SURAU AL-FURQAN Flora 2 Apartment U5/30 40150 Shah-Alam Selangor

Ahad, 28 Julai 2013

PERANG BADAR



Perang Badar tercetus pada 17 Ramadhan 2H bersamaan 17 March 624M. Perang ini terjadi di satu kawasan yang berada di antara Mekah dan Madinah. Nama Perang Badar dinisbatkan kepada sumur yang dikenali Sumur Badar. Adapun, Sumur Badar dinisbatkan kepada seorang penggali sumur tersebut, Badar bin an-Narin.

Kerisauan Rasulullah saw
Perang pertama dalam sejarah Islam ini meletus di mana Rasulullah saw baru sahaja berada di Madinah selama dua tahun. Iman para sahabat Ansar juga masih lagi mentah. Pada saat peperangan ini meletus, Rasullulah saw cukup risau dengan keadaan ini.
Maka terjadi satu peristiwa di mana seorang sahabat Rasulullah saw, Miqdad bin Amr ra bangkit melontar kata-kata wibawa terhadap junjungan besar kita, Muhammad saw. Miqdad bin Amr ra berkata,
“Wahai Rasulullah saw, laksanakanlah apa yang telah Allah perintahkan kepadamu, Demi Allah kami sentiasa bersamamu. Kami tidak akan berkata sebagaimana perkataan bani Israil kepada Nabi Musa as, ‘Pergilah kamu bersama Rabb-mu, dan berperanglah kamu berdua, sesungguhnya kami hanya duduk menanti di sini saja.” (Miqdad bin Amr ra membacakan sebahagian ayat dalam surah al-Maa’idah ayat 24).
“Akan tetapi kami berkata, “Pergilah engkau bersama Rabb-mu dan berperanglah kamu berdua, sesungguhnya kami menyertai kalian berdua. Demi Zat yang telah mengutuskanmu dengan kebenaran, seandainya engkau membawa kami menyertaimu ke Birkil Ghimaad(kota Habsyah), nescaya kami akan sentiasa bersamamu dari berangkat sampai engkau tiba di sana”
Diriwayatkan bahawa, muka Rasulullah saw lantas bertukar ceria dan bergitu bermotivasi. Ia bertambah menyakinkan Rasulullah saw apabila pemuka daripada bani Aus di kalangan golongan Ansar, Saad bin Muadz bangkit memberi jaminan taat setia kepada Rasulullah saw.
sebelum peperangan bermula, sepupu Rasulullah, Ali bin Abi Talib
dan Ubaidah bin al-Harits serta bapa saudara baginda
Hamzah bin Abdul Mutalib
tampil ke hadapan menyahut cabaran para Musyrikin Mekah.
Jumlah yang sedikit

Keadaan perang semakin meruncing. Musuh yang ingin ditentang terdiri daripada dua golongan. Pertama, kabilah yang membawa hasil dagangan haram(iaitu harta milik orang Islam sebelum berhijrah ke Madinah) di bawah pimpinan Abu Sufyan dan kedua, angkatan perang daripada Mekah berkekuatan 1000 orang pimpinan Amr bin Islam atau lebih dikenali Abu Jahal.
Jumlah tentera Islam pula kurang tiga kali ganda berbanding jumlah tentera Musyrikin. Ada riwayat menyatakan 300 orang dan ada riwayat menyatakan dengan lebih tepat iaitu 313 orang.
Memandangkan jumlah yang bergitu ketara, ia mengundang kegelisahan dan kegusaran di dalam lubuk hati Rasulullah saw. Al-Bukhari meriwayatkan dari Ibnu Abbas ra, ia berkata bahawa Rasulullah saw berdoa ketika Perang Badar,
“Ya Allah, Aku memohon kepada-Mu, penuhilah janji-Mu. Ya Allah, jika Kau menghendaki, maka Kau tidak disembah lagi”
Mendengar rintihan Rasulullah saw, Abu Bakar ra mengambil tangan Rasulullah saw yang mulia sambil berseru, “Cukup wahai Rasulullah saw”. Kemudian Abu Bakar ra bangkit menuju ke arah tentera Musyrikin dan membacakan ayat daripada Surah Al-Qamar ayat 45, “Golongan itu pasti akan dikalahkan dan mereka akan mundur ke belakang”.

