KIAI MUHAMMAD ALI QARIBUN
Pengasas Awal Pondok di SelangorKoleksi tulisan HAJI WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
Pendahuluan
TOKOH ulama
Selangor yang dibicarakan pada kali ini merupakan ulama yang dikenali
sebagai pelopor institusi pendidikan pondok di negeri Selangor, sebelum
wujudnya institusi pendidikan moden yang wujud kini. Kertas kerja
mengenai tokoh ulama ini dibentangkan oleh Ustaz Ahmad Shukri Ghazali
pada Seminar Tokoh Ulama Selangor 2008 pada 22 November tersebut, dengan
diberi judul, Kiai Muhammad Ali Qaribun: Pengasas Awal Pondok di
Selangor.
Perkara-perkara
yang dibicarakan dalam kertas kerja tersebut adalah menyentuh tentang
latar belakang keluarga, pendidikan, perkhidmatan sebagai askar,
pengasas Masjid Sultan Singapura, mendirikan masjid dan pondok di
Sijangkang, kitab-kitab pengajian yang diajar di pondok, hubungan Kiai
Muhammad Ali dengan ulama dan kerabat Diraja Brunei dan Selangor,
karamah beliau dan kewafatan beliau.
Dilihat
bahawa maklumat-maklumat berkaitan tokoh ulama yang dibicarakan tersebut
wajar ditonjolkan keseluruhannya. Namun disebabkan kepadatan ruangan
ini, maka hanya beberapa perkara sahaja yang disentuh, selebihnya akan
dilanjutkan pada ruangan akan datang. Perkara-perkara yang dipetik untuk
bahagian pertama ini yang diambil dari kertas kerja hasil kajian Ustaz
Ahmad Shukri Ghazali (selepas ini disebut sebagai penulis) tersebut
adalah mengenai latar belakang keluarga, perkhidmatan beliau sebagai
askar, pendidikan dan sejarah beliau mendirikan masjid di Singapura dan
Sijangkang.
Latar belakang Keluarga
Nama beliau
ialah Kiai Muhammad Ali bin Qaribun bin Suruyan Al-Mentarami, berasal
dari Bantul, Mataram (Jogjakarta), Indonesia dan dilahirkan sekitar
tahun 1858/1279H. Susur galur keturunan beliau bertemu dengan Sunan
Ampel, iaitu salah seorang daripada sembilan Wali Songo yang terkenal di
Tanah Jawa.
Beliau
mempunyai sembilan adik-beradik, yang terdiri daripada lapan lelaki dan
seorang perempuan, iaitu Kiai Abdul Rahman, Kiai Abdul Samad, Kiai
Mustafa, Kiai Abbas (Abdullah Kahfi), Kiai Syafei, Kiai Tarmizi dan Mbah
Ayu.
Ayah beliau,
Kiai Qaribun bin Suriyan merupakan orang penting di Keraton Mataram
sekitar tahun 1800an, Dikatakan bahawa ayah beliau adalah pengiring dan
pemayung sultan semasa adat istiadat di Istana Keraton. Setelah Kiai
Qaribun diangkat menjadi pengiring dan juru payung sultan, beliau
mengahwini puteri Sultan Mataram.
Kisah Kiai
Qaribun dilantik sebagai juru payung dan pengiring sultan bermula
apabila kawasan Mataram khususnya Keraton sudah tidak selamat kerana
sering diancam oleh perompak. Pada satu ketika perompak cuba menceroboh
kawasan Keraton, lalu Kiyai Qaribun berkata: “Perompak ini seperti
anjing”, lantas ia bertukar menjadi anjing. Maka setelah kewafatan juru
payung dan juru iring sultan, Kiai Qaribun dilantik menjawat tugas
tersebut sehingga akhir hayat. Sehingga kini kebanyakan keluarga Qaribun
menetap di daerah Bantul, Mataram (Jogjakarta).
Apabila Kiai
Qaribun kembali ke rahmatullah, beliau dikebumikan di Bantul, Mataram
(Jogjakarta) bersama-sama kerabatnya dan tertulis di batu nisannya
dengan nama Kiai Koribun. Pernah terjadi ketika berlaku gempa bumi di
Jogjakarta pada 2007, dikatakan makam Kiai Qaribun tidak mengalami
sebarang kerosakan dan keretakan seolah-olah dipelihara dengan baik.
Semasa
hidupnya, Kiai Qaribun menyarankan agar tiga orang anak lelakinya yang
diketuai oleh Kiai Haji Muhammad Ali, Kiai Abbas dan Kiai Syafie menuju
ke Tanah Melayu untuk menyebarkan dakwah Islam di sana.
