Abdur Rahman Kelantan sendiri. Ini kerana penulis pernah beberapa
tahun tinggal di rumah beliau dan sempat beberapa kali menadah kitab
daripada ulama Kelantan murid Tok Kenali peringkat terawal itu. Selain
itu, semua peristiwa juga dicatat daripada keturunan mereka dan orang
tua-tua di Mempawah. Percubaan-percubaan
untuk mendirikan pendidikan sistem pondok sejak zaman Upu Daeng
Menambon bersambung terus, namun selalu diakhiri dengan kegagalan.
Setelah
sekian lama sesudah Upu Daeng Menambon, datang seorang ulama Kedah
bernama Haji Muhamad Yasin yang menampung murid-muridnya di Kuala
Secapah, namun hanya dapat bertahan beberapa tahun saja.
Setelah itu,
disambung pula dengan Haji Abdur Rahman bin Husein Kelantan dengan
mendirikan pondok Darul Ulum di Mempawah. Dengan terdirinya pondok
tersebut, sempat melahirkan beberapa orang tokoh di antaranya, dua orang
anak beliau sendiri iaitu Haji Muhaamad Aziq L.C. dan Drs. Abdul Malik.
Seterusnya
pondok yang terakhir sekali pula adalah diasaskan daripada penulis dan
kawan-kawan yang diberi nama Pondok Pesantren Al-Fathaanah, yang pertama
terdirinya di Sungai Bundung, Kecamatan Sungai Kunyit tahun 1974.
Turut serta
sebagai pengasas ialah beberapa orang murid daripada Haji Abdur Rahman
Kelantan tersebut. Di antara mereka ialah seorang ustaz dan Ketua
Kampung Munzir Kitang, Udin Sadul, Hamdan Bochari dan ramai lagi.
Sehingga
kini Al-Fathaanah masih wujud dengan berkonsepkan seperti sistem
pengajian sekolah-sekolah umum, namun masih mengekalkan sistem pondok.
Namun mudah-mudahan ia dapat kekal sampai ke akhir perjuangan.