Jumlah yang sedikit tidak pernah melunturkan semangat Jihad
tentera Muslimin pimpinan Rasulullah saw.


Pertolongan Tentera Allah

Janji Allah swt sentiasa benar. Melalui ayat 9 sehingga 10 surah Al-Anfaal, Allah swt telah menjanjikan bantuan para Malaikat untuk kaum muslimin semasa Perang Badar. Ia ternyata benar apabila beberapa hadis menyatakan terdapat para sahabat membicarakan perihal ini dengan terperinci. Antara para sahabat yang pernah membicarakannya adalah Ibnu Abbas ra, Umar al-Khattab ra, Ali bin Abi Talib ra dan Rifa’ah bin Rafi’ az Zuraqi ra.

Bagaimana Malaikat menolong tentera Perang Badar?

Para tentera Allah iaitu para Malaikat menolong para tentera muslimin dengan bantuan 1000 malaikat yang berturut-turut. Jumlahnya telah mampu mengerunkan tentera musyrikin yang pada awalnya beranggapan mereka mampu menewaskan tentera muslimin dengan mudah.
Daripada 1000 Malaikat tersebut, mereka berpecah kepada dua menjadikan masing-masing adalah 500 malaikat. Setiap pecahan tersebut diketuai oleh malaikat Jibrail as dan malaikat Mikail as. Malaikat Jibrail as mengetuai bahagian kanan manakala malaikat Mikail as mengetuai bahagian kiri. Ia bersesuaian dengan riwayat daripada Ibnu Abbas ra. Ali bin Abi Thalhah meriwayatkan daripada Ibnu Abbas ra bahawa beliau berkata,

“Allah swt menolong Nabi dan orang-orang yang beriman dengan seribu Malaikat, dan Jibrail as termasuk di dalam golongan kelompok lima ratus pertama yang menyerbu musuh daripada sebelah kanan mereka, manakala Mikail as termasuk di dalam lima ratus kedua yang menyerang dari arah kiri mereka.”
Jibrail as juga diriwayatkan menunggang kudanya iaitu Haizum semasa Perang Badar. Malaikat Jibrail as langsung tidak memberi muka kepada tentera kafir musyrikin sehinggakan terdapat tentera musyrikin diriwayatkan terbelah wajah mereka akibat pukulan cambuk.Imam Abu Jaafar ath-Tabari dan Imam Muslim telah meriwayatkan dari Ibnu Abbas dari Umar al-Khattab. Dalam riwayat tersebut disebutkan, 
“Tatkala seorang bersungguh-sungguh melawan orang musyrik yang ada di hadapannya, tiba-tiba dia mendengar suara lecutan cambuk di atasnya dan suara penunggang kuda yang berkata, “Majulah Haizum(nama kuda Jibrail as). Tiba-tiba ia melihat si musyrik telah mati terkapar di hadapannya. Kemudian ia melihatnya dari dekat, ternyata hidungnya telah terpukul dan wajahnya terbelah seperti pukulan cambuk. Mukanya menjadi lebam(akibat pukulan cambuk). Lalu orang Ansar tadi mendatangi Rasulullah saw dan menceritakan kepada  beliau. Rasulullah saw bersabda. “Engkau benar, itu adalah bantuan daripada langit ketiga.” Pada kejadian tersebut, yang terbunu dari orang-orang musyrik sebanyak tujuh puluh orang dan yang ditawan sebanyak tujuh puluh orang”