Kiai Qaribun
juga pernah membina sebuah masjid yang dinamakan Masjid Al-Qaribun.
Masjid tersebut diperbuat daripada batang kelapa dan putih telur tanpa
plaster dan kini masih dalam proses membaik pulih melalui sumbangan
cucunya yang berada di Malaysia.
Berkhidmat sebagai Askar
Semasa
beliau berada di Johor sekitar tahun 1889, berkemungkinan sebelum
mendirikan rumah tangga, beliau pernah berkhidmat sebagai askar hutan
atau askar Inggeris menentang pemberontak selama hampir 18 tahun dan
dibayar gaji sebanyak $12 setahun.
Semasa
beliau mula-mula tiba di Tanah Melayu, iaitu di Johor, beliau tidak tahu
berbahasa Melayu dan juga tidak tahu menulis rumi. Disebabkan sikapnya
yang suka mengembara, beliau telah diambil oleh Inggeris untuk
berkhidmat melawan pemberontak di Pahang. Pihak Inggeris sering berulang
alik dari Johor, dan mereka akan bertukar askar dengan Indonesia dan
Malaya.
Kadangkala
askar Belanda akan mengambil askar Melayu untuk menentang penjajah
Indonesia, begitu juga sebaliknya. Semasa berada di hutan, beliau
dikatakan amat mahir berburu dan membuat jerat untuk menangkap harimau
dan kera., dan menjadikan beliau semakin berani, banyak bergaul dan
semakin mahir berbahasa Melayu.
Akibat
merasa bosan hidup dalam hutan dan sering melarikan diri, maka akhirnya
beliau melarikan diri dari menjadi askar. Setelah melarikan diri,
seorang rakannya yang sama-sama berkhidmat sebagai askar bernama Pak
Ramli telah memberikannya lima ekar tanah di Sijangkang untuk tinggal di
sana.
Hanya satu
ekar diwakafkan untuk dijadikan pondok dan kini dijadikan kawasan
masjid, manakala empat ekar adalah untuk didiami keluarga Kiai Haji
Muhammad Ali. Semasa berkhidmat dengan askar Inggeris, Pak Ramli adalah
salah seorang yang berpengaruh dan dianugerahkan pingat pangkat Dato.
Pendidikan
Kiai Haji
Muhammad Ali mendapat pendidikan awal di Tanah Jawa, Indonesia sekitar
tahun 1868-1878. Tidak disebut tempat beliau mendapat pendidikan awal
sebelum ke Mekah, namun beliau pernah menyebut beberapa buah pondok di
Tanah Jawa yang masyhur iaitu Pesantren Termas di daerah Pacitan,
Pesantren Lir boyo di Kediri, Pesantren Tebuireng di Jombang, Jawa Timur
dan Pesantren Langitan di Tuban.
Ini kerana
keempat-empat pondok tersebut sentiasa disebut semasa beliau mengajar
murid-muridnya di Sijangkang. Namun perkara tersebut masih dalam kajian
kerana penulis masih meragui apakah pesantren yang disebut itu merupakan
tempat beliau menuntut ilmu atau mungkin tempat teman-teman sepengajian
beliau yang telah berjaya membuka pondok.
Walau
bagaimanapun, penulis beranggapan kesemua pondok yang disebutkan adalah
tempat beliau menimba ilmu kerana pada 1889 tersebut, Kiai Haji Muhammad
Ali telah pun berada di Tanah Melayu, sedangkan pesantren yang
disebutkan wujud sekitar tahun 1906 atau 1910, kecuali Pesantren Termas
di daerah Pacitan Indonesia dan Pesantren Langitan, Tuban yang dianggap
antara pesantren tertua.
Pendidikan
Kiai Haji Muhammad Ali masih kabur kerana ramai yang menyatakan beliau
menuntut ilmu di Tanah Jawa kemudian ke Mekah selama puluhan tahun
dengan menaiki kapal layar sekitar tahun 1880an. Rata-rata masyarakat
menyebut beliau belajar di Tanah Jawa dan di Mekah selama puluhan tahun.
Malah ada juga yang mendakwa beliau berada di Mekah selama 15 tahun
sebagai guru di sana.
