KIAI HAJI HUSAIN HAJI ABBAS – PENGASAS PONDOK DI SIJANGKANG
Koleksi Karya: Allahyarham Ustaz Wan Mohd. Shaghir Abdullah_______________________________
Tokoh ulama yang dibicarakan ini adalah
hasil penyelidikan daripada salah seorang pembentang seminar, iaitu
Ustaz Khafidz Soroni, merupakan pensyarah Akademi Islam Kolej Universiti
Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dengan diberi judul Kiai Haji Husain
Bin Haji Abbas: Tokoh Ulama Masyarakat Jawa di Selangor.
Sumber penyelidikan terhadap ulama ini
juga adalah berdasarkan temu bual pembentang kertas kerja dengan anak
ketiga beliau iaitu Haji Muhammad Mahin Haji Husain yang juga pernah
berguru dan menadah kitab dengan bapanya sendiri.
Antara perkara yang disentuh oleh
pembentang dalam kertas kerjanya adalah mengenai nama, kelahiran,
keturunan, pembelajaran dan guru-guru beliau, pondok pengajian,
kebolehan beliau sebagai hafiz al-Quran, ahli Falak dan penulisan,
sifat-sifat beliau, kisah-kisah karamah beliau, kewafatan dan rumah
tangga beliau. Namun dalam ruangan ini hanya memetik beberapa perkara
sahaja yang boleh dijadikan sebagai kajian awal mengenai ulama ini.
NAMA & KELAHIRAN
Nama beliau ialah Kiai Haji Husain bin
Haji Abbas @ Abdullah Kafi bin Qaribun. Adakalanya beliau meletakkan
nama jolokan (kunyah) ‘Abu Bakar’ di awal namanya kerana anak sulungnya
adalah seorang perempuan, sebagaimana adat kebiasaan di kalangan
orang-orang Arab, dan adakalanya diletakkan gelaran ‘al-sijankani’ di
hujung namanya sebagai nisbah kepada kampung Sijangkang.
Beliau dianggarkan lahir pada tahun 1918
atau 1919, kerana beliau kembali ke rahmatullah pada tahun 1981 dalam
usia kira-kira 62 atau 63 tahun. Salasilah keturunan beliau tidak dapat
dipastikan dengan jelas, kerana beliau tidak suka menceritakan tentang
nasab atau asal-usul keturunannya.
Namun diriwayatkan bahawa makam datuknya
iaitu Kiai Qaribun yang terletak di Yogjakarta, Indonesia adalah di
kawasan perkuburan orang-orang besar dan kuburnya agak berlainan dengan
kubur orang biasa kerana lebih besar dan mempunyai ukiran-ukiran yang
indah.
GURU-GURU
Sejak kecilnya lagi beliau amat minat
dalam menimba ilmu pengetahuan, sehingga menguasai pelbagai bidang ilmu
agama. Selain belajar dengan bapanya, beliau juga belajar di beberapa
buah pondok pesantren di Tanah Jawa, antaranya Pesantren Lirboyo, Kota
Kediri.
Di pesantren tersebut, berkemungkinan
beliau pernah mengaji dengan Kiai Haji Abdul Karim (1856-1954) iaitu
pengasas pondok berkenaan, serta para penggantinya iaitu Kiai Haji
Marzuqi Dahlan (1906-1975) dan Kiai Haji Mahrus Ali (1907-1985).
Beliau juga pernah belajar di Pesantren
Termas dan Pesantren Tebuireng dan Pesantren Krapyak, Yogjakarta.
Pesantren Krapyak atau Pesantren al-Munawwir diasaskan oleh Kiai Haji M.
Moenawwir (1942) yang terkenal sebagai pakar al-Qur’an dan qiraat. Di
pondok tersebut juga Kiai Husain tekun mempelajari al-Quran dengan
gurunya Kiai Moenawwir dan menghayatinya sehinggalah beliau berjaya
menghafaz keseluruhan 30 juzuk al-Quran serta menguasai seni qiraat.
MENDIRIKAN PENGAJIAN PONDOK
Kecintaan beliau terhadap ilmu agama yang
sangat tinggi menyebabkan Kiai Husain membuka sebuah pondok pengajian
sekitar tahun 1944. Pondok yang didirikan tersebut dikenali sebagai
‘Pondok Kiai Haji Husain Sijangkang’ atau disebut di kalangan masyarakat
Jawa sebagai ‘Pondok Kiai Kusin’.