Tanda pengenalan Tentera Allah


Dalam satu ayat yang lain dalam surah Ali Imran ayat 123 sehingga 124, Allah berfirman,
123. (Ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang-orang yang beriman (untuk menguatkan semangat mereka): “Tidakkah cukup bagi kamu, bahawa Allah membantu kamu dengan tiga ribu tentera dari malaikat yang diturunkan?,” 124. Bahkan (mencukupi. Dalam pada itu) jika kamu bersabar dan bertaqwa, dan mereka (musuh) datang menyerang kamu dengan serta-merta, nescaya Allah membantu kamu dengan lima ribu malaikat yang bertanda masing-masing.

Turunnya para Malaikat untuk bergabung dengan tentera muslimin telah memakai beberapa tanda pengenalan. Bala tentera bantuan Allah swt ini adalah kekuatan sebenar tentera mukmin semasa Perang Badar. Para Malaikat menunjukkan semangat juang yang bergitu tinggi.
Ia diperakui sendiri oleh Malaikat Jibrail as sewaktu datang menanyakan Rasulullah perihal pendapat peribadi Rasulullah berkenaan umatnya yang berperang di Badar. Rasulullah saw lantas menjawab, “Mereka adalah dikalangan yang terbaik”. Jibrail terus menjawab bagi pihaknya, “Bergitu juga yang ikut berperang bagi pihak Malaikat”.
Dalam kekacauan perang tersebut, ramai juga sahabat menyedari kehadiran tentera misteri yang mana mereka langsung tidak mengenalinya sebelum ini. Akibat sibuk membasmi musuh yang menerkam, mereka terpaksa mendiam diri sehingga perang tamat.
Sebaik perang tamat dan mereka telah pun berada di Madinah, timbul beberapa cerita misteri sehingga diriwayatkan dalam beberapa hadis Shahih.

Bulu Putih 

 Antaranya adalah sahabat besar Rasulullah saw dan sepupu baginda, Ali bin Abi Talib ra. Abu Ishaq as-Suddi meriwayatkan dari Haritsah bin Mudhrib, Ali bin Abi Talib ra berkata,“Tanda mereka pada perang Badar adalah bulu putih. Juga ada tanda pada ubun-ubun kuda mereka.”

Tanda Imamah

Mak-hul mengatakan, “Bertanda imamah(berserban yang dililitkan di kepala). Tanda para Malaikat pada Perang Badar adalah serban berwarna hitam manakala pada Perang Hunain adalah serban berwarna merah”

Serban Kuning

Ibnu Abi Hatim meriwayatkan dari Yahya bin Abbad bahawa Zubair ra pada Perag Badar mengenakan serban kuning dengan melipatnya, lalu turunlah para Malaikat, juga menggunakan serban kuning.

Kemenangan mutlak orang beriman

Bergitulah yang berlaku di Perang Badar, perang pertama bagi umat Islam. Walaubagaimanapun, penulis yakin ramai yang tidak tahu bahawa perang ini terjadi hanya kerana Kaum Musyrikin datang untuk menyelamatkan kafilah dagang Abu Sufyan selain daripada usaha untuk menghapuskan syiar Islam daripada muka bumi.
Pada mulanya, Rasulullah saw dan para sahabat lain hanya ingin mencegah kafilah dagang Abu Sufyan yang dipercayai telah dibiayai dengan menggunakan harta kaum Muslimin di Mekah sewaktu sepeninggalan mereka setelah berhijrah ke Madinah. Dek kerana ketidakpuasan hati dengan ketamakan Abu Sufyan, Rasulullah saw bergegas menyekat kabilah tersebut. Namun, seorang utusan Abu Sufyan bernama Dhamdham bin Amr al-Ghifari telah dihantar ke Mekah untuk memohon bantuan.
Lantaran itu, Abu Jahal bangkit bersama rakan-rakannya yang lain untuk menolong Abu Sufyan disamping untuk menghapuskan Islam dan menyelamatkan ‘harta’ mereka yang dibawa oleh Abu Sufyan.
Gerombolan yang dibawa Abu Jahal mencecah 1000 orang yang lengkap bersenjata, berbaju besi,topi baja, pasukan berkuda dengan pelbagai perhiasan sedangkan tentera mukmin hanya berjumlah 313 orang dilengkapi dengan dua ekor kuda dan tujuh puluh ekor unta. Baki yang lain hanya berjalan kaki. Kebanyakan mereka tidak dilengkapi dengan baju besi dan topi.