Pengasas Masjid Sultan Singapura
Menurut cucu
beliau bernama Tuan Haji Sani, Kiai Haji Muhammad Ali ke Mekah sebanyak
dua kali, kali pertama sebagai seorang penuntut, dan kali kedua sebagai
tenaga pengajar di sana. Hal yang sama juga apabila beliau datang ke
Tanah Melayu iaitu sebanyak dua kali. Kali pertama seorang diri dan kali
kedua bersama adiknya.
Masjid Sultan Singapura yang diasaskan oleh Kiai Haji Ali Umar Qaribun.
Pada kali
pertama pulang ke Tanah Jawa, beliau singgah di Singapura dan
membangunkan sebuah masjid yang diperbuat daripada kayu bersama
rakan-rakannya. Kini masjid tersebut dikenali sebagai Masjid Sultan
Singapura. Sejarah pembinaan masjid kayu ini menjadikan Kiai Haji
Muhammad Ali semakin masyhur dan dikenali di Mekah dan Tanah Jawa. Nama
beliau disemadikan di batu asas Masjid Sultan Singapura sebagai
“Pengasas Masjid Kiai Haji Ali Umar Qaribun Bantul Miri.”
Setelah
masjid lama daripada kayu dirobohkan, batu asas tersebut diletakkan
berhampiran makam Sultan Hussain di ruangan bawah masjid dan akhirnya
dibawa balik ke Bantul, Miri Mataram oleh kerabat beliau yang merupakan
seorang kapten tentera Indonesia. Bahkan hubungan kekeluargaan Kiai Haji
Muhammad Ali dengan masyarakat Jawa di Indonesia masih wujud hingga
kini.
Oleh yang
demikian, tidak hairan beliau sangat dihormati dan disegani oleh para
ulama di Singapura pada waktu itu, kerana jasanya yang sangat besar.
Mendirikan Masjid di Sijangkang
Menurut cucu
Kiai Muhammad Ali lagi, nama Sijangkang diambil sempena sebatang sungai
yang mengalir di bawah sepohon kayu yang melengkung seumpama orang yang
sedang kangkang. Sungai tersebut merupakan laluan utama antara Pandamar
dan Sijangkang.
Setelah
beliau menabur jasa di Singapura dan menjadi orang penting di Johor,
maka beliau lantas mengambil keputusan pulang ke Mekah. Setelah 15 tahun
berada di Mekah, beliau sekali lagi datang ke Johor kemudian singgah di
Kajang dan membuka masjid di sana.
Berdasarkan
balasan sepucuk surat, Kiai Haji Muhammad Ali telah berada di Sijangkang
pada 1335H/1917M dan tidak lama kemudian, beliau bersama masyarakat
setempat membangunkan sebuah masjid yang dikenali sebagai Masjid Kiai
Haji Muhammad Ali Umar Sijangkang.
Namun
begitu, tapak masjid lama tersebut tidak dapat bertahan lama kerana
telah roboh dan dijadikan kawasan perkuburan Islam di Sijangkang.
Setelah itu, masjid baru telah dibina dan diberi nama Masjid Kiai Haji
Muhammad Ali yang dirasmikan oleh Sultan Selangor iaitu Sultan
Hisamuddin Syah pada 1921.
Setelah itu,
diwujudkan cadangan untuk membina masjid baru dan mendapat tentangan
daripada keluarga Kiai Haji Muhammad Ali yang memohon agar masjid
tersebut dikekalkan sebagai satu masjid warisan sejarah Selangor. Walau
bagaimanapun tentangan tersebut gagal, akhirnya Masjid Kiai Haji
Muhammad Ali dirobohkan termasuk tiang seri dan beberapa khazanah lain
dimusnahkan seperti jam antik dan lain-lain.
Setelah
masjid baru dibina, nama pengasas masjid tersebut tidak diabadikan dan
ditukar kepada Masjid Al-Ihsaniyah, bukan Masjid Kiai Ali.
Berkemungkinan nama Al-Ihsaniyah diambil sempena nama anak beliau Kiai
Ihsan bin Kiai Haji Muhammad Ali.
Penutup
Untuk
selanjutnya pada ruangan akan datang membicarakan mengenai sejarah
pendirian pondok yang didirikan oleh Kiai Muhammad Ali di Sijangkang
berserta kitab-kitab pengajian yang diajar. Selain itu turut disentuh
mengenai hubungan beliau dengan ulama-ulama terkenal yang lain dan
hubungan dengan kerabat Diraja Brunei di Selangor. Keseluruhan
perkara-perkara yang dibicarakan tersebut juga adalah hasil kajian
penulis, yang juga masih mempunyai hubungan kekeluargaan sebagai datuk
saudara kepada penulis.