Pondok ini juga disebut sebagai ‘Asrama
Haji Husain’ dan ‘Ma’ahad al-Talabah al-‘Abbasiyah’. Dikatakan bahawa
kegemilangan pengajian pondok Kiai Husain adalah antara tahun 60-an dan
70-an, namun kemudiannya pupus disebabkan tiada penyambung untuk
meneruskannya.
Berkenaan pondok pengajian tersebut turut
dibentangkan oleh pembentang lain, dengan judul Kiai Haji Hussin dan
Pondok Ma’had al-Talabah al-Abbasiah: Analisis Penubuhan, Peranan dan
Sumbangannya Kepada Masyarakat,. Ia merupakan hasil penyelidikan
pensyarah-pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) iaitu Prof.
Madya Dr. Mohd. Nasran Mohammad dan Ahmad Dahlan Salleh.
Antara yang dibincangkan dalam kertas
kerja tersebut adalah mengenai latar belakang pondok, biodata pengasas,
perkembangan pondok dan matlamat penubuhan serta sistem pengajian, yang
merangkumi sistem pelajaran, cara penyampaian, kitab-kitab yang
dipelajari, waktu belajar, undang-undang pondok, sumber kewangan dan
masalah pondok.
Namun disebabkan kepadatan ruangan ini,
maka hanya beberapa perkara sahaja yang dibicarakan yang dipetik dari
kertas kerja tersebut, iaitu:
SISTEM PELAJARAN
Sistem pembelajaran adalah sama seperti
sistem pondok-pondok lain di Malaysia, iaitu tiada peperiksaan, tiada
kelas tambahan dan tiada sijil dikeluarkan.
Ini kerana objektif penubuhannya adalah
untuk melahirkan pelajar yang alim dan mahir dalam bahasa Arab, dengan
harapan mereka dapat memimpin masyarakat setempatnya apabila pulang ke
kampong masing-masing.
Sebagai pengasas pondok tersebut, maka
beliau adalah ketua dalam segala hal. Disebabkan itu segala kitab yang
dibaca, disiplin dan perkara yang berkaitan pondok ditentukan sendiri
oleh Kiai Hussin.
KITAB-KITAB YANG DIBACA
Pada umumnya kitab yang dibaca dapat
dibahagikan kepada dua. Pertama kitab bagi pelajar baru dan kedua bagi
pelajar-pelajar lama. Di antara kitab-kitab yang pernah dibaca golongan
pertama ialah Matn al-Jurumiyyah (Nahu), Matn al-Taqrib (Fiqh), Matn
al-Safinah (Fiqh), Matn Sullam al-Tawfiq (Fiqh), Matn Bina’ (Sorof),
Matn al-Arba’in (Hadis), Matn al-‘Izzi (sharaf) dan Muqaddam.
Berikut pula adalah kitab-kitab yang dibaca bagi gologan kedua, iaitu:- Kitab-kitab Nahu, iaitu: Nizam al-‘Umriti, Matn al-Fiyyah, Mutammimah, Syarh Ibn ’Aqil dan lain-lain lagi.
- Kitab-kitab Fiqh, iaitu: Syarh al-Bajuri, Fath al-Mu’in, I’anah al-Talibin, al-Iqna’, Nihayah al-Zain, Fath al-Wahhab dan lain-lain lagi.
- Kitab-kitab tafsir, iaitu: Tafsir al-Jalalain, Tafsir al-Munir dan kitab-kitab tafsir lain.
- Kitab-kitab sharaf, iaitu: Matn al-Bina’, Matn al-Izzi, Matn al-Maqsud dan lain-lain lagi.
- Kitab-kitab Hadis, iaitu: Matn al-Arba’in, Mukhtasar Ibn Abi Jumrah, Hadith Bukhari, Hadith Muslim, Mustalah al-Hadith dan lain-lain lagi.
- Kitab Akhlak, iaitu: Ta’alim al-Muta’alim.
- Kitab-kitab Tasauf, iaitu: Hidayah al-Salikin, Maraqi al-‘Ubudiyyah dan Ihya’ Ulum al-Din.
Cara pertama dipanggil ‘sorokgan’ iaitu
selepas guru mengajar, pelajar mestilah membaca seorang demi seorang di
hadapannya dengan betul. Kadang-kadang dikehendaki menghafal kalimah
tersebut. Cara ini digunakan biasanya kepada pelajar baru.