Dengan saiz kekuatan musuh yang bergitu, amat wajar Rasulullah saw berasa risau kemungkinan kekalahan tentera Islam semasa Perang Badar. Disebabkan itu, Rasulullah saw kelihatan sugul dan bimbang. Namun, Allah swt sudah merancanakan semuanya. Dengan kekuasaan-Nya, diturunkan para gerombolan Malaikat memberi bantuan kudrat kepada Rasulullah saw dan tentera muslimin.

Jumaat, 26 Julai 2013

KIAMAT...

✐ Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail & beberapa malaikat yang lain. Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat yang tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri.

✐ Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya "Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?" Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya "Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa." Ini menunjukkan kebesaran & keagunganNya sebagai Tuhan yg Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati.

✐ Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.

✐ Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut "Ajbuz Zanbi" yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak pokok yang kembang membesar dari biji benih.

✐ Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi kelak.

✐ Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.

✐ Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.

✐ Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah SWT. Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan.

✐ Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti keadaannya naik dihari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.

✐ Terdapat satu telaga kepunyaan Nabi Muhammad SAW bernama Al-Kausar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga.

✐ Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah:

ⅰ- Pemimpin yang adil.

ⅱ- Orang muda yang taat kepada perintah Allah.

ⅲ- Lelaki yang terikat hatinya dengan masjid.

ⅳ- Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.

ⅴ- Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata "Aku takut pada Allah".

ⅵ- Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai).

ⅶ- Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah.


✐ Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka terdengar suara "pergilah berjumpa dengan para Nabi". Maka mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah SWT. Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah SAW. Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan.

✐ Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad SAW ke hadrat Allah SWT. Lalu diperkenankan doa baginda.

✐ Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20 ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga 'Arasy itu tiba dibumi.

✐ 'Arasy ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat.

✐ Kursi iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari 'Arasy umpama cincin ditengah padang . Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana.

✐ Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib & 'Atid / Kiraman Katibin.

✐ Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing- masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.

✐ Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad SAW, dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah.

✐ Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin.

✐ Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.

✐ Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad SAW dan para imam 4 mazhab untuk menyaksikan pengikut masing-masing dihisab.

✐ Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang.

✐ Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata- kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di adili oleh Allah Ta'ala dengan Maha Bijaksana.

✐ Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi titian sirat.

✐ Syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat :

ⅰ- Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan hisab.

ⅱ- Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.

ⅲ- Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.

(Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah SWT.)

✐ Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.

✐ Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.

✐ Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.

✐ Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam neraka.


Rujukan:
Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad Al-
Fathani. Pustaka Nasional Singapura 2004.


☞ Jika sekiranya kalian ingin mengumpul saham akhirat, sampaikanlah ilmu ini kepada sahabat² yang lain. Sepertimana sabda Rasulullah SAW:
❝ Sampaikanlah pesananku walaupun satu ayat. ❞
Sesungguhnya apabila matinya seseorang anak Adam itu, hanya 3 perkara yang akan dibawanya bersama :

① Sedekah/amal jariahnya.
② Doa anak²nya yang soleh.
③ Ilmu yang bermanfaat yang disampaikannya kepada orang lain.

Selasa, 23 Julai 2013

KULIAH


Kuliah, Asar Bersama USTAZ AZHAR IDRUS di MASJID AS-SALAM PUCHONG PERDANA.
PETA LOKASI