Cara kedua secara ‘bandungan’ iaitu
pelajar dikehendaki memahami kitab yang dibaca oleh kiai dan mencatit
makna kalimah. Cara ini digunakan kepada pelajar lama khasnya yang telah
membaca kitab-kitab asas.
HAFIZ AL-QURAN
Kiai Husain adalah salah seorang ulama
yang menghafal 30 juzuk al-Quran keseluruhannya pada zamannya. Beliau
memiliki sebuah mushaf al-Quran kecil bersaiz poket dan sentiasa
membawanya bagi mengingati ayat-ayat al-Quran yang dihafalnya. Sebagai
seorang hafiz al-Quran, beliau sering mengulang-ulang kelancaran
hafalannya, terutama di bulan Ramadan, yang mana beliau akan
mengkhatamkan al-Quran dalam solat tarawih.
Beliau juga memberikan ijazah khas
al-Quran dengan qiraat Hafs ‘an ‘Asim yang disebut sebagai Syahadah
al-Qurianiyyah kepada murid-muridnya yang telah khatam al-Quran dengan
beliau.
AHLI FALAK
Kiai Haji Husain juga dikenali sebagai
ahli dalam ilmu falak dan mengajarkan ilmu tersebut kepada
murid-muridnya. Bahkan pondok yang diasaskan boleh beliau turut
mengeluarkan sendiri kalendar tahunan yang mengandungi takwim hijrah
yang disertakan dengan kalendar jawa dan waktu solat.
Kalendar tersebut dikeluarkan pada setiap
tahun dan masih wujud sehinggalah kini dan masih digunapakai oleh
masyarakat Jawa, khususnya di Selangor hingga ke selatan Perak.
PENULISAN
Sebagaimana ulama-ulama lain yang banyak
menghasilkan karya dalam penulisan, Kiai Husain juga banyak menghabiskan
masanya dengan menyalin kitab-kitab, termasuklah syair-syair,
hadis-hadis sehinggalah kitab-kitab yang agak tebal. Bahkan dikatakan
sehingga kini sebahagian kitab-kitab yang disalinnya masih tersimpan
dengan baik.
Namun, tidak diketahui sebarang karya
asli yang dihasilkan oleh beliau. Dalam kajian pembentang tersebut,
hanya ditemui sebuah sahaja iaitu, terjemahan Matn Ajrumiyah ke dalam
bahasa Jawa yang diselesaikan oleh beliau pada tahun 1348 H dan masih
berbentuk tulisan tangan.
KEWAFATAN
Beliau kembali ke rahmatullah pada 11
Zulhijjah tahun 1401 H (1981 M) dan dikebumikan di Perkuburan Islam
Simpang Lima, Klang. Beliau pernah menyatakan bahawa beliau tidak mahu
melebihi umur NabI Muhammad SAW, dan ditakdirkan beliau menghembuskan
nafas terakhir sekitar umur 62 tahun.
Di akhir-akhir hidupnya, beliau juga
pernah menyuruh anaknyaMuhammad Mahin untuk membuatkan meja rendah,
dengan alasan mudah untuk meletakkan makanan dan menjaganya agar tidak
dihurung semut. Namun, beliau menyuruh agar dibuat lebih panjang
sehingga ukuran seseorang dapat berbaring atasnya. Dengan takdirnya meja
yang tersebut jugalah yang digunakan untuk meletakkan jenazah beliau.
Selain itu, terjadi juga sesuatu yang
menghairankan semasa kematian beliau, di mana tarikh di kalendar
bertukar menjadi warna hitam, walhal kalendar tersebut dicetak tidak
menggunakan dakwat hitam. Namun apabila ditanya kepada pihak percetakan,
mereka juga tidak dapat memberi jawapan tentang perkara tersebut.
KETURUNANKiai Haji Husain mendirikan rumah tangga dengan anak perempuan seorang tokoh ulama Jawa yang terkenal di Selangor suatu masa dahulu iaitu Kiai Haji Dahlan bin Haji Hassan Isbath.
Hasil perkahwinan dengan Hajah Darwiyah tersebut, beliau dikurniakan lapan cahaya mata, iaitu Hajah Jamalah, Hajah Fauziah, Haji Muhammad Mahin, Haji Mujib, Hajah Aishah, Hajah Barirah, Hajah Munah dan Hajah Jumanah.